KelabMama

Sambut Raya Pertama Kali Dengan Bayi, Ini Tips Elak Penyakit Berjangkit

Buat mama papa yang baru menimang cahaya mata pasti teruja nak sambut raya kali ini. Awal-awal lagi mama dah cari baju anak. Yang penting kenalah sedondon dengan mama dan papa. Seronok beraya tu dah pasti tapi nak beraya dengan si kecil ni ada risikonya. Almaklumlah bayi lagi antibodi masih tak kuat. Senang berjangkit pelbagai penyakit. Apatah lagi kalau ramai yang geram dan gomol si bayi.

Semoga perkongsian ini dapat bantu mama untuk lebih berhati-hati dan elakkan bayi daripada penyakit berjangkit.

Tips menyambut Hari Raya bagi ibu ayah bersama bayi kecil

Alhamdulillah lebaran bakal menjelma.

Bagi ibu bapa yang baru menimang cahaya mata, pasti perasaan teruja nak bergambar raya dengan si kecil, ada pertambahan ahli keluarga baru, bercampur baur dengan perasaan berdebar kan?

Apatah lagi sekarang semakin banyak kes penyakit berjangkit seperti demam campak, diphtheria, dan sebagainya akibat ramai orang tidak memvaksinkan anak-anak kerana terpengaruh dengan golongan anti vaksin.

Bayi yang belum mendapat imunisasi yang lengkap, terutamanya bayi pramatang, amat terdedah kepada jangkitan kuman, dan jika jatuh sakit, amat mudah mendapat komplikasi seperti radang paru-paru, jangkitan selaput otak iaitu meningitis, malah keadaan mata mereka boleh menjadi teruk iaitu retinopathy of prematurity semakin merosot.

Saya ingin kongsikan sedikit tips bagi ibu ayah yang ada bayi baru lahir, dan juga orang ramai menjelang hari raya ini.

1) Jika ada bayi baru lahir, terutamanya kurang dari 2 bulan, imunisasi bayi anda belum lengkap lagi.

Sebaiknya tidak perlu ke tempat yang ramai orang berkumpul bagi mengurangkan risiko jangkitan kuman. Kita tidak tahu siapa yang sudah divaksin, siapa yang tidak divaksin, siapa yang sedang sakit dan sebagainya

Faham, raya setahun sekali. Tetapi bayi anda juga kecil sekali seumur hidup sahaja. In shaa Allah tahun depan kita boleh raya sepuas hati ya?

2) Jika tetamu datang ke rumah, sebaiknya mereka tidak perlu mendukung bayi kecil anda. Pakaian dari luar belum tentu bersih. Mungkin sudah terkena asap kenderaan dan sebagainya.

Sebaiknya biar si ibu sahaja yang mendukung bayi. Anggap sahaja bayi itu permata berharga di dalam kaca display ya.

3) Ibu ayah boleh sediakan hand sanitiser untuk para tetamu, letakkan di sebelah katil bayi. Untuk lebih comel, letakkan tanda “Sila cuci tangan anda jika anda sayang saya ” dengan satu smiley face.

Kita tak tahu tangan pengunjung sudah menyentuh dan bersalaman berapa ramai orang lain, sebelum mereka mahu menyentuh pipi comel bayi kita yang masih merah ini, kan?

4) Para tetamu juga, mesti mengambil tanggungjawab jika ada batuk, selsema sama ada diri sendiri mahu pun anak-anak, jauhkan diri dari bayi kecil pada jarak sekurang-kurangnya 5 meter. Paling baik, jangan masuk langsung ke dalam bilik yang ada bayi kecil.

Iyalah takut terbatuk di wajah bayi itu, terkena jangkitan, kasihan bayi itu.

Batuk biasa pada kita, jika terkena pada bayi pramatang, boleh menyebabkan jangkitan paru-paru yang serius hingga perlu alat bantuan pernafasan di ICU!

5) Para tetamu, elakkanlah mencium bayi baru lahir pada wajah mereka, terutamanya jika anda ada batuk dan selsema. Ini bagi mengelakkan jangkitan kuman.

Jika geram sangat dengan kecomelan bayi itu, boleh saja pegang sedikit di tangan atau badan bayi, dan doakan bayi itu mengikut sunnah Rasulullah SAW:

وَإِنِّي أُعِيْذُهَا بِكَ وَذُرِّيَتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ

“Dan aku meminta perlindungan untuknya kepada-Mu dan juga untuk anak keturunannya dari syaitan yang terkutuk”

Hadith Riwayat Al-Bukhari (3/110 –As-Sindi) dan Muslim (15/128 Nawawi)

Lebih selamat, pahala pun dapat, kan 🙂 Doa ini adalah dari Surah Ali Imran ayat 36.

6) Pastikan anak-anak kita divaksinkan mengikut jadual imunisasi Kementerian Kesihatan Malaysia, bagi memastikan mereka mendapat perlindungan yang secukupnya dari jangkitan kuman yang merbahaya seperti batuk kokol, demam campak, rubella dan sebagainya.

Pencegahan adalah lebih baik dari merawat.

7) Para ibu yang tersayang, usah bimbang digelar paranoid kerana mahu melindungi bayi kita, ya.

Mungkin ibu bimbang ada suara yang berkata “macam dia seorang yang ada bayi!”, tapi memanglah kita seorang sahaja yang ada bayi kita kan!

In shaa Allah kita hanya mahu yang terbaik untuk bayi kita.

Teruskan penyusuan susu ibu untuk memberikan imuniti pasif kepada permata hati kita, di samping mengambil langkah-langkah penjagaan di atas demi keselamatan dan kesihatan anak-anak kita in shaa Allah.

Walaupun di musim perayaan, jika anak-anak ada sebarang simptom tidak sihat seperti demam yang berpanjangan, sesak nafas, batuk yang berlarutan dan sebagainya, segeralah bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berdekatan.

Semoga Allah melindungi keluarga kita sentiasa in shaa Allah, amin.

Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Pakar Mata, 
Ibu kepada 3 anak pramatang.

#draisyahafiz
#sembangsembangOftalmologi
#MedicalMythbustersMalaysia

Sumber : Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah

BACA JUGA 9 TIP PENTING MERAWAT ANAK DEMAM KETIKA HARI RAYA

Pesan Mama Siti

Macam Mama Siti pernah cakap dalam post sebelum ni. Pedulikan je apa orang nak cakap kita kedekut anak atau apa. Yang penting anak kita bebas dari sebarang penyakit. Bila anak sakit nanti kita yang hadap bukan yang tukang gomol tu. Jadi lindungilah si comel mama sebaiknya ya!