Pendidikan awal bukan semata-mata mengenai akademik, darjah kecerdasan otak (IQ), membaca, mengira mahupun menghafal surah, sebaliknya ia lebih besar daripada itu. Secara tepatnya, ia membabitkan perkembangan anak. Apabila menyebut mengenai perkembangan anak, ia merangkumi minda, fizikal, emosi, spiritual, sikap, keyakinan diri dan kemahiran berfikir, menyelesaikan masalah, bersosial, berkomunikasi dan banyak lagi. Dalam erti kata mudah, ia adalah perkembangan menyeluruh bagi seorang anak.
Jadi, pemahaman segelintir ibu bapa hari ini perlu diperbetulkan. Mereka perlu sedar, walaupun anak pandai membaca pada usia dua tahun, tapi tidak mempunyai kawalan emosi yang baik, tidak pandai berkomunikasi, tidak bertolak ansur dan tidak aktif fizikal, ia masih dianggap sebagai tidak berkembang dengan baik. Anak memerlukan pendedahan seimbang daripada ibu bapa, untuk memastikan mereka membesar secara optimum, dalam semua aspek. Sebab itu penting untuk ibu bapa fahami fitrah anak dan mengetahui pendidikan awal yang selayaknya diberikan.
KESAN POSITIF
- Bagaimanapun, ibu bapa masih boleh menghantar anak seawal umur tiga tahun ke sekolah untuk bermain dan bersosial dengan rakan sebayanya. Ia terpulang kepada ibu bapa. Setiap ibu bapa perlu mengenal keperluan yang boleh memenuhi potensi dan kepintaran semula jadi anak-anaknya.
- Menurut Horward Gardner, setiap anak mempunyai sembilan kepintaran pelbagai. Ada anak yang sukakan bahasa; bijak bermain nombor dan formula saintifik; mempunyai pendengaran dan daya fokus yang tinggi; ketahanan badan luar biasa; kemahiran berfikir kreatif, hebat melukis, mentafsir gambar; sukakan alam semula jadi; sensitiviti tinggi terhadap dirinya sendiri; peramah, mudah bergaul dan bertoleransi serta memiliki kesedaran spiritual luar biasa. Jadi, apabila ibu bapa tahu dan kenal kategori kepintaran semula jadi anak mereka, barulah mudah untuk mencari aktiviti bersesuaian serta memenuhi keperluan anak,.
KESAN NEGATIF
Banyak kesan negatif boleh dilihat berlaku kepada kanak-kanak yang diterap dengan pendidikan formal terlalu awal, lebih-lebih lagi jika diberi masa yang terlalu singkat untuk bermain dan dipaksa menguasai kemahiran membaca dan mengira sebelum mereka benar-benar bersedia. Cuba imbas semula zaman kita membesar dulu. Bermain dengan kotoran, berlari ke sana sini, jatuh, tergolek dan itu semua perkara biasa. Malah semua yang menyeronokkan itulah yang tersimpan dalam memori. Bukannya waktu bila kita mula tahu membaca bukan?
- Seperti yang kita dapat lihat sekarang, ramai kanak-kanak sudah mula menghadapi tekanan dan kemurungan seawal usia empat tahun, akibat pendedahan akademik secara keterlaluan yang melawan fitrah mereka untuk bermain, meneroka dunia dan mengenali diri.
- Apabila kanak-kanak tertekan, mereka tidak mempunyai kawalan emosi yang baik, mudah memberontak, cepat naik angin dan kurang kemahiran berkomunikasi serta bersosial. Ini semua akibat pendedahan akademik yang terlalu awal dan bercanggah daripada fitrah serta keperluan mereka.
- Ada juga kajian mengatakan, anak-anak yang diberikan pendidikan akademik terlalu awal dan banyak, akan semakin hilang keunikan diri, sekali gus serupa dengan rakan yang lain. Ini bermakna, mereka menjadi seperti robot yang hanya mempunyai fungsi sama dan tidak kenal potensi serta keunikan diri masing-masing. Sedangkan, setiap anak adalah berbeza dengan kekuatan dan kepintaran semula jadi.
- Dari segi fizikal pula, anak yang terlalu banyak duduk diam dalam kelas untuk sesi pembelajaran akademik, kurang rangsangan saraf dan otot yang juga boleh mengakibatkan kurang rangsangan otak. Lihat saja betapa rendahnya tahap imunisasi dan ketahanan badan anak kita hari ini. Mereka mudah dijangkiti penyakit dan tiada ketahanan badan apabila menyertai aktiviti fizikal.
PELBAGAI CARA BELAJAR
Kanak-kanak tidak seharusnya didedahkan dengan pembelajaran menerusi satu cara saja. Misalnya cara melihat, mendengar atau melakukan sesuatu agar mudah diingati dan difahami. Memahami cara belajar akan membolehkan pelajar menyerap dengan mudah ilmu yang disampaikan oleh guru. Misalnya kanak-kanak visual menyerap informasi yang dibaca atau dilihat dengan mudah. Auditori pula pembelajaran melalui pendengaran manakala mereka yang termasuk dalam golongan kinestetik cepat memahami maklumat sekiranya diberikan contoh atau bayangan terlebih dulu. Selepas mengetahui tahap kebolehan mereka, guru tidak hanya menyediakan pengajaran menerusi satu cara sebaliknya bergantung kepada kebolehan pelajar. Cara ini tidak membuatkan anak-anak tertekan.
- Bagi ibu bapa pula janganlah menginginkan anak berjaya dalam akademik saja. Apa yang penting si kecil seharusnya diajar kemahiran urus diri seperti menggunakan tandas, adab ketika makan, membasuh tangan, menutup air dan lampu serta menjaga kebersihan. Ilmu yang diberikan di sekolah akan melahirkan kanak-kanak yang lebih bertanggungjawab, jujur dan mempunyai sifat ingin membantu.
- Berbeza dengan penampilan kanak-kanak yang hanya ditekankan pendidikan, pembentukan sahsiah dan personaliti mereka tidak terbentuk dengan baik. Namun ramai ibu bapa hari ini inginkan anak menjadi manusia ‘dewasa’ yang cepat matang dalam semua segi. Mereka inginkan anak cepat membaca, menulis dan mengira sehinggakan ada yang mengukur kepandaian sebagai penanda aras kejayaan ibu bapa mendidik anak. Sedangkan fitrah mereka masih lagi seorang anak-anak yang lincah dan lasak.
Sumber: Harian Metro