Pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa. Justeru, adalah penting untuk ibu bapa peka dengan setiap perubahan dan keadaan kesihatan anak-anak anda. Tahukah Mama Papa, setiap hari seramai lima kanak-kanak di Malaysia akan didiagnose dengan pelbagai jenis kanser. Ternyata ini bukan suatu jumlah kecil.
Menurut Pengarah Perubatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr M Murallitharan, ia perkara yang membimbangkan kerana bilangan itu dijangka akan meningkat pada masa hadapan.
Maka, statistik ini tidak boleh dipandang ringan kerana setiap kanak-kanak ada risiko untuk menghidapi penyakit kanser. Maka, perhatian penuh perlu diberikan bagi mengesan sebarang tanda aneh atau kemerosotan tahap kesihatan mereka.
Kita khuatir sekiranya lambat bertindak, peluang untuk menyelamatkan buah hati Mama dan Papa tipis.
Ditambah pula dengan simptom yang kurang jelas menyebabkan kanak-kanak menderita penyakit kanser kebiasaannya dikesan pada tahap lewat. Gejala dihadapi mereka biasanya tak ubah seperti sakit ringan lain.
Bagaimanapun, beberapa tanda mungkin boleh diberikan perhatian oleh Mama Papa bagi mengelakkan keadaan lebih buruk menimpa si kecil anda.
1. Hidung Berdarah
Kekerapan kanak-kanak mengalami hidung berdarah bukan suatu yang boleh dipandang remeh. Kebiasaannya jika golongan sebegini mudah mengalami pendarahan hidung, ia adalah tanda penyakit serius.
Bagi tanda kanser, si kecil boleh mengalami hidung berdarah sangat kerap iaitu sehingga empat atau lima kali sebulan, MenurutĀ Hospital Universiti Kebangsaan di Singapura, hidung yang kerap dan secara berterusan berdarah adalah gejala bagi Leukemia Limfoblastik Akut (LLA), di mana ia adalah sejenis kanser yang biasa ditemui pada kanak-kanak.
2. Luka Yang Lambat Sembuh
Secara normal, luka kecil seperti terjatuh atau luka bekas jahitan akan cepat sembuh bagi golongan kanak-kanak. Ia berbeza dengan kita yang dewasa. Keadaan ini pasti boleh dilihat oleh Mama Papa yang mana kalau kecederaan kecil berlaku serentak dengan anak, kita akan dapati luka mereka terlebih dahulu kering.
Namun, jika ia sebaliknya, kemungkinan itu adalah tanda anak Mama Papa mengalami masalah kesihatan lain. Selain luka, kemunculan kudis kudis yang sukar untuk sembuh juga perlu diberikan perhatian.
3. Kerap Demam
Demam adalah suatu yang normal dikalangan kanak-kanak. Ia petanda anti-body anak anda sihat dan membentuk immune system mereka. Namun, kerap demam boleh menjadi petanda serius pada kesihatan anak Mama dan Papa.
4. Penurunan Berat Badan Tanpa Sebab Yang Jelas
Dah makan banyak tapi berat badan si kecil tidak begitu memuaskan. Jika kanak-kanak kehilangan berat badan dengan mudah walaupun tanpa sebarang perubahan dalam pemakanan, diet atau senaman, maka Mama Papa seharusnya pantas membuat temu janji dengan doktor.
Kanak-kanak boleh kehilangan berat badan jika mereka tidak mengambil jumlah kalori yang mencukupi, atau membakar lebih banyak kalori daripada biasa. Namun jika mereka mula kehilangan berat badan yang banyak dalam sesuatu masa, ia mungkin adalah sebuah petanda bagi penyakit yang tersembunyi termasuklah kanser.
5. Benjolan
Satu lagi tanda bagi kanser adalah kehadiran benjolan, kebiasaannya pada bahagian abdomen atau kaki dan tangan. Bengkak di bahagian abdomen mampu menunjukkan tumor Wilm, sebuah kanser buah pinggang yang berlaku pada kanak-kanak yang amat muda.
6. Cepat Letih
Kerap mengadu letih juga harus menjadi situasi yang membimbangkan. Namun, pastikan Mama Papa tahu beza luahan letih anak-anak adakah disebabkan alasan atau memang mereka kelihatan tak bermaya. Sekiranya anak kerap keletihan dan nampak penat, itu mungkin gejala bagi penyakit Limfoma, di mana ia adalah sekumpulan kanser dalam sistem limfa.
Dapatkan info menarik mengenai kesihatan seisi keluarga di SINI.