Jangan sesekali mak-mak mengharamkan anak lelaki masuk dapur atau tak benarkan buat kerja-kerja orang perempuan di dapur. Sikap terlalu memanjakan anak lelaki inilah nanti akhirnya ‘merosakkan’ mereka dan hilangkan kualiti kepimpinan yang ada dalam diri anak lelaki.Sebab itu kena biasakan anak lelaki basuh beras, lipat baju, siang ikan, potong sayur (sekadar menyebut beberapa contoh) dan tugas-tugas lain yang orang perempuan lakukan. Agar mereka lebih menghargai dan memahami kerja-kerja orang perempuan, iaitu ‘IBUNYA’.
Benar bukan mudah mendidik anak lelaki menjadi LELAKI yang kaya dengan sifat kewalian. Namun itulah amanah yang patut mak-mak terapkan sejak mereka masih kecil. Kerana kegagalan ibu memberi didikan sunnah yang sepatutnya menjadikan ‘mak-mak seorang yang zalim sebab tak dedahkan kebijaksanaan pengurusan pada anak-anak lelaki’
Ini Sebab Kenapa Tak Boleh Manjakan Anak Lelaki
- Kerja-kerja Orang Perempuan Inilah Sebenarnya Tugasan Wajib Anak Lelaki
Kaum wanita tak mendidik anak lelaki sebagaimana sepatutnya. Mak-mak banyak memberi ‘excuse’ dan pelepasan pada anak lelaki. Contoh mudah: ketika di rumah, siapa yang memasak nasi? Anak lelaki atau perempuan. Kenapa ‘masak nasi’ jadi penting? Sebab urusan memasak nasi, membasuh pinggan malah menghidang sepatutnya dijuarai oleh anak lelaki.
- Kerja Renyah Ini Kelak Melahirkan Anak Lelaki Yang Hebat
Ada satu kisah boleh dijadikan contoh, seorang tokoh ibu mithali di Muar mempunyai 10 orang anak. 9 anak lelaki dan seorang anak perempuan. Tapi apakan daya, anak perempuannya meninggal dunia dalam usia muda. Ibu mithali ini tidak mempunyai pilihan melainkan mendidik anak-anak lelakinya membuat kerja rumah seperti memasak, menyapu, mengelap, membasuh dan menyidai pakaian. Akhirnya ibu mithali ini berjaya mendidik anak-anak lelakinya sampai berjaya. Ada yang menjadi doktor, engineer dan sebagainya.
- Agar Anak Lelaki Jadi Suami Yang Tahu Jenis-jenis Nafkah Di Rumah
Siapa penjaga nafkah dalam rumah.. kalau bukan lelaki. Tetapi adakah anak lelaki ini didedahkan dengan jenis-jenis nafkah yang ada di rumah. Sebab itulah dia kena tahu masak nasi, supaya bila dah berkahwin nanti dia tahu adakah beras masih ada lagi atau tidak, kalau isteri goreng ikan hangus pun dia tahu. Dia tahu barang rumah ada lagi atau tiada. Bukannya tahu-tahu balik rumah, minta makanan dan tunggu semua terhidang. Biasakan anak tuang sukatan ‘pot’ beras. Biarkan dia biasa dan faham dengan urusan beras. Nanti bila sampai bab zakat, dia faham konsep cupak.
Biasakan anak lelakinya mencatat barang keperluan di rumah.Dan nyatakan apa yang kurang. Mula-mula memang anak lelakinya kekok, dengan bantuan kakak mereka dapat mencatat setiap barangan yang makin berkurang.Sebab itu kena biasakan anak-anak dengan kerja rumah. Biar dia menyapu, lipat baju, basuh baju. Kalau kotor beri tips macam mana nak bersihkan daki. Dengan bantuan tip yang mak beri, anak takkan jadi putus asa. Bila masuk asrama, ilmu tu jadi berguna. Tidaklah nanti hujung minggu bawa pakaian kotor minta mak basuhkan. Bila dah terbiasa buat kerja rumah, anak akan belajar hargai penatnya kerja orang perempuan. Dia jadi memahami betapa renyahnya ‘depatment’ dapur itu.
- Urusan Berkaitan Dapur Itu Budaya Sunnah
Nak buang manja dalam diri anak lelaki memang sukar, sebab cara ini bukan budaya kita. Tapi mak-mak, ini adalah budaya sunnah. Rasulullah SAW dulu seorang anak yatim. Baginda dah biasa uruskan keperluan untuk diri.Sebab itu, ditegaskan lagi anak lelaki jangan dimanja-manjakan sangat. Nak memasak ayam, kena keluarkan dari peti ais, potong, bersihkan.. semua itu ada stepnya. Proses ini mengajar mereka menjadi SABAR. Inilah sunnah nabi, Saidina Abu Bakar sendiri perah susu kambing untuk ahli keluarganya.
- Melatih Anak Lelaki Sentiasa Ingat Dengan Mak Ayahnya
Mulakan dengan menyendukkan nasi dekat mak ayah. Kenapa senduk nasi? Bayangkan anak itu belajar kejuruteraan dan pergi ke Jepun. Bila dia biasa senduk nasi untuk mak ayahnya. Waktu nak makan, pasti anak akan terkenangkan mak ayah.Dia terfikir, ‘Mak dah makan ke belum?’ Sebab sebelum ini dia dah biasa senduk nasi untuk mak ayahnya. Momen itu akan menyentuh emosinya. Apabila dia dah berumah tangga kelak, dia akan ingat mak ayah dan hulurkan duit untuk mak ayah.
Dia tahu penat lelah orang tuanya. Sayangnya, hari ini semua tumpuan itu diberikan pada anak perempuan. Anak perempuan tak boleh bangun lewat, sebaliknya anak lelaki tak boleh masuk dapur. Betulkan kembali budaya ini maka akan lahirlah anak lelaki berkepimpinan sebagaimana hebatnya anak perempuan.Dalam membentuk mereka menjadi pemimpin, yang membezakannya adalah anak perempuan kena dibangunkan sifat malu. Manakala anak lelaki bangunkan sifat kewalian (sifat hero) dalam diri mereka. Tapi mak-mak banyak terlepas pandang. Patut hal ini diambil peduli. Takut Allah kata ‘kamu zalim sebab tak dedahkan kebijaksanaan pengurusan pada anak-anak lelakimu’
Kredit: Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki, Mingguan wanita