Baru-baru ni, kita dikejutkan dengan berita seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia sebab kena sengatan tebuan. Sedih bila Mama Siti baca berita ni. Bukan seekor tebuan sengat ye tapi 60 ekor tebuan. Bayangkanlah betapa bisanya tu. Sekarang ni, mama dengan papa kena sentiasa berhati-hati ya bila biar anak-anak bermain di luar rumah. Macam-macam boleh terjadi bila kita terleka walaupun sekejap.
Untuk pengetahuan mama, serangga daripada jenis lebah, penyengat, tebuan dan tebuan tanah ada kepentingan perubatan yang besar sebab gigitan atau sengatan serangga ni boleh sebabkan tindak balas keracunan mendadak serta alahan yang boleh membawa maut.
Dekat sini, Mama Siti akan kongsi tentang bahayanya sengatan tebuan ni supaya mama dan papa sentiasa alert. Bukan je bahaya pada anak-anak tapi kita yang dewasa ni kalau terkena sengatan tebuan boleh terkesan juga.
Apa Itu Tebuan?
Tebuan ni adalah sejenis serangga yang datang dari kumpulan hymenoptera yang mempunyai sengat bersambungan dengan saluran kantung racunnya di tapak sengatan supaya bahan racun tu terus mengalir ke dalam tubuh mangsanya. Sejenis bahan kimia yang disebut pteromone juga ditinggalkan kepada mangsanya bagi menarik perhatian lebah lain supaya menyerang mangsa tersebut.
Tindak balas Tebuan Terhadap Mangsa
Kalau perkara ni terjadi, mangsa sengatan boleh menunjukkan salah satu tindak balas berikut:
- Mangsa yang pertama kali disengat, kesan kesakitan dan rasa panas dirasai pada tapak sengatan. Bengkak merah akan muncul selepas sengatan tersebut dan bengkak ini akan hilang selepas 1 hingga 2 jam. Bahan beracun himenoptera boleh menghasilkan kesan-kesan reaksi setempat dalam masa beberapa jam, antaranya gerak balas badan (bahagian sengatan kelihatan timbul), rasa gatal, sakit dan bengkak kemerahan. Kesan-kesan ni akan surut dalam beberapa jam kecuali jika sengatan di mulut atau kerongkong yang menyebabkan reaksi ini boleh menyempit saluran pernafasan. Jika mangsa alah kepada bahan racun tersebut, kejutan anafilaksis akan dialami.
- Untuk mangsa yang pernah kena sengatan ni sebelumnya atau tunjukkan kesan alahan yang keterlaluan, bengkak merah yang muncul akan merebak ke kawasan lain untuk menyebabkan mangsa mengalami kesan-kesan lain seperti pening, sakit kepala, sakit perut dan rasa lemah badan. Kalau sengatan yang berlaku meliputi keseluruhan badan seperti di dalam sengatan sekawan besar serangga, tindakbalas alahan menjadi teruk sehingga mangsa boleh mengalami bengkak di saluran pernafasan, susah bernafas dan pengsan.
- Kematian mengejut boleh berlaku jika langkah kecemasan tak dijalankan ke atas mangsa sengatan ni. Reaksi alahan ini menjadi ketara antara 30 minit hingga 24 jam selepas disengat. Seram kan tengok dia punya kesan bila kena sengat. Sebab tu, bila kena sengat, cepat-cepat rujuk terus ke hospital. Jangan lengah-lengah.
- Reaksi luar biasa ni akan hanya terhasil daripada pembebasan bahan kimia yang dapat menghasilkan kejutan (penurunan tekanan darah), penyempitan sistem pernafasan, ruam menyeluruh dan bengak pada saluran darah. Ini membuatkan pesakit rasa sesak nafas, tak sedarkan diri atau boleh menyebabkan maut. Reaksi ni biasanya dialami pada mangsa alah yang pernah disengat oleh tebuan atau lebah.
- Reaksi anafilaksis, walaupun ringan (hanya ruam, lecur dan tak mengancam nyawa) tapi masih perlu dirawat di hospital atau klinik. Reaksi anafilaksi selalunya berlaku lepas badan jadi peka (sensitisasi) apabila sedikit alergen terkandung pada racun yang masuk ke dalam tubuh mangsa menghasilkan reaksi pada sel-sel sistem pertahanan badan. Ini menjadikan sistem pertahanan lebih peka (hipersensitif) kepada bahan tersebut apabila didedahkan seterusnya. Selalunya sengatan pertama atau sengatan sensitisasi ini tak disedari oleh mangsa sebab ia tak menghasilkan apa-apa kesan yang ketara selain reaksi setempat. Keupayaan hipersensitiviti hasil daripada sengatan sensitiasi boleh bertahan dari berberapa bulan hingga beberapa tahun.
Langkah-Langkah Yang Boleh Dilakukan Sekiranya Disengat Tebuan
- Mana-mana bahagian tubuh yang terdedah boleh jadi sasaran sengatan serangga. Jadi bila bekerja di luar rumah pastikan pakai baju berlengan panjang, seluar panjang dan kasut.
- Elakkan pakai pakaian bercorak bunga-bunga dan berwarna-warni kerana ni akan menarik perhatian serangga himenoptera.
- Pastikan jangan pakai bau-bauan atau minyak wangi atau bahan yang berbau kuat sebab ini boleh tarik perhatian serangga himenoptera.
- Apabila pergi berkelah pastikan makanan yang manis atau sisa makanan tak terdedah kerana ini boleh menarik perhatian serangga himenoptera.
- Jangan ganggu sarang serangga. Jika diusik, serangga akan datang serang bagi melindungi sarangnya.
- Gunakan racun serangga atau ubat sapu penghalau serangga di badan untuk mencegah gigitan atau sengatan serangga.
Bila kena serang dengan tebuan, pergerakan yang perlahan untuk mengelak lebih baik daripada pergerakan cepat untuk melarikan diri atau cubaan untuk membunuh serangga tersebut.
Apa Yang Mama Kena Buat Jika Anak Disengat Tebuan
- Kalau anak-anak kena sengat dengan serangga, jangan tampar atau bunuh haiwan serangga tersebut. Biasaanya, serangga akan tinggalkan pundi sengat ke dalam kulit yang akan tertolak lebih dalam masuk ke kulit dan akan sukarkan lagi pengeluaran pundi sengat tersebut. Tepis serangga daripada kulit dan perhatikan sama ada pundi sengat masih tertanam ke tak dalam kulit. Kalau ada pundi sengat dekat dalam kulit, gunakan lah pengumpil atau penyepit untuk menanggalkan pundi sengat.
- Guna tali tornikuet untuk ikat bahagian tangan atau kaki di atas tapak sengatan. Ikatan ni akan perlahankan sebaran sengat ke bahagian tubuh badan yang lain.
- Basuh kawasan sengatan dengan sabun dan air dan letakkan ais ke atas tapak sengatan untuk kurangkan bengkak.
- Hadkan pergerakan kaki atau tangan yang mengalami sengatan. Bawa mangsa berjumpa doktor dengan segara.
Semoga dengan apa yang dikongsikan oleh Mama Siti dapat buat mama dan papa tahu yang betapa bahayanya sengatan tebuan ni. Perhatikan anak-anak selalu. Jangan leka sebab malang tak berbau.
Sumber: Pusat Racun Negara
Baca Juga JANGAN PANDANG RINGAN BILA BAYI DEMAM. IA BOLEH MENGUNDANG BAHAYA!
Pesan Mama Siti
Kalau mama dan papa nampak sarang tebuan ni sama ada dekat dalam atau luar rumah, cepat-cepat laporkan pada bomba ya. Jangan memandai nak hapuskan sendiri. Biar pihak berkuasa yang buat sebab diaorang ada kelengkapan lengkap dan lebih selamat nak hapuskan sarang tebuan ni. Nanti tak pasal-pasal kena sengat pula!