Ruam susu sebenarnya lebih cenderung berlaku kepada bayi yang dilahirkan di dalam keluarga yang sememangnya mempunyai sejarah alahan makanan. Sebagai seorang ibu, Mama tentunya berasa runsing apabila melihat ruam susu yang sudah mulai muncul di tubuh si manja yang tersayang.
Oleh itu, untuk perkongsian artikel kali ini, Mama Siti akan kongsikan maklumat mengenai apakah ruam susu menurut perspektif pakar dan juga tips-tips berguna untuk hilangkannya.
Apa itu ruam susu?
Menurut Doktor Hana melalui hantaran di laman facebook miliknya, beliau berkata,
Ruam susu biasanya terjadi akibat kulit sensitif bayi terkena protein dalam susu (biasanya susu formula). Tapi ia juga boleh terjadi pada bayi yang hanya minum susu ibu.
Dalam istilah perubatan, ruam ini dipanggil sebagai Ekzema yang kerap terjadi kepada bayi yang berumur dua hingga enam bulan. Ruam ini akan menjadi kemerah-merahan di kawasan hidung, pipi dan dagu bayi. Kadang-kala ianya juga boleh terjadi di kawasan seperti siku, leher, dahi malah ada juga yang turut terjadi di kemaluan bayi.
Punca-punca Terjadinya Ruam Susu
Ramai yang salah faham dengan mengatakan bahawa ruam susu terjadi adalah disebabkan oleh susu ibu. Sebenarnya tanggapan ini adalah salah.
Menurut Doktor Hana, ruam susu bukan disebabkan alahan terhadap susu ibu, tidak logik seorang bayi boleh alergik kepada susu ibu kerana itu adalah makanan dan minuman terbaik yang tuhan jadikan untuknya.
Apabila ruam susu terjadi kepada bayi yang fully breastfeeding, ada kemungkinan bayi tersebut alahan terhadap protein daripada makanan yang diambil oleh si mama, jadi mama harus hati-hati memilih jenis makanan.
Antara punca lain berlakunya ruam susu juga adalah disebabkan oleh:
- susu formula yang merupakan penyebab utama alahan yang paling biasa berlaku di bayi
- air liur bayi yang meleleh keluar
- melalui pendedahan kepada bahan kimia yang mampu merengsakan kulit
Menurut Doktor Hana lagi, elakkan krim steroids pada bayi atau kanak-kanak terutamanya di bawah umur dua tahun melainkan benar-benar perlu.
15 Tips Hilang Ruam dan Gatal Bayi
Terdapat pelbagai tips atau petua yang boleh Mama cuba untuk membantu mengurangkan atau menghilangkan ruam susu bayi pada si manja Mama, iaitu:
#1. Jaga kebersihan
Pastikan bayi Mama sentiasa dalam keadaan bersih. Cuci bersih dan lap kering bahagian badan yang terkena susu atau kotoran tambah-tambah lagi di kawasan muka bayi selepas menyusu atau makan.
#2. Susu ibu
Susu ibu merupakan satu bahan alami yang sangat berkesan untuk menyembuhkan ruam pada bayi. Sapu lembut di ruam bayi dengan menggunakan bebola kapas yang telah di basahkan dengan susu ibu. Pastikan Mama menggunakan bebola kapas yang bersih tau!
#3. Mandi
Bagi menghilangkan rasa gatal dan ketidakselesaan pada bayi, Mama perlu kerap memandikannya. Mandian dapat menghilangkan rasa gatal akibat daripada ruam tersebut. Bersihkan juga seluruh bahagian tubuh bayi terutamanya di kawasan yang berlipat.
#4. Sabun
Pastikan mama menggunakan sabun yang tidak mempunyai pewangi dan juga dicipta khas untuk mandian bayi. Untuk makluman mama, kulit bayi adalah sangat sensitif dan dengan penggunaan sabun yang mempunyai bahan kimia ianya dapat merosakkan kulit bayi anda.
Atau lebih baik, stop dahulu penggunaan sabun terutamanya pada pipi si manja seperti tips yang dikongsikan Hanis Zalikha ni.
#5. Sapukan Krim Pelembap
Bagi mengelakkan kulit bayi menjadi kering, sapukan krim pelembap untuk melembapkan kulit bayi agar ianya tidak kering dan sentiasa berada dalam keadaan sihat. Dapatkan krim pelembap yang khusus dan sesuai digunakan oleh si manja Mama.
#6. Pakai Pakaian Yang Sesuai
Untuk menghindarkan bayi dari mudah berpeluh dan panas, elakkan daripada memakaikan mereka pakaian yang ketat dan diperbuat dari kain yang tidak serap peluh dan juga kasar. Pilih pakaian yang diperbuat daripada jenis kapas kerana ianya mudah menyerap peluh.
#7. Elakkan Makanan Berisiko
Mama juga perlu mengelakkan makanan yang berisiko mendapat alahan contohnya seperti produk tenusu secara berlebihan. Antara produk tenusu yang boleh dielakkan adalah keju, susu, aiskrim, dan sebagainya.
#8. Terapi Bunga Melati
Sangat terkenal sebagai sedatif penyembuhan, bunga melati juga mampu untuk merawat ruam susu. Hanya ambil bunga dari pokok, ramas hingga mengeluarkan lendir atau minyak kemudian gosokkan dengan lembut pada ruam bayi Mama.
#9. Minyak Kelapa Dara
Minyak kelapa dara diperbuat daripada bahan semula jadi. Ia bukan sahaja sesuai untuk kita yang dewasa, malah, minyak kelapa juga selamat dan berkesan untuk digunakan pada si manja.
Minyak kelapa dara juga dapat mengurangkan jumlah bakteria pada kulit dan juga dapat menghindarinya daripada terkena jangkitan. Sapukan minyak ini di bahagian ruam sehingga ianya sembuh.
#10. Suhu Bilik
Pastikan suhu bilik bayi dalam keadaan sejuk, nyaman dan juga selesa. Suhu yang panas akan membuatkan ruam di tubuh bayi semakin bertambah. Malah, bayi juga akan berada dalam keadaan tidak selesa dan berasa gatal.
#11. Kelapa parut
Masukkan kelapa parut ke dalam kain yang bersih, dan sapu di permukaan ruam untuk mengelakkan ruam daripada merebak dan kulit menjadi kering.
#12. Bunga Raya
Ambil bunga raya dan ramaskan sehingga mengeluarkan lendir kemudian sapukan di atas ruam. Lakukannya setiap hari. Ia juga sangat sesuai untuk disapu di kepala bayi untuk melebatkan rambutnya.
#13. Minyak Zaitun
Sangat bagus untuk kesihatan kulit, minyak zaitun sangat sesuai untuk redakan ruam susu pada bayi.
#14. Aloe Vera
Gel lidah buaya atau aloe vera memang terkenal dengan pelbagai kegunaan. Salah satunya adalah untuk merawat dan melegakan ruam pada kulit bayi. Ambil lendir aloe vera dan sapukan di ruam bayi tunggu sehingga kering baharulah dicuci.
#15. Bedak Sejuk
Kaedah ini sebenarnya telah digunakan sejak turun temurun lagi. Cara menggunakannya adalah dengan menyapu bedak di kawasan yang mengalami ruam dan biarkannya kering. Mama pun boleh gunakannya tau!
Bayi yang masih kecil memerlukan penjagaan yang rapi dan sangat teliti. Mama perlu memastikan kebersihan dan keperluan bayi sentiasa dipenuhi dan juga dalam keadaan yang terbaik.
Tempatkan bayi di ruangan bilik yang selesa, nyaman, bersih dan juga bebas dari bulu-bulu haiwan atau apa-apa bauan bahan kimia yang boleh mendatangkan kesan alahan dan juga kerengsaan pada kulit bayi Mama.
Tilam bayi pun penting tau Mama. Pastikan Mama periksa tips memilih tilam bayi yang terbaik supaya tilam tersebut sesuai untuk si manja Mama.
Mama juga perlulah menjaga kesihatan dan pemakanan yang seimbang dan bernutrisi supaya sentiasa kekal sihat, segar dan juga bertenaga.
Semoga dengan perkongsian ini, mama mendapat manfaat daripadanya!