Kebiasaannya kanak-kanak sudah mula berusaha untuk bercakap perkataan-perkataan asas seperti ‘ayah’ ‘mama’ dan sebagainya, apabila mencapai usia setahun. Jika si kecil ini masih tidak bercakap walaupun telah masuk usia dua tahun, maka boleh diandaikan dia mempunyai masalah pertuturan. Terdapat beberapa faktor yang menjadi punca masalah seperti genetik (keturunan), kurang daya tumpuan, autisme, pendengaran dan lambat perkembangan secara keseluruhan. Masalah pertuturan yang tidak dibantu boleh berterusan sehingga mencecah usia persekolahan dan dewasa. Secara umum, jika kanak-kanak masih tidak bercakap pada usia dua tahun, maka mereka perlu segera dirujuk ke terapi pertuturan. Kanak-kanak yang sudah berusia empat tahun dan masih pelat juga perlu berjumpa dengan terapi pertuturan. Begitu juga bagi yang tergagap-gagap hingga begitu jelas gagapnya, perlu dibawa mendapatkan rawatan segera.
PERCAKAPAN NORMAL IKUT UMUR
Biasanya kanak-kanak normal boleh dikategorikan pertuturannya berdasarkan umur.
- Umur Setahun si kecil sepatutnya sudah mula bercakap sepatah-sepatah seperti ‘mama’, ayah’, ‘nak’, ‘bye’, ‘jom’, ‘habis’ dan sebagainya.
- Umur dua tahun pula mereka sudah pandai menggabungkan dua perkataan seperti ‘nak mama’, ‘nak air’, ‘habis dah’, dan ‘tengok ni’.
- Umur tiga tahun pula kanak-kanak mula menggabungkan tiga perkataan yang lebih panjang seperti ‘nak ikut ayah’, ‘jom pergi jalan’, ‘adik nak nasi’ dan lain-lain.
- Umur empat tahun pula mereka membina ayat yang lebih panjang, mula bercerita secara mudah dan boleh menjawab soalan berkaitan siapa, kenapa, mana dan bagaimana.
Ibu bapa disarankan supaya meluangkan masa untuk bermain dan bercakap dengan anak-anak mereka selalu. Walau sesibuk mana, ibu bapa mesti mencari masa berkualiti untuk bersama anak-anak. Sentiasa amalkan, lihat, tunggu dan dengar. Lihat apa yang mereka sedang buat, tunggu apa yang mereka nak buat dan dengar apa yang mereka nak kata. Jika ibu bapa sentiasa nak cepat, maka ibu bapa tidak akan sempat untuk benar-benar lihat, tunggu dan dengar.
AKTIVITI MERANGSANG PERTUTURAN
- Latih kefahaman anak anda untuk menunjuk pada anggota badan, mengambil barang di dalam rumah dan mengikut arahan yang panjang.
- Galakkan anak anda membuat bunyi-bunyi mudah seperti bunyi haiwan (moo, miaw, kok kok kok), bunyi kereta (brum brum, pin pin, nee noo nee noo)
- Ibu bapa mesti rajin sebut setiap tindakan yang dibuat di hadapan anak seperti mama nak masak, mama tengah simpan baju dan sebagainya. Walaupun tidak bertanya, anak yang mendengar akan simpan kata-kata ibu bapa mereka.
DAPATKAN RAWATAN SEGERA
Kanak-kanak yang mengalami masalah pertuturan akan menghadapi kesukaran untuk bergaul dengan rakan sebaya mereka. Semakin meningkat umur, mereka mula sedar masalah yang dihadapi dan berasa malu serta rendah diri. Ada antara mereka juga mengalami masalah pembelajaran kerana kurang daya tumpuan, menyebabkan akhirnya masuk ke sekolah pendidikan khas. Ibu bapa mestilah segera bertindak sebaik saja mengesyaki anak mengalami masalah pertuturan. Masalah pertuturan mungkin hanya petanda kepada masalah lain yang lebih serius seperti pendengaran, autisme atau masalah tumpuan. Bawa anak berjumpa pakar terapi pertuturan. Kebanyakan hospital Kementerian Kesihatan ada perkhidmatan terapi pertuturan. Dapatkan surat rujukan dari mana-mana klinik kesihatan dan bawa surat rujukan tersebut ke hospital pakar..
PERTUTURAN DIPENGARUHI PERSEKITARAN
Begitupun ada juga keadaan di mana bayi yang normal akan lambat bercakap sehingga usia mereka mencecah dua hingga lima tahun. Jika dilihat daripada situasi tersebut, menurut Pakar Kanak-Kanak, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Malinee Thambyayah, cepat atau lambat seseorang kanak-kanak itu bercakap banyak dipengaruhi persekitaran termasuk peranan ibu bapa. Secara umum, bayi mempelajari cara percakapan menerusi orang yang berada di sekeliling mereka.
- Lazimnya bayi akan memberi tindak balas sebaik sahaja mereka dilahirkan.
- Seorang kanak-kanak yang normal boleh mengeluarkan perkataan seawal usia lapan bulan ke setahun setengah.
- Enam bulan pertama amat penting di mana ibu bapa harus berkomunikasi dengan bayi mereka dalam usaha merangsang kanak-kanak bercakap.
- Seawal 10 hingga 12 bulan bayi lazimnya sudah boleh mengungkapkan perkataan papa, mama, baba, ibu, umi dan sebagainya yang dalam dua perkataan. Perkembangan tersebut akan meningkat perlahan-lahan sehinggalah mereka berusia 18 bulan di mana percantuman perkataan mula dituturkan.
Sekiranya bayi lambat bercakap berbanding kanak-kanak seusianya maka ada sesuatu yang tidak kena. Bagaimanapun perlu diingatkan bahawa tumbesaran bagi setiap kanak-kanak adalah berbeza. Masalah bercakap hanya boleh ditentukan menerusi terapi pertuturan bahasa. Kanak-kanak itu akan diperiksa secara terperinci termasuk menyelidiki persekitaran yang mempengaruhi kebolehannya bercakap.
GAJET BANYAK KEBURUKAN
Selain itu, perkara lain yang menyebabkan anak-anak lambat bercakap ialah tiada komunikasi antara ibu bapa dengan anak masing-masing dan juga hubungan mata yang lemah. Hal ini terjadi kerana ibu bapa lebih gemar mendedahkan anak-anak mereka dengan gajet-gajet terkini yang tidak mempunyai komunikasi dua hala. Apabila ini terjadi, kanak-kanak tersebut tidak didedahkan dengan perkataan-perkataan ataupun komunikasi seharian yang sepatutnya mereka dengar.