Seni lukis memainkan peranan penting dalam perkembangan intelektual dan emosional kanak-kanak. Ia merupakan satu lagi medium komunikasi bagi kanak-kanak selain daripada pertuturan. Kanak-kanak yang masih baru mengenal erti kehidupan dan belum pandai menunjukkan perasaan dengan kata-kata juga boleh menzahirkan emosi mereka melalui kaedah ini. Ibu bapa sekarang perlu memantau situasi dan keadaan sekeliling anak-anak mereka khususnya dalam kalangan anak kecil. Ibu bapa juga disarankan menggunakan kaedah terapi seni sebagai satu proses pembelajaran dan meluah perasaan supaya anak-anak dapat meluahkan emosi serta apa terbuku di hati mereka dengan kaedah lebih santai. Jadi, anda tidak perlu marah atau meradang jika si kecil anda suka dan gemar menconteng dinding atau sebagainya. Itu merupakan tanda anak anda untuk meluahkan apa yang ada difikirannya.
- Zaman keajaiban dan keindahan dunia lukisan kanak-kanak ialah pada usia kira-kira tujuh atau lapan tahun. Dalam usia mentah ini, minat terhadap seni lukis adalah disebabkan peluang semata-mata, bukan kerana keupayaan teknikal.
- Seni lukis meningkatkan pengalaman kanak-kanak dalam beberapa bidang pembelajaran, termasuk matematik, pembacaan dan penulisan.
- Ia boleh memperbaiki prestasi akademik dengan menarik pelajar ke dalam proses pembelajaran, kerana keyakinan dan pengiktirafan yang diperoleh dalam seni lukis meresap ke dalam pembelajaran mata pelajaran lain.
- Seni lukis menjadikan pendidikan lebih menarik dan menyeronokkan, menggalakkan kanak-kanak lebih berminat untuk ke sekolah.
- Daya kreatif dan keupayaan meluahkan perasaan melalui lukisan membantu kanak-kanak membina pemikiran kritikal dan mempelajari kemahiran baru untuk mengatasi atau menyelesaikan masalah dengan cara yang inovatif.
PERANAN IBU BAPA
- Memandangkan pendidikan seni lukis di sekolah tidak begitu ditekankan, terpulanglah kepada ibu bapa untuk menjadi pendidik seni lukis kepada anak-anak mereka. Oleh itu, ibu bapa mesti menyediakan persekitaran dan kelengkapan untuk mendedahkan anak-anak mereka kepada seni lukis.
- Bagi ibu bapa yang ingin mengasah bakat kreatif dan seni lukis anak-anak mereka di rumah, terdapat 3 prinsip am, iaitu sediakan tempat untuk aktiviti melukis, tunjukkan minat terhadap hasil kerja anak-anak, simpan contoh-contoh hasil kerja anak-anak
- Anda boleh menyediakan ruang atau satu sudut bilik, atau menggunakan sebahagian daripada anjung yang berbumbung, dengan meja dengan ketinggian yang sesuai dengan anak anda.
- Anda juga boleh meletakkan rak untuk menyimpan bahan-bahan yang diperlukan untuk melukis dan menetapkan peraturan bagi penggunaan bahan-bahan tersebut dan mengemaskannya.
- Ibu bapa yang memberi keutamaan kepada hasil kerja dan perhatian lebih serius akan membuat ulasan secara lebih khusus, bukan umum seperti “Oh, cantik lukisannya” atau “Pandainya anak emak melukis.” Cubalah beri tumpuan kepada apa yang benar-benar anak anda lakukan dan kemudian nyatakan sesuatu yang anda lihat. Sebagai contoh, anda boleh kata, “Mak nampak ada tiga corak merah”, atau “Mak nampak semua biru mempunyai bentuk yang berlainan.” Jangan sekali-kali membuat ulasan yang berbentuk arahan atau membetulkan kesilapan seperti, “Sepatutnya, lukislah sesuatu di atas sana, di sudut atas kiri.”
- Jika kanak-kanak ingin memperkatakan tentang hasil kerja mereka, anda patut menggalakkannya, tetapi janganlah memaksa mereka membuat penjelasan. Mereka mungkin tidak dapat menjelaskan apa yang mereka telah lakukan. Jangan bertanyakan soalan yang memerlukan penjelasan.
- Sebaliknya, tunjukkan kekaguman terhadap daya kreatif mereka dan tanyakan soalan seperti, “Macam mana sayang boleh melukisnya?” atau “Macam mana sayang boleh terfikir untuk melukis ini?`’
- Bakat seni lukis kanak-kanak boleh berkembang bila anda menghargai hasil kerja anak anda. Bagaimana anda melihat bakat anak anda dan mengulas mengenainya adalah satu cara untuk mengembangkannya.
Sumber: unilever.com.my