Mama Siti pasti semua mesti teruja nak sambut hari raya dan pulang ke kampung halaman. Jadi, untuk semua yang menyambut hari raya yang tinggal beberapa hari sahaja lagi, disini Mama Siti nak kongsikan cara solat sunat hari raya Aidilfitri ini. Semoga amal ibadat kita semua diterima dan menjadi insan yang lebih baik.
Waktu Solat Sunat Hari Raya
Waktu solat sunat hari raya adalah antara tempoh terbitnya matahari sehingga kepada tergelincirnya matahari iaitu seawal pukul 8 pagi sehingga sebelum masuknya waktu solat Zohor.
Sebelum kita ke masjid untuk menunaikan solat sunat tersebut, pastikan Mama dan seisi keluarga – termasuk anak kecil – niat mandi sunat hari raya semasa mandi bagi meningkatkan amal ibadah kita.
Hukum Solat Sunat Hari Raya
Menurut Mufti Wilayah Perseketuan, hukumnya adalah sunat muakkad iaitu solat sunat yang sangat diberatkan oleh Nabi SAW.
Solat hari raya tidak wajib berdasarkan hadis: Rasulullah SAW bersabda kepada seorang yang bertanya tentang solat yang difardhukan:
مْسُ صَلَوَاتٍ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ. فَقَالَ: هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهَا؟ قَالَ: لا، إِلاَّ أَنْ تَطَوَّعَ
Maksudnya: ” Lima solat sehari semalam. Baginda ditanya lagi: “Adakah wajib atasku selain daripada itu?” Baginda menjawab: “Tidak, kecuali engkau ingin mengerjakan solat sunat.”
Riwayat al-Bukhari (46) dan Muslim (11)
Cara Solat Sunat Hari Raya
Cara solat sunat ini adalah lain daripada solat sunat yang lain. Ianya berlainan dari segi takbir iaitu pada solat sunat ini disyariatkan untuk membaca takbir sebanyak 7 kali pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat kedua.
Rakaat Pertama
- Lafaz niat
أُصَلِّي سُنَّةَ لِعِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى
Usalli sunnatan liAidil Fitri rak’ataini makmuman lillahi ta’ala.
Ertinya:
Sahaja aku sembahyang sunat Hari Raya Aidil Fitri dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala.
- Membaca doa iftitah
- Lafaz takbir tujuh kali diselangselikan dengan bacaan tasbih (setiap kali takbir diikuti dengan bacaan subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُُ وَاللهُ أَكْبَر وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُـوَّةَ إِلاَّ بِالله
- Membaca surah al-Fatihah
- Membaca surah al-Quran (di sunatkan membaca surah al-A’laa)
- Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama
Rakaat Kedua
- Di mulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua)
- Lafaz takbir lima kali di selangselikan dengan bacaan tasbih (setiap kali takbir diikuti dengan bacaan subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar)
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُُ وَاللهُ أَكْبَر وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُـوَّةَ إِلاَّ بِالل
- Membaca surah al-Fatihah
- Membaca surah al-Quran (disunatkan dalam rakaat kedua membaca surah al-Ghaasyiyah) atau mana-mana surah yang dihafal atau mudah dibaca.
- Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua
- Memberi salam
Selepas solat, khatib akan membaca khutbah sebanyak dua khutbah.
Cara Solat Sunat Aidilfitri di Rumah/Bersendirian
Bagi umat islam yang berada di rumah juga dibolehkan bagi seseorang itu untuk melaksanakan solat sunat secara bersendirian mahupun berjemaah bersama ahli keluarga. Kalau Mama atau Papa solat sendiri, tak perlu disertakan dengan khutbah raya.
Tetapi sekiranya ia dilakukan secara berjemaah di rumah, anda dituntut untuk berkhutbah kerana sunat bagi salah seorang daripada jemaah tersebut membacakan khutbah hari raya selepas solat sunat.
Dapatkan panduan amal ibadah yang lain di SINI.