Seperti yang diungkapkan dalam jurnal Sains Psikologi oleh Kathleen Voh, persekitaran yang bersepah boleh menyebabkan seseorang menjadi lebih kreatif, tidak kiralah berapa pun umur mereka. Apabila dibandingkan, mereka mendapati seseorang yang ditempatkan sebuah dalam bilik yang bersepah boleh mengutarakan lebih banyak idea yang kreatif dan menarik berbanding mereka yang ditempatkan dalam sebuah bilik yang kemas dan tersusun rapi.
- MEREKA SEDANG MEMBINA MAKLUMAT
Anak kecil yang membuat sepah ini biasanya akan mengaktifkan semua deria dan saraf motorik mereka. Memegang, merasa, menggenggam, membaling, dan sebagainya – ini semua adalah perbuatan yang akan menambahkan maklumat serta kefahaman mereka tentang dunia sekeliling mereka. Anda mungkin nampak anak-anak seperti sedang bersuka ria – tetapi sebenarnya mereka mendapat pelbagai manfaat daripada perilaku tersebut. Kebanyakan maklumat yang diperolehi ini akan disimpan dan diproses untuk kegunaan pada masa akan datang. Buktinya, anak-anak yang suka menyepahkan makanan didapati lebih cepat belajar nama makanan termasuklah objek yang berkaitan makanan dengan lebih cepat dan tepat.
- MEREKA BERANI BERTINDAK
Mereka yang lebih suka bersepah adalah golongan yang suka mengambil risiko, berani bertindak, dan spontan dalam setiap tindakan. Anak-anak ini mempunyai kelebihan dalam membuat keputusan kerana mereka tahu apa yang mereka inginkan. Ini adalah salah satu skil yang penting untuk mereka dan akan membantunya apabila dewasa kelak.
- MEREKA LEBIH KREATIF
Tahukah anda bahawa kebanyakan genius yang kita kenal seperti J.K Rowling, Roald Dahl, dan Albert Einstein adalah mereka yang terkenal dengan tabiat suka bersepah? Segelintir pakar berpendapat bahawa keadaan yang tersusun rapi dan konvensional menyukarkan seseorang untuk berfikir di luar kotak dan menggalakkan seseorang untuk sentiasa kekal dalam ‘zon selamat’. Berbanding dengan mereka yang memecahkan tradisi ini, seseorang dianggap lebih berkeyakinan dan berkebolehan untuk memberi idea baru.
- MEREKA ‘CURIOUS’
Salah satu tanda anak bijak adalah mereka tahu apa yang mereka mahukan. Mereka mahu melihat apa yang akan terjadi apabila sesuatu barang disentuh, diusik, dilontar, dipijak, dimusnahkan, atau ditumpahkan. Anak-anak biasanya akan mempelajari dan mengingati sesuatu melalui sebab-akibat. Mereka tahu bahawa proses ini penting dan mereka nekad untuk mengetahui sesuatu.
- MEREKA BELAJAR MENGINGAT LEBIH BANYAK PERKARA
Anak-anak biasanya suka mengulang sesuatu yang mereka lakukan kerana memorinya sedang bekerja keras untuk mengingat setiap proses dan langkah yang terlibat. Apabila sesuatu diulang berkali-kali, mereka akan cuba melakukannya dengan lebih baik. Ada masanya, mereka akan cuba mengubah permainan dan menjadikannya lebih menarik melalui idea yang timbul secara spontan. Proses seperti inilah yang dapat membantu mereka belajar lebih banyak perkara dari hari ke hari.
MAMA BOLEH PANTAU EKSPLORASI MEREKA
Jika difikirkan semula, memang ada logiknya mengapa mereka mengaitkan tabiat suka buat sepah ini dengan tanda anak bijak. Segala eksplorasi ini akan memberi kesan yang bermanfaat dalam jangka masa panjang sekiranya anda menggalakkan mereka bermain, merekacipta, dan mencetuskan pelbagai idea menarik yang tak pernah terlintas di fikiran. Tapi, praktikkan juga keseimbangan dengan mengajari anak-anak cara menjaga kebersihan dan mengemas mainan agar tidak menyebabkan kecederaan serius. Seperkara lagi, bersepah bukanlah bermaksud pengotor ya!
- Mendisiplinkan anak memerlukan kesabaran tinggi kerana apabila emosi marah menguasai diri, suasana akan bertukar menjadi regementasi. Lalu, secara tidak sengaja mungkin berlaku penderaan fizikal dan paling malang, penderaan emosi yang tidak disedari dialami oleh anak. Antara tanggungjawab orang dewasa ialah menggunakan ilmu mengenai perkembangan anak dan kemahiran berfikir agar dapat melihat sesuatu dari perspektif kanak-kanak.
- Kunci utama dalam menetapkan sesuatu peraturan atau batasan bagi sesuatu tingkah laku ialah pandangan realistik terhadap sesuatu tingkah laku dan kesesuaian tingkahlaku dengan usia serta tahap perkembangan seseorang kanak-kanak. Contoh, disebabkan ciri-ciri semula jadi si kecil memang tidak tahu duduk diam, elak meletakkan barang di tempat yang mudah mereka capai untuk diteroka dan dijadikan ‘bahan eksperimen’.
PEMBELAJARAN MELALUI PEMERHATIAN
- Apabila si kecil merengek untuk turut membantu melakukan kerja rumah, usah mengharap mereka akan melakukannya dengan sempurna kerana sesuatu tugasan orang dewasa, bagi si kecil itu adalah bermain. Contohnya, orang dewasa menyapu lantai bertujuan membersih rumah; bagi kanak-kanak menyapu adalah satu permainan!
- Batasan bagi sesuatu tingkah laku perlu dinyatakan oleh orang dewasa secara lisan dan juga perbuatan. Jika orang dewasa mengarahkan si kecil mengemas mainan sambil berdiri dan menuding jari, kanak-kanak akan meniru perbuatan itu dan jangan diharap dia akan mengemas kerana dapatan dari kajian ilmiah menunjukkan, 83 peratus dari pembelajaran berlaku melalui pemerhatian bukan kata-kata.
BERI ARAHAN MUDAH DIFAHAMI
- Arahan yang disampaikan dalam bentuk mudah difahami dan bersifat konsisten akan mudah dipatuhi oleh si kecil. Sentiasa tetap katakan ya ataupun tidak pada sesuatu tingkah laku agar si kecil tidak keliru.
- Penentuan batasan bagi sesuatu tingkah laku penting, lebih-lebih lagi jika ia boleh mendatangkan bahaya kepada si kecil. Menyatakan sebab dan akibat bagi sesuatu perbuatan akan dapat merangsang si kecil berfikir secara kreatif dan kritis.
- Memarahi si kecil hanya akan membantutkan keinginan untuk belajar sesuatu yang baru dan mencantas perasaan ingin tahunya.
Sumber: bharian.com.my/ siraplimau.com