Nasi lemak adalah menu sahur yang mesra bajet dan kaya lemak baik seperti santan asli dan telur. Lemak baik sangat penting supaya dapat ditukarkan menjadi tenaga untuk digunakan sepanjang hari berpuasa.
Syaratnya nasi dimasak dengan santan asli, dan dimakan hanya sejumlah suku pinggan, selebihnya di atas pinggan kita adalah protein berbentuk lemak baik dan juga sayuran serta bahan pelengkap nasi lemak yang lain.
Untuk mendapatkan nutrisi optimum, Mama Siti cadangkan boleh tambahkan protein seperti ikan tongkol, udang, sotong, malah juga kerang yang tinggi DHA. DHA adalah asid lemak Omega 3 yang bagus untuk kesihatan jantung, mengawal keradangan juga membantu proses kesembuhan akibat detoksifikasi badan di awal permulaan puasa.
Walaupun mungkin Mama rasa renyah nak masak nasi lemak untuk sahur, Mama Siti cadangkan Mama boleh sediakan nasi dan sambal selepas selesai moreh. Atau sambil bermoreh di rumah, Mama boleh ajak anak-anak tolong sediakan bahan nasi lemak ini.
Nasi Lemak Sambal Udang
Bahan-bahan untuk Nasi
- 2 pot beras (dibasuh jernih airnya dan ditoskan)
- 4 cawan santan (1 cawan santan pekat dan 3 cawan air tapis)
- 1 helai daun pandan (dibasuh dan diikat simpul)
- 1 sudu teh garam pink Himalaya
Cara Memasak Nasi Lemak
- Ambil periuk nasi dan terus masukkan kesemua bahan di atas. Hidupkan periuk nasi seperti biasa.
2. Setelah selesai dimasak, gaulkan nasi supaya santannya sebati.
Bahan-bahan untuk Sambal Udang
- 6 sudu besar cili kisar (ikut kepedasan yang disukai)
- 3 biji bawang merah – ditumbuk
- 2 biji bawang besar – 1 biji bawang ditumbuk dan 1 biji bawang besar hiris
- Sedikit air asam jawa
- Sedikit belacan (jika suka)
- Sedikit garam pink dan gula perang
Cara Memasak Sambal Udang
- Tumis cili, bawang merah dan bawang besar serta belacan hingga pecah minyak dan naik baunya. Masukkan air asam, bawang besar hiris dan sedikit air agar sambal tidak terlalu pekat.
2. Boleh tambahkan sebarang udang, sotong atau ikan bilis.
Resepi oleh: Gee Hut
Tips khas
Sediakan bahan lain untuk dimakan bersama menu nasi lemak ini lebih awal seperti, timun, telur rebus, ikan bilis goreng dan juga kacang tanah goreng. Mama boleh lebihkan telur dan kurangkan nasi supaya lebih bertenaga di siang hari.
Selain itu, untuk menambah nutrisi nasi lemak ini, Mama Siti cadangkan boleh tambahkan halia dan bawang merah sewaktu memasak nasi di dalam periuk nasi. Lebihkan sedikit untuk makanan anak-anak di siang nanti. Jika mama mencari resepi perapan ayam untuk mudah prep bagi sahur nanti, boleh baca di sini.
Selamat bersahur!