Sembelit ketika berpantang? Ini paling biasa menimpa kaum ibu tatkala selepas selamat melahirkan cahaya mata. Tak kiralah sama ada bersalin secara pembedahan atau pun normal, diserang sembelit merupakan masalah paling seksa dirasakan ketika itu.
Dengan luka jahitan yang baru nak pulih dan bercantum, terpaksa meneran najis dirasakan sangatlah azab. Bagi mereka yang bersalin normal, tekanan otot berlebihan ketika meneran boleh menyebabkan luka jahitan terbuka. Tak percaya?
Ya Mama. Bila sembelit, Mama berdehem kuat bagi melancarkan pergerakan usus pun dah boleh berisiko untuk terkoyak di jahitan faraj.
Bagi mereka yang menjalani caesarean pula, meneran menggunakan otot di perut menyebabkan bahagian jahitan di kawasan itu seperti dihiris-hiris. Aduh, ngeri bukan?
Tapi pernahkah Mama terfikir mengapa masalah sembelit selepas bersalin sering dialami oleh kaum Hawa sejak dahulu lagi?
Ia kerana amalan berpantang secara tradisional yang mana pemakanan buah-buahhan dan air sangat disekat. Ini menyebabkan masalah sembelit dihadapi kaum ibu dahulu adalah teruk dan serius.
Agaknya mengapa pemakanan buah dilarang dan minuman air pula disekat dengan jumlah tertentu? Untuk pengetahuan Mama, ia berikutan masyarakat dahulu membina tandas di luar rumah dan ada yang terletak sedikit jauh bagi mengelakkan bau busuk berdekatan dengan kediaman.
Selain itu, rumah zaman dulu juga dibina secara tinggi menyebabkan ibu-ibu yang dalam berpantang tak digalakkan untuk naik turun tangga dengan kerap.
Ia sekaligus mengakibatkan wanita berpantang tadi dihalang untuk membuang air kecil dan besar dalam tempoh berkali-kali sehari kerana bimbang jahitan lambat sembuh kalau sering terkena air.
Selain itu, ibu itu juga perlu elak berjalan jauh dan turun tangga yang curam.
Nah, ini semua mendorong kepada amalan berpantang lama yang sangat tidak sihat. Di zaman kini, pakar perubatan menasihatkan agar ibu yang lepas bersalin mengambil pemakanan berkhasiat agar mempercepatkan luka jahitan.
Minum air dalam kuantiti yang banyak bagi mengelakkan dehidrasi. Kalau tak, terpaksalah hadap sembelit yang mengerikan tu Mama.
Punca Sembelit Selepas Bersalin
Selain daripada faktor amalan berpantang tradisional, masalah sembelit selepas bersalin juga berlaku kerana kegusaran ibu-ibu itu sendiri untuk buang air besar buat pertama kali selepas melahirkan anak.
1. Perasaan takut yang keterlaluan
Terlalu berasa risau untuk buang air besar khususnya selepas prosedur kelahiran bayi sebenarnya boleh memburukkan lagi situasi. Ia kerana perkara itu menyumbang kepada faktor sembelit lantaran Mama akan ‘takut-takut’ untuk meneran dan membuatkan Mama tidak tenang sekaligus mengetatkan saluran belakang.
2. Perubahan hormon
Sesetengah wnita akan menghadapi perubahan hormon ketika hamil dan ia berlarutan sehingga bersalin dimana hormon berkenaan beralih secara perlahan.
Adakalanya, perubahan hormon boleh mengakibatkan masalah sembelit berikutan perubahan gaya hidup, tabiat pemakanan dan pelbagai lagi faktor yang boleh dikaitkan.
3. Ubat selepas bersalin
Sesetengah ubat-ubatan boleh menyebabkan tekstur najis seseorang menjadi keras. Sebahagian doktor adakalanya membekalkan beberapa jenis ubat untuk dibawa pulang sebaik selesai proses melahirkan cahaya mata.
Bagaimanapun, Mama boleh menunjukkan ubat berkenaan kepada nurse atau doktor yang akan memantau perkembangan Mama sewaktu berpantang untuk mengetahui lebih lanjut tentang ubat-ubatan berkenaan.
4. Dehidrasi
Dehidrasi berlaku apabila kekurangan air dalam tubuh dan ia keadaan paling sinonim untuk Mama mengalami sembelit. Bagi mengatasi hal ini, Mama harus memperbanyakkan makan buah-buahan serta minum air kosong secukupnya bagi memastikan najis mudah dilawas.
Sesetengah amalan berpantang secara tradisional melarang para ibu untuk makan buah-buahan atau minum air kosong dengan banyak.
Tetapi di zaman era moden ketika ini, pakar perubatan telah menepis larangan itu. Sebaliknya, menyarankan ibu-ibu yang baru bersalin untuk makan buah-buahan dan minum air sebanyak yang boleh bagi mengatasi masalah sembelit.
Daripada sudut kesihatan, ia adalah baik bagi proses pemulihan luka jahitan, kesihatan tubuh, penghasilan susu badan berkualiti dan pelbagai lagi manfaat.
Tips Melegakan Sembelit Selepas Bersalin
1. Pengambilan ubat diluluskan
Terdapat beberapa ubat yang berfungsi melembutkan najis dan ianya amat sesuai digunakan untuk Mama yang baru lepas bersalin.
Pengambilan ubat berkenaan membantu Mama membung air besar dengan lebih lancar tanpa perlu meneran. Maka, Mama tak perlulah risau kalau nak buang air besar ketika fasa awal berpantang.
Bagaimanapun, pastikan Mama rujuk kepada doktor terlebih dahulu sebelum consume ubat berkenaan!
2. Diet pemakanan yang sihat
Menurut laporan kesihatan oleh Hello Doktor, makanan berserat tinggi seperti bijirin penuh, roti gandum, beras perang, kekacang, buah-buahan dan sayuran adalah pilihan terbaik untuk melancarkan pergerakan sistem pencernaan.
Pengambilan dua ke tiga biji buah prun dikatakan sama seperti pengambilan julap. Selain kaya serat tinggi, ia juga mengandungi sugar alcohol yang mempunyai kesan julap semula jadi.
Elakkan makanan yang boleh berisiko sembelit yerr Mama. Contonhnya makanan yang menyerap air tinggi seperti pisang muda. Sekiranya perlu makan, minum air dengan secukupnya.
3. Minum air secukupnya
Penyusuan badan boleh menjadi punca sembelit selepas bersalin lantaran sebahagian air yang masuk ke tubuh digantikan untuk memproses susu badan.
Tanpa air mencukupi, usus akan menyerap air daripada sisa makanan. Kesannya najis menjadi lebih keras dan tidak bergerak. Jika menyusukan si kecil, sasarkan 10-12 gelas air sehari.
4. Tidak tangguh untuk ke tandas
Menahan keinginan untuk membuang air besar akan membuatkan najis menjadi keras. Jangan lambat ke tandas dan elakkan meneran terlalu kuat atau ia boleh menyebabkan buasir.
5. Posisi membuang air yang betul
Elakkan tandas mencangkung, kerana ia boleh menyebabkan anda berasa lebih takut jahitan akan terbuka. Sebaliknya, pilih tandas duduk dan letakkan kaki di atas bangku kecil.
Memetik laporan sama daripada Hello Doktor, meninggikan kaki membolehkan lutut lebih tinggi daripada pelvis dan membantu mengendurkan otot puborectalis – sekali gus melancarkan pergerakan usus.
6. Bergerak aktif
Amalan gaya hidup aktif dapat melegakan masalah pencernaan seperti sembelit atau kembung perut. Ia juga membantu tubuh untuk menyerap nutrien dengan lebih berkesan.
Apa kaitan bersenam dengan sembelit kan? Tahukah Mama, melalui aktiviti pergerakan, aliran darah akan meningkat ke semua otot badan kita apabila kita bersenam. Ini secara tidak langsung akan menjadikan otot-otot dalam sistem pencernaan termasuk di bahagian usus berfungsi dengan lebih baik. Jadi, makanan pun akan diproses dengan lebih cepat.
Sebab itulah mereka yang baru lepas bersalin disarankan nurse untuk bangun dan berjalan. Mereka sangat tegah jika Mama hanya terlantar dan berbaring ya!
7. Jus lemon
Bagi kaedah semulajadi, jus lemon sememangnya mampu melegakan kesukaran pembuangan air besar.
Caranya:
Masukkan jus lemon secukupnya ke dalam segelas air suam. Lebih berkesan jika menggunakan air yang panas. Selain rasa yang enak, jus lemon juga popular untuk pelbagai manfaat kesihatan lain. Jadi, tak rugi pun kalau Mama amalkan minuman kesihatan ni kan?
8. Cuka epal
Banyak manfaat cuka epal ini. Kalau boleh biar sentiasa ada di rumah jerr Mama. Selain untuk makanan, cuka epal juga membantu melegakan sembelit. Ia membantu meningkatkan penghadaman selain mempunyai kesan positif terhadap kesihatan keseluruhan saluran gastrousus.
Caranya: Campurkan dua sudu cuka epal dengan segelas air suam. Amalkan setiap kali sebelum makan. Boleh diamalkan sebelum sarapan, makan tengahari dan makan malam.
Sembelit selepas hamil sememangnya kerap menyerang ramai wanita. Bagaimanapun, Mama dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor bagi sebarang keadaan mencurigakan atau jika ada kekeliruan yang Mama hadapi.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat Mama dalam melalui fasa berpantang yang baik.
Khas untuk Mama yang pertama kali bakal menjadi ibu, jom sertai program Motherhood New Mom untuk mendapatkan New Mom Program seperti ‘welcome gift’ percuma dan cabutan bertuah untuk 31 pemenang pada setiap bulan (1x Chicco KidFit 2-in-1 Belt Positioning Booster Car Seat, 30x Exclusive Baby Set)!
Apa tunggu lagi jom serang website Motherhood atau download aplikasi Motherhood sekarang!
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Untuk pelbagai info kesihatan buat wanita, Mama dan Papa boleh rujuk di SINI!