Mama pernah dengar tentang ‘journaling’? Journaling ialah salah satu cara untuk menulis rutin harian, perasaan, emosi yang diluahkan dalam sebuah buku. Kalau Mama nak tahu, ‘journaling’ ni bukan je boleh dilakukan oleh orang dewasa tapi kanak-kanak pun boleh!
Masa yang paling sesuai untuk mengajar anak-anak mula menulis journal ialah ketika mereka dah tahu menulis atau menconteng. Mama Siti mula mengajar anak-anak untuk menggunakan journal ketika mereka dah mula menulis. Sampai sekarang, mereka masih menggunakan journal dan Mama Siti dapati ia sesuatu yang bagus untuk perkembangan minda mereka.
Ramai juga yang bertanya, atau mereka rasa macam “perlu ke nak buat ‘journaling’?” “buat journal ni ada manfaat ke?” dan “journal ni hanya menconteng je ke?”. Jawapannya, terpulang kepada setiap individu. Untuk pengetahuan mama, ‘journaling’ ni banyak sangat kelebihannya tau!
Kenapa Journaling Digunakan?
‘Journaling’ ialah aktiviti yang bagus untuk anak-anak yang susah untuk menulis, tak tahu cara untuk menulis dan juga tak mahu bercakap. Selain tu, ianya boleh juga digunakan untuk mata pelajaran di sekolah. Dari pengalaman dengan anak Mama Siti, mereka juga menggunakan teknik ‘journaling’ untuk kelas matematik, sains, dan lain-lain.
Sebenarnya, ia terpulang kepada diri kita sendiri. Ada yang lebih suka melukis di dalam journal, ada juga yang suka melukis atau menampal gambar. Setiap individidu kan berbeza, jadi journal ini ialah satu platform mengikut kreativiti sendiri!
5 Kelebihan Journaling Bagi Kanak-Kanak Yang Mama Patut Tahu
1) Meluahkan Perasaan
Antara salah satu sebab utama untuk mula menggunakan journal ialah untuk meluahkan perasaan yang terpendam. Kadang-kadang, anak kita susah untuk memberitahu perasaan mereka secara face-to-face. Mungkin mereka masih belum selesa atau ada sesuatu yang mereka lagi selesa untuk simpan sendiri. Jika anak Mama susah meluahkan perasaan, ‘journaling’ ini pasti dapat membantu si manja untuk lebih terbuka untuk bercerita dan memahami perasaan mereka sendiri.
2) Komunikasi Yang Lebih Efisien
Hasil daripada mereka belajar meluahkan perasaan mereka, sudah tentunya komunikasi si manja akan menjadi lebih baik. Anak-anak akan sedar bahawa segala perasaan dan emosi mereka itu valid dan mereka akan rasa selamat dengan menulis.
Sedikit demi sedikit mereka akan lebih mudah berkomunikasi tentang apa yang mereka mahu, tak mahu, keinginan mereka, cita-cita dan impian serta banyak lagi!
3) Lebih Teratur (Organised!)
Anak-anak akan menjadi sangat organised kerana mereka mempunyai satu sistem menulis setiap hari dan mereka akan mahir dalam merancang keputusan mereka. Si manja akan menjadi lebih berdisiplin dan teratur dalam melakukan kerja-kerja lain seperti kerja sekolah!
Kalau Mama nak tahu, bila anak Mama Siti mula ‘journaling’, dia memang jenis yang tak teratur langsung. Tapi, dalam bulan ketiga dia mula ‘journaling’, Mama Siti nampak perubahan dalam diri dia. Dia menjadi seorang kanak-kanak yang sangat organised.
4) Teknik Menulis Akan Meningkat
‘Journaling’ dapat menggalakkan anak-anak untuk menulis setiap hari, minggu ataupun bulan. Mereka akan menjadi biasa dengan rutin ini dan sekaligus penulisan mereka akan bertambah baik! Salah seorang kawan Mama Siti, mula menulis journal dari dia berumur 6 tahun dan sekarang dia menjadi seorang penulis buku.
Siapa sangka daripada’ journaling’, terus menjadi seorang penulis buku! Percayalah, anak-anak akan lebih handal dalam menulis karangan di sekolah kerana mereka terlalu biasa dengan menulis di dalam journal mereka.
5) Mengasah Kreativiti
Bagi anak-anak yang kecil, mereka kurang gemar menulis ayat-ayat yang panjang. Jadi, disebabkan ‘journaling’ ini tak ada syarat atau kriteria, ianya boleh dijadikan platform untuk anak-anak menjadi lebih kreatif. Tadi Mama Siti ada bagitahu, ia boleh juga dilakukan dengan teknik menampal gambar, melukis, mewarna dan macam-macam.
Jadi, bagi mereka yang suka menjadi kreatif, ‘journaling’ ialah tempat yang sesuai untuk mengeluarkan personaliti diri yang gemar akan seni! Seni itu kan platform untuk meluahkan perasaaan dan cerita. Jadi, anak-anak boleh mulakan ‘journaling’ dengan cara ini!
Apa Yang Mama Perlu Sediakan Untuk Journaling:
- Buku Nota (Mengikut cita-rasa anak-anak)
- Pensel
- Pen
- Pensel Warna
- Magic Pen
- Kertas Warna
- Gunting
- Majalah
- Krayon
Ini hanyalah beberapa barang yang Mama boleh sediakan. Bagi barang-barang lain, ianya terpulang kepada si manja. Apa yang mereka perlukan? Haa, Mama kenalah tanya si manja apa yang mereka perlukan untuk ‘journaling’. Ada kanak-kanak hanya memerlukan pensel dan pen, manakala kanak-kanak lain suka kepada seni.
Semoga bermanfaat!
BACA JUGA 5 TIPS AJAR ANAK-ANAK TENTANG AZAM TAHUN BARU!
Pesan Mama Siti
Mama Siti harap, Mummy di luar sana dapat memahami apa kelebihan dan manfaat journaling ini. Yelah tak ramai yang tahu tentang kelebihannya. Jangan lupa untuk cuba untuk anak-anak dan diri sendiri pun boleh! Selamat mengajar journaling kepada si manja, Mummies!