“Alamak, apa benda dekat peha belakang macam lipat-lipat ni! Selulit ke? Ish, macam mana boleh ada ni? Badan I dah gemuk ke?”
Meskipun bukan gejala serius, namun kewujudan selulit pada anggota badan adalah suatu hal yang tak disenangi lantaran ianya kelihatan tidak menarik di tubuh individu itu terutama sekali bagi kaum wanita.
Mama Siti yakin kebanyakan daripada anda menganggap masalah ini terjadi kerana pertambahan berat badan kan?
Tidak dinafikan itu antara faktornya, namun ia bukanlah sebab utama kerana individu yang bertubuh kurus sendiri turut tidak terkecuali daripada mendapat masalah selulit.
Perasan tak lelaki jarang mendapat selulit, walaupun obes kan? Malah kanak-kanak bertubuh gempal juga tidak mempunyai selulit. Namun, mengapa wanita yang sangat langsing pula boleh mendapat selulit?
Untuk menjawab persoalan ini, jom kita ketahui apa penyebab seseorang itu boleh mendapat selulit?
Apa Itu Selulit?
Menurut portal My Health, selulit adalah satu istilah yang digunakan untuk menggambarkan penampilan kulit berlekuk yang disebabkan oleh lapisan lemak yang terkumpul di lapisan bawah kulit. Ia biasanya berlaku di bahagian abdomen, kaki, peha dan kawasan pelvis dan biasanya terbentuk selepas baligh.
Selulit biasanya terjadi di kalangan wanita tetapi boleh berlaku kepada kedua-dua jantina.
Klasifikasi selulit:
- Gred 1: Tiada tanda atau gejala klinikal tetapi pemeriksaan mikroskopik sel-sel lapisan bawah kulit akan mengesan berlakunya perubahan anatomi
- Gred 2: Kulit kelihatan pucat, mempunyai suhu yang lebih rendah dan kurang anjal di samping perubahan anatomi yang dicatatkan di bawah pemeriksaan mikroskopik.
- Gred 3: Kulit kelihatan kasar seperti kulit buah oren dengan semua tanda dalam Gred 2 sebelumnya
Penyebab Berlakunya Selulit
Ujar portal sama, tiada sebab jelas tentang bagaimana seseorang boleh mendapat selulit, namun benerapa keadaan dikaitkan adalah:
1. Faktor Hormon
Ramai berpendapat hormon seperti estrogen, insulin, noradrenalin, tiroid dan prolactin memainkan peranan dalam proses pembentukan selulit.
2. Faktor Genetik
Gen-gen tertentu diperlukan untuk pembentukan selulit. Gen-gen ini mungkin mendedahkan seseorang kepada sifat-sifat tertentu yang berhubungkait dengan selulit seperti jantina, bangsa, kadar metabolisma yang rendah, pengagihan lemak di bawah kulit dan peredaran darah yang tidak sempurna.
3. Diet
Pengambilan makanan yang mengandungi terlalu banyak lemak, karbohidrat atau garam dan kurang serat.
4. Faktor Gaya Hidup
Lebih ketara di kalangan mereka yang merokok, tidak melakukan senaman dan mereka yang duduk atau berdiri terlalu lama.
5. Faktor Pakaian
Seluar dalam yang ketat yang meliputi seluruh bahagian punggung akan menghadkan aliran darah boleh menyumbang kepada pembentukan selulit.
6. Tisu Kulit
Bagaimanapun, portal Hello Doktor menjelaskan punca selulit berlaku disebabkan hormon sehingga memberikan kesan kepada tisu di dalam kulit khususnya golongan wanita.
Dalam kebanyakan lelaki, tisu penghubung ini disusun dalam bentuk bersilang atau pepenjuru, dalam susunan yang berterusan.
Tisu penghubung wanita berbeza, dalam bentuk menegak (vertikal dengan kulit). Oleh itu, jaringan penghubung ini (dipanggil septae) menambat kulit kepada tisu di bawah pada tempat-tempat tertentu, mewujudkan “kamar lemak” yang menolak pada kulit sementara jaringan tersebut menarik kulit ke bawah.
Perbezaan dalam susunan tisu penghubung (ditambah pula dengan fakta bahawa kulit lelaki biasanya lebih tebal berbanding wanita) menjelaskan mengapa sangat sedikit lelaki mempunyai selulit berbanding wanita.
Cara & Tips Menghilangkannya
Berita baiknya adalah, selulit ini boleh tidak kekal jika anda tahu cara mengurangkannya. Ya, ia hanya untuk mengurangkan, bukan untuk menghilangkan tau!
Ia boleh dikurangkan melalui amalan gaya hidup sihat termasuk kekal hidrat, tidak merokok, dan mengikuti diet dan rancangan senaman yang betul.
Gabungan diet dan senaman yang betul akan mengurangkan lapisan lemak di bawah kulit, menjadikan selulit kurang ketara. Pemakanan yang betul juga boleh membantu memastikan kulit dan tisu penghubung kuat, lebih sihat dan lebih lembut.
Disamping itu, memastikan diri terhidrat dan makan dengan baik akan membantu mencegah pengekalan air (yang memburukkan lagi selulit).
Senaman membantu dengan selulit dalam pelbagai cara. Bukan sahaja ia membantu memastikan tahap lemak badan lebih rendah, ia juga memperbaiki peredaran dan otot nada di tempat selulit yang sering berlaku. Peredaran yang lebih baik akan menjaga kedua-dua kulit dan sihat tisu penghubung, serta membantu dengan penyingkiran sisa dan pengekalan cecair berlebihan.
Tiada rawatan khusus yang terbukti keberkesanannya. Sebaiknya, anda dapatkan dahulu nasihat daripada pakar pemakanan dan seumpamanya yang diiktiraf sebelum mendapatkan rawatan selulit atau rawatan pelangsingan.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Untuk dapatkan pelbagai info dan tips tentang Kesihatan, anda boleh klik di SINI!