Waktu berpantang ni ramai Mama yang rasa stress kerana pilihan makanan yang berkurang. Sebenarnya banyak sahaja pilihan yang sihat dan mengenyangkan. Tambah lagi badan baru nak adjust hasilkan susu jadi Mama asyik rasa lapar. Mama Siti akan kongsikan sedikit sebanyak tentang roti berkhasiat untuk ibu berpantang.
Roti Merupakan Makanan Mudah Sewaktu Berpantang
Roti ni hampir menjadi sesuatu makanan yang menjadi kemestian di dalam rumah kita. Kita membesar dengan pelbagai jenis roti seperti pau, roti canai, roti ban, roti keping, roti paung, roti benggali dan macam-macam lagi. Jadi kalau tak ada roti macam pelik pula.
Roti mula jadi makanan kering yang mudah dibeli, mudah dibawa, pantas nak makan ia tersedia dan juga mengenyangkan. Sehinggalah roti mula menjadi comfort food buat ramai kita selain snek lain ketika berpantang.
Ketika tempoh berpantang pula, badan kita melalui fasa penyembuhan dan perubahan hormon yang mendadak. Organ penghadaman masih sedang adjust dan masih lemah dalam menghadam makanan. Jadi kali ni, marilah Mama Siti senaraikan sedikit roti pilihan yang lebih baik buat ibu berpantang.
Pilihan Roti Berkhasiat untuk Ibu Berpantang
1. Roti bijian tercambah
Bagi Mama Siti ini antara jenis roti paling baik untuk ibu berpantang. Lebih mesra usus kerana lebih mudah dihadam. Ia juga tinggi serat dan protin, jadi Mama akan kenyang lebih lama.
Roti ini ini diperbuat daripada beberapa jenis bijirin yang sedang mula tercambah melalui pendedahan kepada haba dan kelembapan. Bijirin tercambah ini kemudian akan dikeringkan dan dikisar hingga halus menjadi tepung sebelum dijadikan roti. Kot-kot tertanya macam mana buat roti dengan bijirin. Hehe.
Kaedah ini membantu roti yang terhasil memberi nutrisi yang penuh dengan kadar serapan lebih baik selain meningkatkan kualiti antioksidan di dalam roti yang dihasilkan. Proses yang berlaku ini juga memecahkan struktur kanji sekaligus merendahkan karbo di dalamnya. Jadi roti ini baik untuk mereka yang sedang mengawal jumlah gula dalam darah.
Roti ini agak mudah dijumpai di pasaraya berhampiran rumah Mama. Cubalah survey sebelum melahirkan, ya.
2. Roti sourdough
Roti sourdough juga bagus kerana gluten yang selalu menyebabkan angin, kembung perut tu dihadamkan terlebih dahulu supaya lebih mesra usus kita. Ia juga mengandungi bakteria baik jadi proses penghadaman lebih lancar apatah lagi buat Mama yang ada masalah sembelit sewaktu pantang bersalin.
Roti ini menggunakan yis asli untuk menggebukan dan menaikkan rotinya. Asal yis tu daripada gandum juga yang diperam. Sekaligus menjadi pengawet asli untuk bagi roti ni tahan lama sikit. Sekarang pun dah ada banyak penjual roti sourdough yang membuat roti gebu style kesukaan orang Asia. Boleh saja search di Facebook group Sourdough Support Group Malaysia untuk mencari penjualnya.
Jadi kini roti sourdough bukan hanya roti artisan yang kenyal, malah roti gebu yang menjadi kesukaan ramai penggemar roti.
3. Roti gluten free
Roti gluten free bermaksud rotinya tidak menggunakan gandum sebagai salah satu bahannya. Gluten ni adalah bahan dalam gandum yang membuatkan roti menjadi ‘elastik’ dan cantik gebu.
Namun ada orang tak sesuai dengan gluten ini apatah lagi ketika badan masih lemah selepas melahirkan. Badan akan mudah kembung, tak selesa dan sebagainya. Roti tanpa gluten ni sesuai untuk mereka yang ada alahan juga.
Sekarang roti gluten free mudah didapati melalui baker yang membuat roti di rumah. Boleh saja jenguk Facebook group Gluten Free Support Group Malaysia untuk mencari pembuat roti ini. Roti gluten free biasanya dibuat melalui campuran pelbagai tepung seperti tepung beras, kanji kentang, tepung buckwheat dan banyak lagi untuk mendapat tekstur gebu seperti roti gandum.
4. Keto Bun
Ketogenic bun ini dibuat daripada tepung badam, tepung kelapa, telur putih dan flaxseed supaya menghasilkan roti rendah karbo, tanpa gandum, tinggi lemak baik namun cukup jumlah protin. Ada yang menggunakan diet ini untuk menurunkan berat badan dan ada juga yang menggunakan diet ini untuk rawatan anak-anak epilepsy.
Keto bun ini kini mudah didapati melalui online seller kerana diet ini adalah tidak asing lagi buat masyarakat Malaysia. Rasanya juga sedap dan nutrisinya juga tinggi kerana menggunakan badam dan kelapa. Telur putih yang membuatkan ia gebu. Namun roti ini tidak sesuai untuk Mama yang masih berpantang telur.
Masyarakat Melayu Asalnya Kurang Diet Roti
Sebenarnya nenek moyang kita dahulu memang perut dan usus tidak dibiasakan dengan roti. Jika sewaktu berpantang banyak makan roti, Mama juga seeloknya amalkan ulaman herba yang panas untuk membantu (jika berlakunya) masalah pedih ulu hati ataupun kembung perut pada bayi.
Apapun Mama lebih tahu tentang diri sendiri. Selepas makan boleh observe bagaimana reaksi badan kepada makanan tersebut dan boleh pantau keadaan bayi.
Variasikan Nutrisi Ketika Berpantang
Mama cuba variasikan pemilihan nutrisi ketika berpantang, kerana ia boleh membantu penyembuhan. Jangan lupa banyakkan sayuran untuk penghadaman yang baik. Tidak lupa juga buah-buahan yang sebenarnya ada pelbagai variasi yang sesuai diambil ketika berpantang dan jenis-jenis ikan yang tinggi DHA yang sangat bagus untuk perkembangan bayi.
Selamat berpantang dengan baik buat Mama semua. Semoga dipermudahkan kesembuhan.