Dalam proses pembesaran, akan tiba masanya bayi anda kelihatan terganggu dan letih, sering menggigit tangan, menangis pada waktu malam serta air liur sering meleleh. Ini merupakan satu isyarat yang pasti bahawa bayi anda sedang mengalami kesakitan dalam menghadapi peringkat tumbuh gigi. Buat permulaan, anda boleh mendapatkan nasihat mengenai gegelang gigit yang diisi dengan air yang disejukkan untuk memberikan rasa sejuk dan nyaman bagi melegakan bayi anda. Akhirnya, tiada apa lagi yang lebih baik selain daripada roti kering atau kerak roti bagi bayi anda yang sedang menghadapi peringkat tumbuh gigi. Menggigit-gigit makanan seperti ini akan dapat membantu mereka mengurangkan kesakitan.
Pada masa ini, bayi umumnya sudah bersedia untuk menggunakan gusi dan gigi mereka yang sedang tumbuh serta bertukar kepada makanan rangup. Dalam hal ini, anda perlu menggalakkan bayi anda untuk mengunyah kerana ia merupakan satu kemahiran yang perlu diasah. Jika tidak, dia mungkin akan menghadapi masalah untuk menerima makanan selain daripada makanan yang telah dihancurkan terlebih dahulu.
- Semasa anda menyediakan makanan bayi di rumah, perlu diingatkan bahawa ketulan makanan tidak terlalu besar dan keras untuk mengelakkan kesukaran mengunyah dan menelan. Elakkan daging yang telah dicampur bahan perisa atau rempah dan buah-buahan dalam tin yang mengandungi gula tambahan atau diisi dalam sirap.
- Ketika giginya tumbuh, bayi juga akan mula mempunyai keinginan untuk berdikari dan mahu merasai pengalaman menyuap makanan sendiri.
- Kadang-kala, umur antara 8 hingga 9 bulan adalah sesuai untuk memperkenalkan makanan sampingan. Berikan sedikit makanan kepada bayi anda semasa dia sedang duduk dengan meletakkannya di tempat yang boleh dicapai olehnya.
- Jika anda letakkan makanan di dalam mangkuk atau pinggan, bersedia untuk menyaksikan makanan itu diterbalikkan, kerana ini merupakan sebahagian daripada keseronokan kepadanya. Apabila bayi anda sudah kenyang dia akan mengelakkan diri. Jadi, berhenti memberinya makan dan bersihkan dia. Ingat bahawa bayi anda masih belum menjadi seorang yang berpengalaman, jadi jangan lupa untuk menyelianya pada peringkat ini.
- Antara makanan sihat dan selamat yang sesuai diberikan kepada bayi dan boleh dipegang ialah potongan sayur-sayuran yang dimasak lembut, potongan pisang, tembikai, pir dan buah-buahan lembut, masak dan tidak berbiji.
- Begitu juga kepingan kecil daging yang sudah dimasak dan ayam tanpa tulang, kerak roti, roti kering atau biskut soda yang tidak bergaram. Dalam masa yang sama, hadkan pengambilan makanan seperti kek dan biskut yang disaluti gula ising atau bijirin yang disaluti gula. Begitu juga minuman mengandungi perisa atau minuman ringan, coklat, kentang goreng atau makanan ringan yang bergaram.
- Walaupun di bawah pengawasan, bayi anda tidak boleh diberikan sebarang makanan yang boleh menyebabkannya tercekik. Antaranya buah-buahan dan sayur-sayuran mentah dan keras, buah-buahan berbiji seperti rekahan buah beri atau ceri, hot dog, bertih jagung, kacang, biji, kepingan atau gula-gula yang boleh dikunyah.
Kini, waktu makan dengan anak kecil anda pastinya akan menjadi lebih menarik. Dia akan mula mencuba deria rasanya dan menonjolkan sifat ingin tahu. Bayi anda akan suka menyentuh makanannya diikuti dengan mencubanya maka ibu-ibu sekalian bersedialah untuk menghadapi keadaan bersepah.
Sumber: Heinz Nutritions Consultation