Mungkin ada yang tengok pelik dan tertanya, boleh ke solat sambil dukung anak? Bagi Mama Papa yang ada anak kecil, situasi ini memang biasa anak menangis, nak berdukung, atau tak mahu lepas langsung.
Dalam keadaan macam ni, mesti timbul persoalan, boleh ke kita solat sambil memegang bayi? Sah ke solat tu? Apa pula syarat yang perlu dijaga supaya tak membatalkan solat?
Jangan risau, Islam itu mudah dan penuh kasih sayang. Solat tetap boleh dilakukan walaupun sambil mendukung anak, asalkan kena dengan caranya.
Yang penting, Mama Papa perlu tahu syarat, adab, dan panduan yang betul supaya ibadah tetap sempurna dan anak pun rasa selesa.
Hukum Solat Sambil Memegang Bayi

Dalam Islam, solat merupakan ibadah yang sangat penting dan perlu dilakukan dengan penuh kekhusyukan. Namun, dalam situasi tertentu, Islam memberi kelonggaran kepada Mama Papa yang mempunyai anak kecil.
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW pernah mengerjakan solat sambil memangku cucunya, Umamah binti Abu al-As. Ketika baginda sujud, baginda meletakkan Umamah, dan apabila baginda bangun, baginda mengangkatnya semula.
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُصَلِّي وَهْوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَلأَبِي الْعَاصِ بْنِ رَبِيعَةَ بْنِ عَبْدِ شَمْسٍ، فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا، وَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pernah menunaikan solat dalam keadaan baginda memikul/mendukung Umamah Binti Zainah Binti Rasulillah S.A.W, dan dia merupakan anak kepada Abu Al-‘Ash bin Rabi’ah bin ‘Abd Syams. Apabila baginda sujud, baginda meletakkannya. Dan apabila baginda berdiri, baginda mendukungnya. (Riwayat Al-Bukhari, 516)
Berdasarkan hadis ini, para ulama bersepakat bahawa adalah dibolehkan untuk solat sambil mendukung atau memegang bayi, selagi tidak mengganggu rukun solat dan tidak menyebabkan sebarang perkara yang membatalkan solat.
Hadis ini menunjukkan bahawa Mama Papa memegang atau memangku bayi ketika solat tidak membatalkan solat, asalkan Mama Papa memenuhi syarat-syarat tertentu.
Syarat dan Panduan Solat Sambil Dukung Anak

Walaupun Islam membenarkan solat dengan mendukung atau memegang bayi, tetapi terdapat beberapa syarat dan garis panduan yang perlu Mama Papa patuhi agar solat tetap sah, sempurna, dan tidak terganggu.
- Pastikan bayi bersih & bebas najis – Pakaian, lampin, dan badan anak dalam keadaan bersih. Kalau ada najis, pastikan ia dibersihkan dahulu sebelum solat supaya ibadah tidak terbatal.
- Menjaga khusyuk solat – Kalau anak gelisah, menangis, atau lapar, cuba tenangkan dulu. Boleh menyusu atau berikan sesuatu yang boleh membuatnya selesa sebelum solat supaya tidak mengganggu tumpuan.
- Pergerakan tidak berlebihan – Pegang atau dukung anak dalam batas pergerakan yang dibenarkan. Jangan sampai pergerakan terlalu banyak hingga menjejaskan rukun solat dan menyebabkan solat terbatal.
- Lakukan rukun solat dengan sempurna – Rukuk dan sujud tetap perlu dilakukan dengan betul. Kalau rasa sukar, boleh letakkan bayi di lantai sekejap ketika sujud, kemudian dukung semula bila berdiri.
- Mengutamakan keselamatan anak – Pastikan pegangan stabil dan selesa supaya anak tidak rasa terhimpit atau jatuh. Jika bayi terlalu aktif atau berat, boleh cari alternatif seperti meletakkannya di tempat selamat berdekatan.
Cara untuk Mama Papa Solat sambil Dukung Anak

Si manja asyik nak berdukung masa Mama Papa solat? Jangan panik! Boleh je solat sambil dukung bayi asalkan tahu caranya. Jom ikut langkah mudah ni!
- Mulakan solat seperti biasa – Niat dalam hati, pastikan anak Mama Papa dalam keadaan yang selesa.
- Takbiratul ihram – Tak perlu angkat tangan macam biasa kalau tengah pegang bayi, cukup lafazkan takbir dengan yakin.
- Bacaan dalam solat – Baca Al-Fatihah dan surah pilihan kalau keadaan mengizinkan.
- Rukuk dengan stabil – Pastikan pegangan kuat dan selesa, tak perlu letak tangan pada lutut kalau tak mampu.
- Sujud dengan selamat – Letakkan anak Mama Papa di sebelah dulu, sujud seperti biasa, kemudian dukung balik selepas sujud kedua.
- Teruskan solat hingga selesai – Pastikan semua rukun dilakukan dengan sempurna.
Hikmah dan Keistimewaan Solat Sambil Memegang Anak

- Mencontohi sunnah Rasulullah S.A.W: Rasulullah S.A.W telah menunjukkan teladan yang terbaik bahawa Islam adalah agama yang praktikal dan mudah diamalkan dalam kehidupan seharian.
- Mendidik anak sejak kecil: anak kecil yang sering melihat Mama Papa bersolat akan membentuk kebiasaan dan rasa cinta terhadap ibadah sejak usia muda.
- Membina hubungan emosi dengan anak: bayi yang didukung ketika solat mungkin akan berasa lebih tenang dan selesa kerana kehangatan daripada badan Mama Papa.
- Memudahkan Mama Papa yang sibuk: bagi Mama Papa yang sibuk mengurus anak kecil, kebolehan solat sambil memegang bayi memberikan fleksibiliti dalam memenuhi kewajipan agama.
Solat itu kewajipan bagi umat Islam, tapi Mama Papa tak perlu rasa terbeban walaupun ada anak kecil. Islam itu mudah dan penuh kasih sayang, tak perlu tinggalkan solat hanya sebab anak nak berdukung.
Mama Papa cuma perlu tahu cara yang betul supaya solat tetap sah dan anak pun selesa. Jangan stress kalau anak asyik melekat masa nak solat, Mama Papa anggap saja ini satu fasa dalam perjalanan menjadi Mama Papa.
Tak perlu segan atau risau kalau ada yang pandang pelik, yang penting ibadah tetap terjaga dan anak pun rasa tenang dalam dakapan Mama Papa. Ini semua pengalaman berharga dalam dunia keibubapaan.
Semoga usaha kecil ini jadi asbab anak-anak membesar dengan kecintaan pada solat dan ibadah. Keep going, Mama Papa!
Jom kenali tanda bacaan waqaf supaya bacaan al-Quran kita menjadi sempurna. Klik di SINI.