KelabMama

Sambutan Hari Ibu: Salah atau Tidak Bagi Orang Islam Menyambutnya?

Setiap kali kalendar melangkah ke bulan Mei, Mama Siti percaya pasti ada antara anak-anak dan Papa yang teruja untuk meraikan ratu hati mereka iaitu Mama.

Dalam keghairahan merancang persiapan untuk sambutan bermakna itu, tak kurang juga segelintir masyarakat yang menolak acara berkenaan kerana dianggap meniru perbuatan orang bukan Islam apabila meraikan Mother’s Day.

Persoalannya, adakah benar sambutan Hari Ibu itu tidak dibolehkan di sisi agama Islam?

Memetik kenyataan oleh Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad melalui portal akhbar Bernama, beliau berkata hakikatnya ia tidak menjadi satu kesalahan untuk anak-anak beragama Islam meraikan Hari Ibu.

Ujar beliau, tujuan asal sambutan itu bukanlah suatu perkara yang tidak baik, namun niat utamanya adalah untuk menghargai jasa insan istimewa itu yang banyak berkorban jiwa dan raga dalam mendidik serta membesarkan mereka.

“Mengucapkan Selamat Hari Ibu dan meraikan ibu yang melahirkan kita dan bersusah-payah membesarkan kita, mandikan kita dan membersihkan najis kita semasa kecil, adakah ia satu kesalahan?

“Perkara yang dilarang dalam Islam adalah menderhaka kepada ibu. Begitu juga menyambut Hari Ibu umat Islam perlu memastikan pengisian sambutan itu berlandaskan syariat Islam sebenar,” katanya.

Beliau berkata meskipun tiada suruhan untuk meraikan Hari Ibu di dalam Al-Quran, namun ia dibolehkan dengan tujuan yang mulia berlandaskan firman Allah di dalam al-Quran mengenai kewajipan umat Islam untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

sambutan hari ibu Malaysia

Katanya, Islam meletakkan ibu pada kedudukan tertinggi malah Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki seperti hadis bermaksud: “Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik? Jawab Rasulullah SAW: Ibumu.  

“Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? ujar Baginda: Ibumu.

“Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu.

“Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu”.

Bagaimanapun ujarnya, yang lebih utama adalah sambutan itu tidak melanggar batas dan syarak termasulah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.


Untuk mengetahui pelbagai info dan tips yang trending di Kelab Mama, klik di SINI sahaja tau!