KelabMama

Amal Cepat, Ganjaran Berlipat! Meningkatkan Kualiti Hubungan Dengan Solat Berjemaah

solat berjemaah

Mama Siti tahu, para Mama yang beragama Islam pasti bimbang tentang perkembangan ahli keluarga Mama dalam hal-hal keagamaan. Sekiranya ada kebimbangan tersebut dalam hati para Mama, hari ini, Mama Siti akan kongsikan berkenaan kelebihan dan keutamaan solat berjemaah.

Kelebihan Solat Berjemaah

1.0 Spiritual

Perkembangan dan kesihatan spiritual berkait rapat dengan kesihatan mental, fizikal, dan emosi seseorang. Untuk membina sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni, elemen rohaniah perlu diambil berat oleh papa dan Mama.

Solat berjemaah boleh menjadi aktiviti yang melibatkan seluruh ahli keluarga dan mempunyai pelbagai manfaat dari segi kerohanian kepada seseorang.

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya :” Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”

Riwayat Muslim (1509)

Menurut laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, penggandaan kebaikan dalam melaksanakan solat berjemaah tidak cuma terhad kepada solat berjemaah di masjid, malah termasuk juga sedemikian di rumah, perhentian rehat dan rawat, atau di mana sekalipun seseorang solat berjemaah.

Menurut Sheikh Daud Al-Fathani untuk solat secara berseorangan, hanya diberikan pahala untuk bahagian-bahagian yang khusyu’ (fokus dalam solat). Namun, pahala penuh akan diberikan kepada mereka yang solat secara berjemaah walaupun sukar bagi mereka untuk fokus sepanjang solat.

Sebagai seorang insan biasa, kita sering terleka dalam mengerjakan solat, sehingga terfikir urusan lain sewaktu mengerjakannya. Lagi pula untuk para Mama yang penuh dengan aktiviti, mahupun urusan kerja ataupun keluarga. Dengan melaksanakan solat jemaah, solat yang dinilai tidak berkurang kerana kekurangan fokus dalam solat.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Tujuh golongan manusia yang mendapat perlindungan dari Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali dariNya, iaitu imam yang adil, pemuda yang hidup di dalam beribadah kepada Allah, seorang yang hatinya sentiasa ingat kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, berhimpun keranaNya dan berpisah keranaNya…”

Sekiranya seseorang melaksanakan solat secara berjemaah di masjid, terdapat tiga golongan daripada tujuh yang disebut iaitu imam yang adil, seseorang yang sentiasa teringatkan masjid, dan dua orang yang bertemu dan berpisah kerana Allah. Mama boleh mengajak ahli keluarga Mama bersama-sama menunaikan solat di masjid sebagai aktiviti keluarga.

Sada Rasulullah SAW:

وَإِنَّ صَلاَةَ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلِ أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ وَحْدَهُ وَصَلاَتُهُ مَعَ الرَّجُلَيْنِ أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ مَعَ الرَّجُلِ, وَمَا كَثُرَ فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى

“Solat seorang lelaki yang dilakukan bersama seorang lelaki yang lain lebih suci daripada solatnya yang dilakukan secara individu, dan solatnya bersama dua orang lelaki lebih suci daripada solatnya bersama hanya satu lelaki, dan bilangan yang lebih bertambah lagi lebih menyenangkan bagi Allah, Yang Maha Kuasa.”

(Riwayat Abu Daud 554)

Keredhaan Ilahi adalah matlamat utama bagi setiap makhluk. Bagi mencapai keluarga harmoni, keutamaan perlu diberikan kepada matlamat tersebut.

‏”ما من ثلاثة في قرية ولا بدو لا تقام فيهم الصلاة إلا قد استحوذ عليهم الشيطان‏.‏ فعليكم بالجماعة، فإنما يأكل الذئب من الغنم القاصية”‏

“Jika tiga orang di sebuah desa atau di padang pasir tidak melakukan solat secara berjemaah, Syaitan pasti telah mengatasi mereka. Oleh itu, solatlah secara berjemaah, kerana seekor serigala makan seekor domba yang tinggal jauh dari kawanannya.”

Berdasarkan hadis di atas, seseorang yang menunaikan solat secara berjamaah akan mendapatkan perlindungan dari hasutan syaitan yang menghasut sesebuah keluarga ke arah kemungkaran.

“Seseorang hamba Allah itu dikira dalam solat selama dia berada di tempat solatnya kerana menunggu solat, dan berkata malaikat: ‘Ya Allah, ampuni dosanya dan rahmatilah dia sehingga dia beredar atau dia berhadas’.”

Sungguh mudah untuk mendapat pahala, sehinggakan menungggu untuk mengerjakan solat berjemaah pun sudah dikira pahala jemaahnya, bahkan didoakan pula oleh para malaikat. Sesungguhnya Allah  SWT Maha Baik.

Pengampunan dosa adalah antara matlamat utama bagi seseorang yang beragama, islam mahupun agama-agama lain. Namun dalam Islam, sangat ditekankan berulang kali bahawa Allah Maha Pengampun dan antara cara mendapatkan pengampunanNya ialah dengan solat berjemaah.

Sabda Rasulullah s.a.w;

“Sesiapa yang berwuduk untuk mengerjakan solat lalu dia berwuduk dengan sempurna kemudian dia pergi ke masjid untuk solat fardhu kemudian dia pun bersolat berserta dengan orang ramai, atau berjemaah atau dalam masjid maka Allah mengampunkan untuknya dosa-dosanya.”

فَإِذَا دَخَلَ الْمَسْجِدَ كَانَ فِي الصَّلَاةِ مَا كَانَتْ الصَّلَاةُ هِيَ تَحْبِسُهُ

وَالْمَلَائِكَةُ يُصَلُّونَ عَلَى أَحَدِكُمْ مَا دَامَ فِي مَجْلِسِهِ الَّذِي صَلَّى فِيهِ يَقُولُونَ

اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ اللَّهُمَّ تُبْ عَلَيْهِ مَا لَمْ يُؤْذِ فِيهِ مَا لَمْ يُحْدِثْ فِيهِ

Jika seseorang telah masuk masjid, maka dia dikira berada dalam solat selama ia meneruskan solatnya, dan malaikat terus menerus mendoakan salah seorang diantara kamu selama ia dalam tempat duduknya yang ia gunakan untuk solat, malaikat akan berdoa; “Ya Allah, rahmatilah dia, Ya Allah, ampunilah dia, Ya Allah maafkanlah dia,” selama ia tidak melakukan gangguan dan belum berhadas.

2.0 Kekeluargaan dan Perkahwinan

Allah SWT menekankan kepentingan menjaga solat. Di pertengahan ayat-ayat dalam surah Al-Baqarah mengenai hubungan kekeluargaan dan urusan perkahwinan (iaitu ayat 223-242), Allah S.W.T berfirman:

حافِظوا عَلَى الصَّلَواتِ وَالصَّلاةِ الوُسطىٰ وَقوموا لِلَّهِ قانِتينَ

“Peliharalah (kebiasaan) Solat kamu, terutama Solat Yang Di Tengah; dan berdirilah di hadapan Allah dengan penuh ketaatan (keadaan mental).”

(Surah Al-Baqarah, 2:238)

Sheikh Dr Wahbah Az-Zuhaili berpendapat bahawa salah satu sebab mengapa Allah SWT menyebut tentang penjagaan solat kita di pertengahan ayat-ayat yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah kerana hakikat yang penting bahawa solat dapat melindungi anggota keluarga seperti suami dan isteri daripada mempunyai fikiran yang tidak baik tentang satu sama lain, dan melindungi mereka daripada segala bentuk kejahatan, dan bisikan-bisikan Syaitan. Jika mereka tidak berhati-hati, ini boleh menyebabkan adanya perselisihan dalam hubungan kekeluargaan dan ikatan perkahwinan.

Bayangkan jika kita terus melaksanakan solat berjemaah seharian bersama-sama. Kita bukan sahaja diberikan ganjaran yang banyak oleh Allah SWT, bahkan kita juga dapat memperkukuhkan hubungan kekeluargaan dan menghindarkan diri kita dari bisikan syaitan. Insya’Allah.

3.0 Menghidupkan Sunnah Rasulullah SAW

Pelaksanaan solat secara berjemaah adalah antara amalan yang sangat Rasulullah SAW jaga sepanjang hayat baginda. Malah, Rasulullah SAW juga ada memberi amaran keras kepada mereka yang meninggalkan solat jemaah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Sesungguhnya aku bertekad supaya solat didirikan kemudian aku akan pergi kepada setiap rumah seseorang yang tidak hadir solat berjemaah lalu akan aku perintahkan agar dibakar rumah mereka.

Sabda diatas menunjukkan keutamaan bagi seorang lelaki menunaikan solat jemaah berbanding bersendirian.


Tingkatkan kerohanian dengan pelbagai ilmu keagamaan di SINI.