Batuk antara penyakit yang sering di pandang ringan. Ada yang menganggap ia kurang berbahaya termasuk yang dialami di kalangan kanak-kanak. Tetapi ibu bapa perlu sedar, ia mungkin merupakan petanda awal asma atau lelah terutama apabila anak-anak sering batuk pada waktu malam. Biasanya penyakit asma di kalangan kanak-kanak bermula dengan batuk berpanjangan di waktu malam dan awal pagi juga sukar bernafas dengan baik. Dalam keadaan ini, mereka selalunya berkahak yang boleh menyebabkan batuk dan muntah. Sesetengah kanak-kanak juga mudah berhingus atau hidung berair pada waktu malam.
- Secara umumnya asma berlaku apabila salur pada paru-paru sempit atau tersumbat. Udara yang beroksigen akan menyerap ke salur darah dan menyebabkan kandungan oksigen dalam darah tinggi.
- Apa yang dimaksudkan dengan asma ialah keadaan di mana salur paru-paru kecil (bronchiol) menjadi radang sekali gus menyebabkan salur paru-paru tersebut sempit. Secara klasiknya, asma menyebabkan kanak-kanak akan mengalami batuk berterusan, nafas berbunyi dan semput. Biasanya batuk yang dialami kanak-kanak itu adalah basah dan berkahak.
- Bagaimanapun, terdapat sebahagian daripada kanak-kanak yang tidak mempunyai tanda-tanda klasik tersebut. Ini akan menyukarkan diagnosis dan kebanyakan kanak-kanak ini akan mengalami batuk berterusan yang tidak baik walaupun sudah makan pelbagai jenis ubat. Sekira ada juga simptom alahan seperti ruam, resdung atau selesema awal pagi, ia lebih meninggikan lagi kemungkinan asma atau lelah.
- Asma terjadi kepada kanak-kanak sama ada mereka mempunyai sejarah asma dikalangan ahli keluarga ataupun tidak. Kanak-kanak yang ada sejarah asma di kalangan ahli keluarga dan penyakit alahan lain seperti ekzema, allergic rhinitis dan demam alah (hay fever) mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat asma.
- Kanak-kanak yang mempunyai masalah asma senang mengalami jangkitan kuman pada paru-parunya.
- Disebabkan asma selalu dicetuskan selepas demam selesema biasa, ini menyebabkan kadar kemasukan hospital lebih tinggi di kalangan kanak-kanak menghidap penyakit tersebut.
APAKAH FAKTOR PENCETUS ASMA
Ada beberapa faktor pencetus yang menyebabkan gejala asma. Ada faktor pencetus yang biasa kepada semua pengidap asma, manakala ada antaranya bergantung kepada individu tersebut. Antara faktor pencetus asma adalah:
- Jangkitan virus pada sistem pernafasan.
- Merokok.
- Perubahan cuaca.
- Alahan pada debunga seperti house dust mile, kulat dan binatang peliharaan.
- Senaman.
- Bahan perangsang seperti minyak wangi, bau cat dan habuk lantai.
- Makanan dan perasa tambahan makanan.
- Ubat seperti aspirin atau lain-lain ubat tahan sakit (NSAIDs atau pain killer).
- Emosi.
- Gastro-oesophageal reflux (Pengaliran asid dari dalam perut ke atas).
GEJALA ASMA
- Batuk.
- Batuk di waktu malam (waktu tidur).
- Rasa ketat di dada (nafas berbunyi seperti wisel).
- Susah bernafas.
TANDA-TANDA ASMA
Sebahagian dari kanak-kanak tiada tanda perubahan fizikal semasa bebas dari serangan asma.
Dada berbentuk dada burung (Barrel-shape chest) dapat dielakkan sekiranya asma dapat dikawal dengan baik.Adanya tanda-tanda penyakit ekzema dan resdung (allergic rhinitis) juga menyokong diagnosa asma. Tanda kelihatan lebih jelas sewaktu serangan asma. Kanak-kanak mungkin mengalami:
- Nafas berbunyi (Audible wheeze).
- Susah untuk menghembus nafas (breath out).
- Nafas laju.
- Denyutan jantung cepat.
Serangan yang teruk menyebabkan kanak-kanak :
- Kelihatan gelisah.
- Letih lesu.
- Bimbang.
- Kulit berpeluh dan sejuk.
- Warna kebiruan pada bibir dan kuku.
- Penurunan pada bacaan peak flow berbanding kadar bacaan peak flow terbaik individu tersebut (predicted value or personal best).
Sasaran rawatan
- Untuk menghilangkan dan mengawal gejala asma.
- Mengelak serangan asma.
- Mempunyai kualiti hidup yang baik.
- Berupaya menyertai acara sukan.
- Menghalang kemusnahan tisu paru-paru.
- Mengelakkan kematian.
RAWATAN
- UBAT PENCEGAH –Ubat ini dapat mengelakkan serangan asma dengan mengawal radang di sistem pernafasan. Ia bertindak dengan mengurangkan bengkak dan pembentukan lendir di sistem pernafasan.
- UBAT PELEGA – Ubat ini bertindak dengan mengendurkan otot-otot pernafasan dan ini seterusnya akan membuka salur pernafasan yang sempit.
- UBAT KAWALAN – Ubat ini bertindak mengendurkan otot pernafasan dan mengekalkan salur pernafasan dalam keadaan terbuka buat masa yang lama. Ia digunakan untuk kes serangan asma yang teruk.
APA YANG PERLU DILAKUKAN UNTUK MENGAWAL ASMA?
- Elakkan faktor pencetus asma.
- Gunakan ubat pencegah setiap hari mengikut arahan doktor.
- Gunakan ubat asma dengan cara yang betul.
- Kenali tanda serangan asma dan dapatkan rawatan awal.
- Ikut arahan pelan tindakan asma yang diberi oleh doktor.
- Rawatan susulan yang berkala sebagaimana arahan doktor.
BOLEHKAH ASMA DISEMBUHKAN?
- Asma hanya boleh dikawal tetapi tidak boleh disembuhkan. Sebahagian kanak-kanak pulih semasa usia meningkat remaja, manakala sebahagiannya mendapat gejala yang lebih teruk.
- Ramai kanak-kanak akan bebas daripada asma, walau bagaimanapun ada gejala asma yang menyerang kembali di kemudian hari.
Sumber: myhealth.gov.my