Sinki tersumbat selalu buat Mama Siti geram. Bukan pasal melambatkan proses mencuci pinggan sahaja tetapi juga mengganggu pandangan.
Cari punya cari, akhirnya Mama Siti dapat juga senaraikan 15 cara selesaikan masalah sinki tersumbat. Kalau satu tak berjaya, kita cuba cara lain pula kan.
Sebelum itu, nak tahu juga macam mana sinki boleh tersumbat walaupun dah buat langkah pencegahan. Kemudian barulah kita lihat kaedah mengakhiri ‘drama’ sinki tersumbat.
“Mama Siti, Kenapa Sinki Rumah Saya Tersumbat Ya? “
Punca-Punca Sinki Tersumbat
#1 Sisa Minyak dan Lemak
Segala jenis makanan yang berlemak dan berminyak berisiko menjadikan sinki tersumbat. Ia akan mengeras di dalam saluran sinki dan lama-kelamaan menjadi mendapan.
#2 Sisa Makanan Pejal
Saiz sisa makanan yang halus sangat mudah memasuki saluran sinki. Saiznya mungkin sedikit tetapi apabila sering berlaku maka akan semakin menimbun.
Akhirnya, pengaliran air terjejas dan sinki tersumbat.
#3 Serbuk Kopi
Serbuk kopi akan terkumpul dan menjadi berat apabila bercampur dengan air. Akhirnya ia tersekat dalam saluran sinki.
#4 Buih Sabun
Minyak ialah komponen dalam pembuatan sabun. Sabun berasaskan minyak selalunya akan berbuih.
Buih akan bertukar kepada cecair dan lama-kelamaan akan mengeras dalam sistem saluran sinki.
#5 Akar Pokok
Mungkin, Mama perlu periksa saluran pembentung. Boleh jadi ia telah dipenuhi akar berselirat. Ataupun, terdapat keretakan pada saluran pembentung dan merosakkan fungsi utamanya iaitu mengalirkan air keluar.
Cara-Cara Selesaikan Masalah Sinki Tersumbat
#1 Baking Soda + Cuka
Caranya, tambahkan suku ⅓ cawan baking soda kepada ⅓ cawan cuka dalam satu bekas. Mama perlu cepat-cepat tuangkan campuran itu ke dalam sinki sebaik sahaja buih-buih mulai muncul.
Biarkan ia bertindak balas dengan kotoran selama 10 minit kemudian bilas dengan air panas.
#2 Baking Soda + Garam
“Tak ada cuka, tak ada masalah”
Kita boleh juga gantikan dengan garam. ⅓ cawan baking soda dan ⅓ cawan garam hendaklah dituangkan ke dalam air panas. Pastikan semua bahan-bahan itu larut terlebih dahulu sebelum dicurahkan ke dalam saluran sinki.
#3 Garam Kasar
‘Yang paling mudah dan paling murah’
Mama hanya perlu taburkan garam kasar di dalam saluran sinki kemudian jiruskan dengan air panas. Jadikan sebagai rutin walaupun apabila sinki tidak tersumbat.
#4 Sabun Pencuci Pinggan
Sediakan satu cawan cecair pencuci pinggan, jus limau dan dua liter air panas. Campurkan kesemuanya, lalu tuangkan ke dalam sinki. Gabungan ketiga-tiga bahan itu berupaya menghakis minyak dan lemak yang terperangkap.
#5 Pelocok
Kaedah paling asas menyelesaikan masalah sinki bertakung. Kuasa sedutan dari pelocok menghasilkan tekanan air yang menolak kotoran yang terperangkap.
Ulang beberapa kali hingga air dalam sinki mulai surut.
#6 Drain Snake
Masukkan hujung dawai dalam saluran sinki. Apabila Mama rasa ada sesuatu yang tersangkut, pusingkan dawai beberapa kali dan tarik perlahan-lahan. Kemudian, bilas saluran sinki dengan air panas.
#7 Pencuci Kimia (Anti Clog)
Cecair kimia bertindak untuk menyingkirkan dan menguraikan sisa kotoran yang ada dalam saluran sinki. Perlu diingat ya Mama, cecair ini bersifat asid. Jadi, jauhkan dari kanak-kanak dan pakai sarung tangan dengan pelitup muka (mask) ketika menggunakannya.
#8 Cecair Peluntur
Curahkan cecair peluntur di sekeliling sinki dan saluran sinki. Seterusnya, tuangkan pula air panas menggelegak supaya memperolehi kesan ketara.
Nota: Pastikan cinki dicuci dengan sabun selepas menggunakan cecair peluntur. Bahan peluntur yang tersisa bahaya jika bersentuhan dengan alatan memasak lain.
#9 Claw Drain
Alat ini berfungsi untuk menarik keluar kotoran yang ada dalam saluran sinki. Caranya adalah dengan palamkan bahagian cakar ke dalam sinki perlahan-lahan. Selepas itu, tekan spring dan tarik sisa makanan yang tersekat.
#10 Air Panas
Jerang air panas hingga menggelegak. Sebaik sahaja air panas sudah masak, cepat-cepat tuangkan ke dalam saluran sinki. Air panas bertujuan untuk menanggalkan kotoran yang melekat dalam saluran sinki seperti lemak dan minyak.
#11 Serbuk Pencuci Pakaian
Hanya dua bahan diperlukan untuk menyelesaikan masalah sinki tersumbat. Kita perlukan enam sudu serbuk pencuci dan dua liter air panas. Campurkan semua bahan-bahan tadi dan terus tuangkan ke dalam saluran sinki.
#12 Saring Sisa Makanan
Sisa makanan seperti mi sangat mudah jatuh ke dalam saluran sinki. Oleh itu, Mama Siti sarankan agar menggunakan saring makanan sebelum membasuh pinggan dan cawan.
#13 Rutin Pembersihan Sinki
Pertama, tuangkan air panas dalam sinki supaya ianya mengalir dalam saluran sinki di bawah. Kemudian, buka perangkap sinki dan keluarkan kotoran yang mendap di dalamnya.
#14 Pemasangan Paip
Sistem sinki yang terbaik seharusnya mempunyai perangkap di bahagian bawah. Ini bertujuan agar kotoran yang tidak mengalir ke dalam sistem kumbahan boleh dikeluarkan.
Kotoran dalam perangkap perlu dibersihkan satu kali setiap bulan.
#15 Pemilihan Jenis Sinki
Ingat lagi pada perangkap sinki. Sebenarnya lubang perangkap sinki yang lebih dalam mengurangkan risiko sinki tersumbat.
Perangkap sinki yang dicadangkan ialah berbentuk cawan kerana ianya lebih mudah dibuka dan membuang kotoran.
Sekarang kita dah tahu sebab-sebab singki tersumbat. Barulah yakin nak buat langkah pencegahan sinki tersumbat. Dengan 15 solusi masalah sinki tersumbat, bolehkan ‘try and error‘.
Harap-harap dalam banyak-banyak tips yang Mama Siti kongsikan ini, ada lah yang berjaya selesaikan masalah sinki rumah Mama. Ini lah masanya nak gilap bakat bertukang kan.
Untuk pelbagai home hacks dan idea dekorasi, klik SINI.