Bebas lampin adalah perkara penting yang ibu bapa ingin mengatasi dengan lebih awal lagi, supaya si comel anda bebas daripada kotoran najis dan kebosanan kerana perlu kerap menukar lampin. Ini tidak termasuk kos lampin pakai buang yang semakin meningkat atau juga masalah ruam lampin yang dialami anak anda. Kelab Mama ingin berkongsi beberapa perkara yang perlu anda tahu sebelum membuat keputusan agar anak anda bebas daripada lampin selamanya.
Masanya Sudah Tiba..
Tidak ada had umur tertentu untuk melatih anak menggunakan tandas. Sesetengah budaya memulakannya pada peringkat umur yang sangat awal. Kebanyakkan masyarakat kita hari ini mula melatih anak menggunakan tandas apabila anak itu menunjukkan tanda-tanda bahawa dia sudah bersedia:
- Selalunya di antara 18 bulan hingga tiga tahun.
- Anak anda boleh memberitahu jika dia telah mengotorkan lampinnya. Kebanyakkan mereka belajar untuk membuang air besar di dalam tandas terlebih dahulu sebelum membuang air kecil. Lebih mudah jika mereka jenis yang tidak tahan dengan bau busuk dan najis di dalam lampin mereka.
- Perubahan raut muka, terutamanya sebelum buang air besar. Ini membolehkan anda melatih dia duduk di tandas dengan lebih awal lagi.
- Kebolehan untuk mengekalkan lampin kering selama beberapa jam. Ini menunjukkan pundi kencing dapat dikawal dengan lebih baik dan membolehkan anda mengaturkan masa untuk membawanya ke tandas.
- Kebolehan untuk memberitahu keinginannya secara bercakap atau menunjuk dengan jari.
8 Tip Untuk Potty Trainning
- Anda boleh mula melatih anak anda menggunakan tandas sebaik sahaja dia mampu duduk di atas bekas. Ini boleh dilakukan pada waktu mandi. Jika dia sudah bersedia, dia akan ingin duduk di atas tandas sehinggalah dia dapat mengeluarkan air kencing. Sebaliknya, dia mungkin juga akan duduk beberapa saat sahaja, ataupun tidak ingin duduk langsung. Sekiranya dia tidak menunjukkan minat untuk duduk diatas tandas, usahlah memaksa cuba sekali lagi pada hari lain.
- Guna tandas mudah alih yang sesuai. Jika dibandingkan dengan perkakas yang anda perlukan untuk menukar lampin, barang keperluan untuk melatih anak anda menggunakan tandas adalah ringkas iaitu sebuah tandas mudah alih plastik yang ringan dan boleh dibasuh.
- Beritahu anak anda kegunaan tandas dan berikan dia galakan untuk menggunakannya. Perhatikan tanda yang menunjukkan bahawa dia ingin buang air, kerana kemungkinan dia tidak sedar lagi bahawa sepatutnya menggunakan tandas. Lebihkan perhatian terutamanya selepas makan, minum dan tidur. Kekerapan setengah jam sekali, anda perlu membawa anak anda ke tandas untuk peringkat awal. Setiap kali dia menggunakan tandas, bantulah dia untuk duduk dengan betul.
- Janganlah marah atau berleter jika dia terkencing atau terbuang air besar merata-rata. Bersihkan secepat mungkin, dan nasihatinya dengan lembut supaya menggunakan tandas pada masa yang akan datang. Bersabar dan ulanginya sebanyak yang mungkin sehingga dia ingat. Jika anda tidak ingin dia mengotori seluarnya pada peringkat ini, tetapi tidak juga mahu dia bergantung pada lampin, maka belilah seluar pakai buang yang boleh menyerap atau biar sahaja dia tidak pakai apa-apa. Anak-anak selalunya berjaya dalam proses bebas lampin dalam masa 2 hingga 4 minggu.
- Jika dia duduk di atas tandas dengan senang hati, tetapi lantas bangun tanpa membuat apa-apa, galakkan dia untuk duduk dengan lebih lama lagi. Lima minit sepatutnya mencukupi bagi anda mengagak sama ada dia melengah-lengah atau sememangnya dia tidak terasa hendak buang air. Sekiranya dia hendak bangun dan bermain, berikan dia alat mainan atau berbual-bual dengannya supaya dia tidak berasa bosan. Jika selepas beberapa minit tiada apa-apa berlaku, biarkan dia bangun dari situ dan pastikan dalam masa setengah jam kemudian sama ada dia perlu menggunakan tandas atau tidak.
- Anda pasti gembira apabila anak anda berjaya menggunakan tandas dengan betul. Tunjukkan kegembiraan anda kepada anak anda dengan kata-kata pujian dan ciuman.
- Apabila anak anda berjaya menggunakan tandas pada siang hari, dan tidak membasahi lampinnya pada waktu malam selama tujuh malam berturut-turut, anda boleh cuba menanggalkan lampin pada malam hari.