KelabMama

KPM: Sekolah Ditutup Jika Suhu Melebihi 37 Darjah Celsius Selama 3 Hari Berturut-turut

Sekolah Ditutup Jika Suhu Melebihi 37 Darjah Celsius 3 Hari Berturut-turut

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan sekolah akan ditutup sekiranya suhu harian melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut berikutan cuaca panas yang melanda di beberapa negeri.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, penutupan persekolahan ini bergantung juga kepada situasi semasa dan kawasan yang terlibat.

“Penutupan sekolah dilakukan mengikut garis panduan yang sedia ada. Pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sedia maklum berkenaan garis panduan itu dan ia masih terpakai”.

Beliau juga berkata, sebarang aktiviti di luar bilik darjah juga akan dihentikan sekiranya suhu cuaca melebihi 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Menurut beliau lagi, pihaknya akan memantau keadaan cuaca semasa dengan mendapatkan nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) untuk kesihatan para pelajar.

Kredit Gambar: Utusan

Berdasarkan laporan media yang melaporkan amaran gelombang haba di Pasir Mas, Kelantan apabila daerah tersebut dikesan suhu panas yang telah mencecah 40 darjah Celsius.

Ada tujuh lagi daerah di Kelantan yang turut menerima suhu maksimum hariannya yang mencecah 37 darjah Celsius iaitu di Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai yang berada di tahap berjaga-jaga sekarang.

Bukan di Kelantan sahaja, malah, di Padang Terap, Kedah dan Kota Marudu, Sabah juga sama turut mengalami cuaca panas dengan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius.

Tambahan pula, cuaca panas yang luar biasa melanda di Kelantan, Perlis dan Kedah ketika ini dijangkakan akan berlarutan selama dua bulan lagi.

Bukan setakat KPM, pihak KKM juga turut membuat mengumuman pada Jumaat (3 Mei) lalu mengenai penutupan sekolah berikutan cuaca panas sekiranya terdapat keperluan untuk berbuat demikian, namun langkah tersebut perlu di teliti terlebih dahulu.

Kredit Gambar: Sinar Harian

Yang penting, Mama Papa jangan lupa bekalkan air masak secukupnya untuk anak-anak minum di sekolah dan nasihatkan kepada mereka untuk mengurangkan aktiviti di luar bilik darjah. Mama Siti risau panas yang melampau boleh menyebabkan anak-anak mengalami strok haba.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan lebih banyak berita-berita terkini mengenai anak Mama Papa di SINI.