Sawan dikalangan bayi antara situasi yang tidak asing buat sebahagian besar para ibu bapa. Mengapa Mama Siti katakan begitu? Ini kerana ramai bayi berisiko menghidap sawan sejak dilahirkan sehingga usianya menjangkau enam tahun.
Faktornya adalah pelbagai bermula dengan sekecil-kecil masalah kesihatan sehingga kepada petunjuk bahawa bayi itu sedang menghidap penyakit kritikal.
Menurut portal My Health, bagi kes sawan ringan iaitu disebabkan demam panas, ia lazimnya berlaku kepada dua hingga lima peratus (2% > 5%) golongan bayi dan kanak-kanak.
Sawan demam biasanya terjadi kepada bayi berusia seawal enam bulan sehinggalah kanak-kanak yang berumur enam tahun.
Data ini menunjukkan satu daripada 25 kanak-kanak akan mengalami sawan demam sekurang-kurangnya sekali. Lebih kurang 30 peratus daripada mereka pula mengalami sawan demam yang berulang-ulang, terutamanya mereka yang mempunyai faktor berisiko tinggi (tanda penyakit lain).
Meskipun tidak serius, namun berlakunya sawan demam tidak bermaksud Mama Papa juga boleh ambil ringan. Segera bawa anak ke hospital dan sementara menunggu bantuan atau dalam perjalanan ke hospital, adalah penting untuk anda berdua tahu kaedah-kaedah yang boleh dilakukan bagi mengelakkan risiko serangan sawan tadi menjadi lebih buruk.
Macam mana tu? Jom teruskan membaca entry Mama Siti tentang sawan demam dikalangan bayi. Kupasan ini lebih memfokuskan tentang sawan bayi yang berpunca akibat demam panas.
Harus diingat Mama Papa, sawan juga boleh menjadi petanda bahawa anak mengalami masalah kesihatan lain. Jadi, jangan sentiasa anggap kejadian sawan adalah disebabkan anak sedang demam.
Pemeriksaan lanjut oleh doktor adalah penting.
Punca Sawan Demam Berlaku
Menceritakan lebih lanjut, Pensyarah Perubatan (Neurologi), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Wan Aliaa Wan Sulaiman dalam wawancara beliau bersama portal Berita Harian menjelaskan, sawan akibat demam berlaku apabila suhu badan menjadi terlalu panas sehingga menyebabkan aktiviti sel otak terganggu.
Pesakit akan hilang kesedaran selain anggota tubuh seperti tangan dan kaki menjadi kejang, pergerakan mata hitam ke atas, air liur meleleh dan terkencing atau termuntah.
Kadangkala katanya, episod kekejangan badan akan disusuli dengan pergerakan tangan dan kaki yang berulang-ulang. Bagaimanapun, tempoh sawan demam selalunya singkat dan tidak melebihi lima minit.
Kata beliau, jika sawan berlarutan melebihi dua minit, panggil ambulans atau bawa anak segera ke unit kecemasan hospital.
Dalam tempoh itu juga, jika anak anda kembali normal pemeriksaan doktor di hospital masih diperlukan untuk memastikan anak tidak mempunyai masalah lain yang lebih serius.
Bagaimana Sawan Demam Berlaku Pada Bayi
@tinyheartseducation Head to link in bio to get a free factsheet on FEBRILE CONVULSIONS #febrileseizure #babyfirstaid ♬ original sound – Tiny Hearts
Berbeza dengan golongan dewasa, sawan dikalangan bayi agak sukar dikenal pasti berikutan beberapa simptom adakala normal untuk mereka seperti mata memerhati ke atas dan air liur meleleh.
Parents yang belum pernah melihat sawan pada bayi baru lahir mungkin tidak akan perasan ada sesuatu yang berlaku. Justeru, beberapa tanda tepat lain yang Mama Papa boleh ambil perhatian adalah:
- Anak akan tidak sedar diri atau tidak menunjukkan tindak balas apabila dipanggil.
- Kedua-dua kaki dan tangan kejang atau tersentak-sentak.
- Mata mungkin terbeliak ke atas.
- Kadang-kala kekejangan atau sentakan hanya berlaku pada sebahagian anggota badan sahaja, seperti satu tangan atau satu kaki.
- Sawan biasanya berhenti dengan sendiri selepas 2-3 minit atau kurang, dan jarang melebihi 10 minit. Bagaimanapun dalam kes di mana sawan melebihi 5 minit, kanak-kanak tersebut perlu di bawa ke klinik berdekatan secepat mungkin.
- Semasa sawan, kanak-kanak mungkin tercedera (akibat jatuh) atau mungkin tercekik makanan/air liur di dalam mulut.
- Kebanyakan kanak-kanak dengan sawan demam mengalami suhu badan tinggi melebihi 38.5 darjah Celsius.
- Kanak-kanak dengan sawan demam tidak semestinya mendapat epilepsi (epilepsi atau “sawan babi” adalah kejadian sawan yang berulang-ulang dan tidak dicetuskan oleh demam).
- Kebanyakan sawan demam berlaku pada hari pertama kanak-kanak demam.
Rawatan Kecemasan oleh Papa Mama
Situasi begini semestinya mencemaskan untuk setiap ibu bapa tetapi anda dinasihatkan bertenang supaya dapat membantu anak dengan memastikan mereka berada di tempat selamat dan tiada sebarang bahaya di sekelilingnya.
- Baringkan anak anda secara mengiring sebelah kiri atau kanan.
- Jauhkan anak anda dari sebarang benda yang berbahaya atau tajam
- Jangan sekali-kali memasukkan sesuatu ke dalam mulut anak semasa berlakunya sawan
- Jangan menampar, menggoncang atau mengurut badan anak untuk menyedarkan dirinya semasa sawan
- Catatkan masa dan tempoh berlakunya sawan
- Bawa anak anda ke hospital dengan segera
- Dalam tempoh sama, minta pasangan atau ahli keluarga sekeliling untuk merakam video. Kedengaran lucu, namun ia bagi rujukan doktor di hospital mengenal pasti tahap keseriusan sawan si kecil dan rawatan yang sesuai oleh pihaknya.
- Meskipun sawan telah berhenti sebelum tiba di hospital, namun anak perlu diperiksa oleh doktor untuk mengenal pasti sama ada terdapat sebarang jangkitan kuman pada otak
Perkara Yang Perlu Dielakkan
Jika berlaku sawan demam, adalah penting untuk parents memastikan suhu tubuh anak tidak terlampau panas. Sekiranya suhu badan si kecil terlalu tinggi, mereka berisiko untuk diserang sawan.
Justeru, antara tips yang boleh diamalkan bagi mengelakkan suhu tubuh anak terlampau panas adalah:
- Memakaikan anak dengan pakaian nipis
- Kerap mandikan anak bagi menurunkan suhu
- Cold compress di dahi dan bahagian pelipat seperti bawah lengan dan bawah lutut
- Kekal hidrat
- Minum air kelapa bagi meningkatkan imun tubuh untuk melawan virus penyebab demam.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Untuk pelbagai info dan tips kesihatan seisi keluarga, boleh klik di SINI!