Bagi bayi baru lahir, menjalani kehidupan dalam suasana baru adalah suatu pengalaman yang pasti memberi tekanan memandangkan selama sembilan bulan berada di dalam rahim ibu. Selain menyusukan sendiri bayi, sentuhan adalah keperluan semula jadi yang amat penting dan dikenalpasti sebagai salah satu bentuk komunikasi antara ibu dan bayi sebaik dilahirkan. Hubungan pertama antara ibu dan bayi baru lahir amat penting kerana haba badan ibu membuatkan bayi berada dalam suasana yang baginya biasa dirasai semasa di dalam kandungan. Sensasi sentuhan melalui usapan dan urutan dapat dirasai pada kulit, iaitu organ terbesar pada tubuh manusia.
Bayi yang baru dilahirkan mempelajari mengenai apa yang ada di sekelilingnya dengan tindak balas terhadap wajah yang dilihat, bunyi dan rangsangan-rangsangan lain. Apa sebenarnya yang berlaku pada otak seorang bayi? Sebahagian besar perkembangan otak dan proses kematangan bermula pada beberapa tahun permata usia bayi. Bahkan, usia tiga tahun pertama adalah tempoh paling penting
Bayi yang baru lahir mempunyai sel-sel saraf otak lebih banyak berbanding orang dewasa, tetapi bagi membolehkan otak berfungsi, sel-sel saraf perlu berhubung antara satu sama lain. Proses tersebut perlu dibina sejak dari awal. Bagi memaksimumkan peluang ini, ibu boleh meminta untuk memeluk bayi sejurus dilahirkan. Bahkan tidak mustahil untuk memeluk bayi anda sebelum tali pusat dipotong dan sebelum bayi dimandikan, ditimbang , diukur panjang dan sebagainya, selagi doktor mengesahkan bahawa pernafasan bayi stabil.
BAPA JUGA MAIN PERANAN!
- Bapa juga boleh mengambil bahagian. Kebanyakan bapa di zaman moden ini turut berada di bilik bersalin dan biasanya doktor memberi peluang kepada bapa untuk memotong tali pusat bayi. Bagaimanapun, apa yang lebih penting berada bersama ibu dan bayi pada saat-saat kelahiran. Ketika ibu memeluk atau menyusukan bayi, letakkan tangan belakang di belakang atau tepi bayi.
- Bapa juga berhak untuk mendukung bayi yang baru lahir. Beri peluang untuk bayi mengenali bau, atau merasai kehangatan badan atau mendengar suara dan degupan jantung anda bapa mereka. Bapa juga boleh menanggalkan butang baju dan lekapkan bayi anda pada badan biar kulit kedua-dua insan itu bersentuhan.
- Jika ibu dalam keadaan sihat, cuba minta bayi diletakkan di dalam bilik anda pada tempoh awal mereka dilahirkan. Anda juga boleh meminta jururawat memandikan bayi dengan anda berada di sisi.
- Dalam beberapa minggu atau bulan pertama usia bayi, ibu bapa sudah boleh merangsang sel saraf bayi dengan memperkenalkan idea-idea yang mudah seiring dengan peristiwa-peristiwa biasa yang berlaku setiap hari seperti menyusu, mandi atau memakaikan lampin.
- Sambil mengenakan pakaian bayi, anda boleh bermain-main dengannya. Main `sembunyi’ muka mungkin pengalaman pertama paling kreatif bagi bayi anda. Ketika anda menutup dan membuka muka, bayi seolah-olah berfikir anda hilang dan muncul semula.
APA MAMA PAPA BOLEH LAKUKAN?
Baru Lahir
- Berbual dan berkomunikasi dengan bayi
- Galakkan bayi memegang, menggenggam objek pelbagai saiz, bentuk dan tekstur. Refleksi genggaman bayi akan hilang selepas berusia dua bulan.
Tiga Bulan Hingga Lima Bulan
- Rangsang dengan menggunakan permainan.
- Ketika berumur antara tiga hingga lima bulan, gunakan cermin (baik untuk bayi mengenali imej sendiri kerana ketika ini mereka tidak tahu bahawa imej di cermin adalah diri mereka), ‘crip gym’ yang boleh ditarik, ditolak dan ditendang.
Ketika Berusia Lima Hingga Lapan Bulan
- Bayi suka membaling dan menjatuhkan objek ke bawah (tanda perkembangan yang sihat). Bila dia mula merangkak, bayi suka persekitaran yang lapang dan mempunyai permainan. Ketika ini mereka mula berkomunikasi.
Ketika Berusia Lapan Hingga 14 Bulan
- Beri bayi peluang merasai pengalaman melalui eksperimen ketika bermain seperti lompat, menangkap, meramas, memusing, tendang, baling, lari, bergolek dan sebagainya.
- Bayi yang merangkak dahulu sebelum berjalan lebih pengamatan kerana dia dapat mempelajari banyak perkara melalui persekitaran.
Ketika Berusia Antara 14 Bulan Hingga Dua Tahun
- Kanak-kanak sudah boleh bercakap. Mereka suka dengan permainan imaginatif seperti bermain dengan air. Juga pengalaman secara langsung dengan persekitaran seperti graviti, berat, timbul, tenggelam, sejuk dan sebagainya.
Ketika Berusia Antara Tiga Hingga Lima Tahun
- Ibu bapa boleh merangsang kanak-kanak untuk berdikari, belajar berkerjasama, meneroka seni, pelajari pengalaman tentang sebab dan akibat, berimaginasi serta pembinaan kreativiti untuk merangsang kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah.
CIRI SEMULA JADI KANAK-KANAK
- Kanak-kanak suka meniru perlakuan orang lain (mimik) tanpa mengetahui mengapa sebabnya. Ia akan meniru perlakuan karakter kegemaran mereka selain ibu bapa seperti karakter kartun, tv, dan sebagainya.
- Kanak-kanak biasanya degil. Ini kerana mereka ingin berdikari tetapi dalam masa yang sama masih memerlukan kehadiran ibu bapa. Membiarkan kanak-kanak mengetahui akibat daripada perbuatan mereka adalah satu cara untuk mengajar mereka agar tidak mengulangi perkara yang sama.
- Belum mampu membezakan betul dan salah. Pemikiran kanak-kanak belum mampu menaakul sesuatu berasaskan logik dan mereka juga tidak faham mengenai abstrak.
- Suka bertanya soalan. Disebabkan perasaan ingin tahu yang mendalam, kanak-kanak suka bertanya soalan yang pelbagai mengenai persekitaran, perlakuan dan apa sahaja. Dalam menangani perkara ini, ibu bapa atau pengasuh perlu kreatif ketika memberi jawapan yang sepadan dengan perkembangan pemikiran mereka.
- Ingatan yang tajam. Ketika usia sebegini, kanak-kanak memang mudah mengingati apa sahaja yang didedahkan kepada mereka. Jika disuruh menghafal sesuatu, mereka mudah ingat tetapi tidak faham apa yang dihafal.
- Suka kepada ganjaran dan sokongan. Puji kanak-kanak dan beri perhatian serta galakan kepada mereka untuk merangsang perkembangan positif.
- Kanak-kanak memang suka bermain dan perkara yang menghiburkan adalah naluri semula jadi mereka. Sebolehnya ibu bapa atau pengasuh bermain bersama mereka agar tidak terlibat dengan perkara yang mendatangkan bahaya.
- Suka bersaing. Semakin kanak-kanak membesar dan sudah boleh berinteraksi dengan adik beradik juga rakan sebaya, mereka akan mula bersaing sesama sendiri dengan tujuan untuk mendapat perhatian.
Sumber: Utusan & Internet