Tidak dinafikan, melihat anak terkena sawan demam adalah diantara pengalaman hidup yang memeranjatkan bagi kebanyakan ibu bapa. Mata terbeliak dan mulut kelihatan biru, kaki mengeras dan menjadi kejang. Ini adalah diantara tanda-tanda yang mungkin dapat dilihat ketika anak terkena sawan demam.
Apakah Sawan Demam?
Sawan demam sebenarnya bukanlah suatu penyakit yang khusus. Ia adalah satu keadaan apabila seseorang kanak-kanak mengalami sawan kerana kenaikkan suhu badan atau demam yang bukan disebabkan oleh penyakit/jangkitan di dalam otak atau ketidakseimbangan metabolik. Jadi, sawan demam tidak sama dengan penyakit sawan atau epilepsy. Istilah ‘Sawan Demam’ juga digunakan oleh sebahagian doktor.
Siapa Yang Boleh Mengalaminya?
Kanak-kanak berusia 3 bulan sehingga 6 tahun secara teorinya boleh mengalami sawan demam. Tetapi lazimnya ia lebih kerap berlaku kepada kanak-kanak yang berumur 6 bulan sehingga 5 tahun.
Apakah Yang Patut Dilakukan?
- Jangan panik! Sukar untuk dilakukan! Ini kerana melihat seseorang sawan memang boleh menjadikan kita bingung seketika, namun cubalah sedaya upaya untuk tidak panik agar kita dapat bertindak dengan sewajarnya.
- Pastikan anak anda ditempatkan di kawasan yang selamat. Sebagai contoh, jauhkan dia daripada objek–objek yang mungkin boleh ditendang dengan tidak sengaja dan jatuh pula ke atas dirinya.
- Letakkan anak anda dalam posisi mengiring disebelah kiri. Tujuannya adalah untuk mengelakkan anak anak daripada tercekik sekiranya terdapat sesuatu di dalam mulutnya dan juga mengelakkan objek tersebut termasuk ke dalam rongga paru paru. Objek di dalam mulut lebih mudah termasuk kedalam rongga paru paru kanan daripada paru paru kiri jadi tidak disyorkan meletak anak anda mengiring di sisi kanan.
- Sekiranya anda dapat melihat sesuatu di dalam mulutnya dengan jelas, bolehlah cuba untuk mengeluarkannya dengan satu pergerakkan jari yang cepat ke dalam mulutnya, jika tidak berjaya, jangan cuba untuk menjolok jari anda atau meletakkan sebarang objek lain kedalam mulut anak yang sedang sawan.
- Jangan memaksa anak yang sedang sawan untuk minum air.
- Perhatikan “pattern” sawan dan tempohnya. Lazimnya sawan yang berlaku semasa sawan demam akan berhenti dalam beberapa minit.
- Setelah sawan itu berhenti bawalah anak anda ke klinik yang terhampir untuk penilaian. Sekiranya 5 minit telah berlalu dan sawan masih berterusan, teruslah bawa anak anda untuk berjumpa dengan doktor.
- Memerhatikan keadaan anak serta tempohnya dapat membantu doktor yang merawat dalam mendapatkan diagnosis yang tepat. Walaupun penyakit tersebut tidak merbahaya, doktor perlu memastikan ia bukanlah disebabkan masalah lain yang lebih serius seperti radang selaput otak, gula terlalu rendah di dalam badan atau masalah ketidakseimbangan metabolik yang lain.
Bolehkah Ia Berulang dan Akan Melarat Menjadi Penyakit Epilepsy?
Ya, penyakit ini boleh berulang lagi. Antara faktor risiko termasuklah sejarah sawan demam dalam ahli keluarga yang lain dan umur kurang daripada 1 tahun sewaktu sawan demam yang pertama. Hampir separuh daripada kes ini berulang akan berlaku dalam tempoh 6 bulan pertama selepas kejadian yang awal. Ia tidak menyebabkan epilepsy. Namun, data menunjukkan yang 2% hingga 7% daripada kanak–kanak ini kemudiannya disahkan mengalami epilepsy. Dalam kes tersebut, kebanyakkannya telah pun mempunyai masalah lain seperti perkembangan yang lambat, masalah sistem saraf otak atau ahli keluarga yang menghidap epilepsy.
Bolehkah Ianya Dielakkan?
Tiada data yang menunjukkan penggunaan ubat demam atau ubat sawan boleh mengelakkan kejadian sawan demam. Namun ubat demam itu boleh membuat anak yang mengalami demam yang tinggi untuk merasa lebih selesa. Apa yang penting untuk diketahui oleh ibu bapa adalah sawan demam itu suatu keadaan yang tidak serius dan mempunyai prognosis yang sangat baik terutama kepada kanak – kanak yang tidak mempunyai sebarang masalah perkembangan yang lewat atau penyakit sistem saraf otak.
Sumber: Dr Alya Hamzah