Adalah normal bagi kanak-kanak yang berumur antara 7 bulan dan keatas untuk mempunyai ‘stranger anxiety’. ‘Stranger anxiety’ adalah salah satu pencapaian tumbesaran (milestone) dari segi pertumbuhan sosial seorang kanak-kanak. ‘Stranger anxiety’ atau dengan bahasa mudahnya ialah ‘takut orang’, atau takutkan seseorang yang mereka tidak kenali. Mereka juga mula mengalami ‘separation anxiety’ atau takut/ gentar untuk berpisah dengan ibubapa. ‘Separation anxiety’ juga adalah sesuatu yang normal bagi kanak-kanak yang berumur sedemikian.
Pekerja-pekerja di nurseri adalah orang-orang yang anak anda tidak kenali, dan memang wajar anak merasa takut dan menangis. Anak puan mungkin akan mengambil masa berminggu untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan keadaan yang baru. Namun, sekiranya ‘separation anxiety’ berlaku dengan tiba-tiba atau berpanjangan, ada kemungkinan ada perkara lain yang berlaku. Perkara seperti penderaan atau buli boleh menyebabkan anak mengalami ‘separation anxiety’ yang berpanjangan. Setiap kelakuan kanak-kanak ada makna di sebaliknya. Setiap kelakuan yang negatif selalunya ada mesej yang mereka cuba sampaikan kepada kita. Setiap kelakuan adalah hasil dari satu keperluan yang tidak dipenuhi (a need not being met). Di dalam keadaan ini, anak mengamuk menandakan ada sesuatu keperluan yang tidak dipenuhi. Bincanglah dengan pengasuh di nurseri mengenai masalah ini. Dapatkan laporan yang terperinci mengenai kelakuan anak di nurseri.
Adakah dia menangis sepanjang hari? Atau dia menangis hanya beberapa minit semasa dihantar? Adakah dia menangis hanya pada orang-orang tertentu? Pastikan tiada penderaan yang berlaku. Periksa sekiranya terdapat ada kesan-kesan penderaan. Sekiranya anak anda telah boleh bercakap, berceritalah dengan dia mengenai nurseri itu dan cuba kenalpasti apakah yang menyebabkannya ‘takut sekolah’ dari cerita beliau. Secara amnya, sekiranya kita ingin menghantar anak ke suatu tempat yang baru seperti pengasuh atau sekolah yang baru, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kerunsingan atau ‘anxiety’ anak, dan mencepatkan proses penyesuaian diri.
TIP UNTUK SI MANJA
- Bercerita dan berbual dengan anak mengenai sekolah baru eg ‘nanti adik akan ke sekolah baru, nama sekolah tu ABC, nama cikgu….’. Janganlah menghantar anak secara tiba-tiba tanpa sempat membuat persediaan emosi yang secukupnya untuk anak.
- Kenalkan kepada pengasuh yang baru, sebelum tinggalkan anak di tempat baru.
- Sekiranya boleh, cuba tinggalkan secara berkala e.g. hanya 10 minit di hari pertama, 30 minit di hari kedua dan seterusnya (bergantung dan sesuaikan dengan umur anak).
- Bekalkan barang/ permainan kesayangan anak seperti selimut, bantal yang anak suka.
Namun, jika anda rasa anak anda takut untuk ke tadika, taska atau rumah pengasuh disebabkan telah didera secara emosi atau fizikal, semak ini. Berikut adalah beberapa tanda yang anda boleh lihat jika anda syak anak didera di sekolah (atau rumah):
- Anak Anda Menangis Dan Melawan Ketika Anda Ingin Menghantar Mereka Ke Taska/Pusat Jagaan/ Tadika
- Anak Anda Kelihatan Takut Dengan Orang-Orang Yang Mereka Baik Sebelum Ini.
- Perubahan Kelakuan Di Rumah Atau Sekolah (Terlalu Manja, Cengeng Atau Pendiam)
- Anak Anda Ada Lebam, Luka Atau Kecederaan Yang Lain. Kecederaan Yang Berulang Mungkin Adalah Tanda Penderaan
- Anak Anda Sering Mimpi Ngeri, Mengigau Dan Sukar Tidur.
Apa yang anda patut buat sekiranya anda mengesyaki anak anda di dera di sekolah?
- Jika tidak pasti, bercakap dengan guru besar sekolah tentang itu
- Jika sudah pasti, buat laporan polis dan pihak berkenaan akan menyiasat hal tersebut
- Segera jauhkan anak anda dari pendera
- Hubungi talian bantuan seperti talian dera untuk bantuan.
Sumber: doktorbudak.com