Kedengaran suara kanak-kanak yang bercakap secara berulang-ulang dan tersekat-sekat seperti gagap. Kelihatan ibunya dengan sabar mendengar sepatah demi sepatah perkataan yang keluar daripada mulut anak kecilnya. Habis sahaja budak tersebut bercakap barulah kedengaran ibunya bersuara. Kanak-kanak sebegitu diklasifikasikan menghadapi gangguan dalam kelancaran pertuturan atau gagap. Pertuturan tersekat, sekali gus mengeluarkan perkataan, bunyi atau suku kata yang berulang-ulang, malah kadang kala berlaku sebutan terhenti dan ayat yang ingin disampaikan tidak dapat dibina.
Kanak-kanak yang gagap turut mengalami pergerakan luar kawalan pada muka seperti mata berkedip-kedip dan gerakan pada otot pipi atau leher. Pergerakan ini berlaku kerana kanak-kanak itu cuba mengeluarkan sesuatu ayat tetapi terlalu sukar. Dia akan mencuba dengan sepenuh tenaga bagi memaksa perkataan itu keluar sehingga berasa penat. Justeru, mereka akan cuba mengelak keadaan-keadaan tertentu seperti memberi ucapan, bercakap melalui telefon serta persembahan di khalayak ramai. Lebih teruk lagi apabila diketawakan atau diejek, dibuli dan dicela kerana gangguan pertuturan tersebut. Ini memberi kesan psikologi seperti hilang keyakinan, sering mengasingkan diri dan enggan bergaul dengan kawan.
GAGAP SEMENTARA
Ramai juga beranggapan bahawa orang yang gagap turut menghadapi masalah kekuatan IQ (Intelectual Quotient) terutama dalam pembelajaran. Itu tidak benar kerana gagap adalah masalah pertuturan dan tidak ada kaitan dengan kecerdasan otak. Bagaimanapun, gagap boleh menjejaskan kecemerlangan dalam pekerjaan atau pembelajaran. Ini kerana ia berkait rapat dengan ketidakbolehan berkomunikasi dan menyampaikan buah fikiran sehingga gagal menyakinkan orang lain.
Tanda-tanda gagap biasa boleh dikesan pada masa kanak-kanak mula bercakap iaitu seawal usia setahun setengah hingga dua tahun. Pada waktu itu kanak-kanak baru belajar menyebut ayat yang pendek. Sekiranya kanak-kanak tersebut gagap ketika umur dua tahun dan menjadi normal menjelang usia lima tahun, ia dinamakan gagap sementara dan gagap itu akan hilang dengan sendiri. Tetapi jika selepas berusia lima tahun masih juga gagap, kemungkinan ia akan kekal dan perlu menjalani terapi profesional.
Punca sebenar gangguan pertuturan sehingga menyebabkan seseorang itu gagap masih tidak diketahui. Pakar sains berpendapat antara faktor yang berkaitan ialah genetik. Sekiranya salah seorang ibu bapa atau ahli keluarga kanak-kanak itu gagap maka anaknya akan gagap juga.
FAKTOR PENYEBAB GAGAP
- Selain faktor genetik, faktor pertuturan dan bahasa seperti gagal mencari perkataan yang betul, menghadapi masalah mengeluarkan bunyi untuk bertutur dan bercakap cepat boleh menyumbang kepada masalah ini.
- Begitu juga dengan persekitaran seperti di rumah, sekolah, kawan-kawan dan musuh. Sekiranya di rumah atau sekolah, kanak-kanak ini sentiasa dihalang daripada bercakap, masyarakat sekitar sering mengusik kerana kelemahan tersebut, maka bertambahlah masalah pertuturannya.
- Personaliti seperti kerisauan, suka menyendiri atau sensitiviti kepada anggapan orang lain, tekanan masa dan masalah kesihatan juga boleh menyebabkan seseorang itu gagap.
- Gagap berlaku empat kali lebih banyak pada kanak-kanak lelaki daripada perempuan.
RAWATAN
- Untuk membantu mereka, ibu bapa, keluarga atau orang terdekat perlu membantu sebelum dirujuk kepada terapi profesional. Ibu bapa perlu memberi peluang kepada kanak-kanak gagap ini untuk menghabiskan sesuatu ayat. Jangan ganggu apabila mereka cuba bercakap.
- Jangan betulkan percakapan mereka, begitu juga jangan sesekali menyuruh mereka mengulangi sebutan kerana ia akan bertambah salah.
- Ibu bapa perlu bercakap lembut dan perlahan tetapi jelas dan bagi masa kanak-kanak itu untuk menjawab semula.
- Banyakkan berkomunikasi bersama anak yang gagap ini terutama ketika beriadah, makan dan waktu terluang supaya tahap pertuturan mereka meningkat.
- Kurangkan faktor tekanan di rumah yang boleh membuatkan kanak-kanak itu menjadi lebih gagap.
TIP TANGANI GAGAP
- Relaks dan tidak terburu-buru untuk bertutur.
- Bercakap secara perlahan.
- Bercakap apa yang anda mahu cakap.
- Jangan paksa mengeluarkan perkataan kerana ia akan membuat anda susah untuk bertutur.
- Tidur dengan cukup.
Sumber: Pakar Kanak-Kanak Pusat Perubatan Selangor, Dr. Yasmin Mohd. Yusof & Utusan