Apabila anak mula bertutur biarpun hanya sekadar perkataan pendek dan kurang jelas, ibu bapa pasti berasa sangat teruja hingga merakamnya untuk disimpan sebagai detik indah dalam memori mereka. Ia memang antara saat menggembirakan apabila anak melangkah dari satu fasa ke fasa lain dan menunjukkan kemajuan dalam perkembangan tumbesaran mereka. Bagaimanapun, kadangkala ibu bapa mungkin sedikit kecewa ataupun sedih sekiranya anak mereka mengalami masalah pertuturan sehingga apa yang diperkatakan sukar difahami. Sebutan pertama anak antara detik gembira yang akan dikenang sepanjang masa. Penggunaan bahasa adalah cara komunikasi khas manusia dan skil itu jelas dilihat berkembang ketika kecil, malah usia kanak-kanak antara dua hingga lima tahun dikenali juga sebagai ‘umur berkomunikasi’.
- Bayi dari usia enam bulan akan membunyikan ‘bababa’ atau ‘mamama’, seolah-olah cuba membalas apabila ibu bapa bercakap.
- Pada umur satu hingga dua tahun, banyak perkataan sepatah yang akan disebut dan difahami. Kanak-kanak berusia dua ke tiga tahun bercakap dalam frasa dua ke tiga perkataan dan daripada tiga tahun kanak-kanak biasanya bertutur dalam ayat dan boleh bertanya dan menjawab soalan.
- Kira-kira 15 hingga 20 peratus daripada kanak-kanak berumur dua tahun tidak bertutur mengikut apa yang dijangkakan bagi usia mereka. Kebanyakan kanak-kanak memang lambat bercakap dan 50 hingga 60 peratus daripadanya akan mahir bertutur apabila mencapai umur empat ke lima tahun.
- Namun, antara lima hingga lapan peratus daripada kanak-kanak mempunyai kecelaruan bahasa dan akan terus mengalami masalah bahasa sehingga ke alam persekolahan atau dewasa.
- Kecelaruan bahasa apabila seseorang kanak-kanak mempunyai kesukaran pertuturan dan pemahaman. Kanak-kanak itu tidak mempunyai sebarang gangguan perkembangan lain, contohnya gangguan spektrum autisme, ketidakupayaan intelektual atau kecacatan fizikal seperti masalah pendengaran atau palsi serebral manakala kanak-kanak lelaki lebih mudah terjejas.
PENGARUH GENETIK, FAKTOR PERSEKITARAN
- Genetik ialah satu faktor yang menyebabkan masalah kecelaruan bahasa. Sekitar 26 hingga 45 peratus daripada individu dengan kecelaruan ini mempunyai ahli keluarga atau waris terdekat yang mempunyai masalah membaca, menulis serta gangguan bahasa.
- Kajian radiologi membuktikan otak kanak-kanak yang mengalami kecelaruan itu memproses sesuatu tugasan yang membabitkan bahasa secara berbeza. Kemungkinan pengaruh genetik serta gabungan faktor persekitaran menyebabkan perbezaan dalam fungsi otak semasa pemprosesan bahasa.
- Ibu bapa mungkin perasan anak mereka tidak menyebut banyak perkataan atau tidak memahami arahan berbanding kanak-kanak seusia dengannya.
- Kadang-kadang penjaga di taska atau guru tadika menyedari terdapat masalah bahasa. Kanak-kanak sebegini seharusnya dibawa berjumpa pakar pediatrik atau pakar patologi pertuturan dan bahasa.
MENGGALAKKAN PEMAHAMAN BAHASA PADA KANAK-KANAK
- Gunakan minat atau perkara yang dilakukan oleh kanak-kanak untuk berkomunikasi. Bersikap positif apabila kanak-kanak menjawab .
- Permainan perkataan berirama – “Perkataan mana bunyinya berirama sama dengan bola?”
- Menyanyi berserta aksi tindakan – contohnya “Ini kepala dan bahu, ini pula lutut dan jari kaki.” Atau “Bila anda gembira tepuk tangan.”
KECELARUAN BAHASA
Kerap kali ibu bapa yang mempunyai anak dengan masalah lewat bertutur tidak sedar bahawa tindakan mereka berkomunikasi dengan si manja menggunakan bahasa yang berbeza-beza boleh memburukkan lagi keadaan. Dari segi luaran, anak seawal usia dua tahun mungkin nampak faham apabila diarah melakukan pelbagai perkara dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Namun dalam kebanyakan situasi, mereka sebenarnya lebih cenderung menggunakan perkataan bahasa Inggeris yang pendek setiap kali meminta sesuatu daripada orang di sekelilingnya. Umpamanya, apabila hendak keluar dari rumah, si manja akan meminta diambilkan ‘shoes’ berbanding menyebut kasut atau menuding jari sambil menyebut ‘car’ setiap kali merujuk kepada kereta. Anak yang petah bercakap sejak dari usia awal tetapi bertutur dalam bahasa rojak adalah normal. Bagaimanapun, bagi kes membabitkan anak yang mengalami masalah lewat bertutur, bercakap dalam satu bahasa adalah lebih baik berbanding penggunaan dwibahasa.
- Pada masa sama, interaksi ibu bapa dengan si manja juga perlu diberi perhatian. Ia bagi memastikan perkembangan anak kecil sentiasa meningkat dari semasa ke semasa. Seorang kanak-kanak dikategorikan menghadapi masalah lewat bertutur jika umurnya sudah mencecah dua tahun dan masih tidak bercakap. Pada umur ini, anak sepatutnya sudah boleh menyebut antara 25 hingga 50 perkataan secara spontan, tidak kira dalam bahasa apa sekali pun.
- Jadi, kalau ibu bapa memang bercakap dalam bahasa Melayu, tetapi anak pula mengikut arahan dalam bahasa Inggeris, pasti timbul persoalan, dari manakah dia memahami bahasa Inggeris? Adakah di taska atau mungkin menerusi gajet yang kita beri? Sebab itu interaksi amat penting. Ibu bapa perlu tahu sejauh mana kemajuan anak dalam bertutur. Adakah gaya percakapan mereka normal atau masih terhad berbanding kanak-kanak sebayanya.
- Melihat kepada perubahan zaman teknologi hari ini, ternyata peranan ibu bapa kian mencabar dalam menentukan lenggok bahasa, gaya pertuturan mahupun sikap kanak-kanak. Pengenalan dan pendedahan bahasa dominan dalam keluarga memberi impak besar kepada anak-anak kecil. Mereka mendengar pertuturan orang di sekeliling, menangkap sebutan, sekali gus mempelajari perkataan baru dengan cepat dan tepat setiap hari. Justeru, jangan ada ibu bapa yang mengalah dan cuba bercakap dalam bahasa yang mereka sendiri tidak fasih. Kalau seisi rumah berbahasa Melayu, kekalkan bahasa Melayu. Jika Mandarin, Tamil dan Inggeris, maka bercakaplah dalam bahasa masing-masing.
- Ini penting kerana ramai anak yang bermasalah pertuturan cenderung memilih bahasa. Dalam beberapa kes, mereka lambat bercakap, perkataan masih terhad, tetapi memilih menyebut perkataan bahasa Inggeris sahaja. Keadaan ini biasanya berlaku disebabkan pengaruh kartun di televisyen. Tambahan pula sebutan perkataan satu suku kata dalam bahasa Inggeris lebih mudah disebut seperti cat, dog, car, fish, ball, berbanding bahasa Melayu yang menggunakan dua suku kata seperti, ku-cing, bo-la dan ba-ju.
- Namun tidak bermakna kanak-kanak yang belajar bertutur dalam bahasa Melayu lebih lewat berkembang berbanding mereka yang memilih bahasa Inggeris. Kanak-kanak yang belajar bertutur dalam bahasa Tamil lebih banyak menggunakan gabungan suku kata dan percakapan mereka tetap berkembang seiring usia. Ini semua adalah fitrah manusia.
- Tidak adil untuk menyalahkan bahasa dan mengatakan ia adalah punca menyebabkan anak lewat bertutur. Malah, mengatakan anak keliru bahasa juga tidak tepat sama sekali. Memadai sekiranya ibu bapa mengelak penggunaan dwibahasa terhadap anak yang lambat bercakap. Cubalah memahami kesukaran mereka yang perlu bekerja keras untuk ingat dan faham kosa kata kedua-dua bahasa.
PANDUAN BERDEPAN DENGAN ANAK DWIBAHASA YANG LAMBAT BERTUTUR
- Utamakan bahasa dominan dalam keluarga. Jika ibu bapa bersembang dalam bahasa Melayu, utamakan bahasa Melayu sahaja.
- Terus sebut perkataan atau ayat dalam kedua-dua bahasa pada satu masa. Jangan sebut bahasa Inggeris sahaja, tetapi mengabaikan bahasa Melayu.
- Jika hendak menerapkan dwibahasa, ibu bapa mestilah fasih dalam kedua-dua bahasa. Jadi, ibu bapa tiada masalah untuk menggunakan ayat lengkap dalam satu bahasa. Elakkan bahasa rojak dalam satu ayat yang sama.
- Hantar ke tadika yang menggunakan bahasa dominan keluarga. Contohnya, jika ibu bapa bercakap dalam bahasa Melayu, jangan hantar anak yang mempunyai masalah bertutur ke tadika yang menggunakan bahasa Mandarin.
Sumber: Pakar Perunding Perkembangan Kanak-Kanak Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Raja Juanita Raja Lope -Harian Metro