Bagi Mama yang sedang berbadan dua, apa kata cuba check product kecantikan yang Mama sedang gunakan. Bukan apa, sebab ia penting untuk Mama tahu apa ingredients terkandung dalam kesemua produk tersebut.
Jika antaranya ada kandungan retinol, AWAS! Segera hentikan penggunaannya, Mama.
“Eh, kenapa pula?”
Ia disebabkan retinol adalah bahan kimia berbahaya jika digunakan oleh wanita hamil dimana kerana boleh menganggu proses pembentukan janin dalam kandungan.
Serius bukan bunyinya? Ayuh, jom baca penerangan mengenai bahaya retinol kepada ibu mengandung.
Apa Itu Retinol?

Sebelum merungkai lebih lanjut persoalan ini, jom kita ketahui dulu apa itu retinol dan kegunaannya.
Menurut laporan Hello Doktor, retinoid merupakan campuran bahan kimia mengandungi vitamin A yang berfungsi dalam produk kecantikan. Kebiasaannya diaplikasikan sebagai losyen tubuh atau krim wajah.
Retinoid adalah tidak berbahaya untuk kulit dan ia lebih berkesan digunakan bagi memberikan hasil kulit lebih berseri, mengurangkan jerawat dan anti-penuaan.
Bagaimanapun, bahan ini tidak selamat untuk wanita hamil kerana derivatif vitamin A boleh menyebabkan kecacatan pada bayi sewaktu lahir.
Secara asasnya, bahan kimia ini dinamakan sebagai retinoid. Namun apabila diserap oleh kulit, badan akan menukar retinoid ini kepada retinol.
Jangan salah faham ya Mama, walaupun vitamin A amat penting untuk tumbesaran bayi, namun sebarang derivatifnya perlulah dielakkan.
Oleh sebab itu, elakkan penggunaan krim antipenuaan yang mengandungi retinoid atau sebarang derivatifnya.
Vitamin A yang baik untuk tumbesaran janin hanya boleh diperolehi berasaskan makanan selamat, bukan sebarang campuran bahan kimia seperti retinol.
Sebab itulah ada wanita hamil sanggup menghentikan sebarang penggunaan krim kecantikan kerana bimbang bahan-bahan yang digunakan adalah tidak jelas. Justeru, Mama perlulah berhati-hati.
Jangan anggap sebarang produk yang digunakan secara luaran (tubuh dan wajah) tidak memberikan kesan kepada dalaman tubuh dan kandungan!
Sebaiknya, rujuk kepada doktor terlebih dahulu bagi sebarang persoalan produk kimia yang Mama gunakan ketika hamil.
Kesan Penggunaan Retinol Kepada Ibu Mengandung
Menurut laman web Dr Anne Skincare, wanita hamil dinasihatkan untuk mengelak daripada menggunakan produk penjagaan kulit mengandungi retinol atau bentuk vitamin A lain, seperti retinoid, asid retinoik dan tretinoin.
Ini kerana dos vitamin A yang tinggi telah dikaitkan dengan kecacatan kelahiran dan kesan buruk kehamilan yang lain.
Retinol ialah antioksidan yang kuat dan suatu bentuk vitamin A yang biasa digunakan dalam produk penjagaan kulit untuk mengurangkan penampilan garis-garis halus, kedutan dan tanda-tanda penuaan yang lain.
Walau bagaimanapun, apabila diambil dalam dos yang besar atau digunakan secara konsisten dalam kepekatan tinggi, retinol boleh merentasi plasenta dan terkumpul dalam janin yang sedang berkembang.
Keadaan ini sekaligus meningkatkan risiko kecacatan kelahiran, terutamanya pada trimester pertama kehamilan.
Meskipun risiko kecacatan kelahiran yang berkaitan dengan amalan penggunaan retinol dalam produk penjagaan kulit belum terbukti sepenuhnya, namun sebaiknya wanita hamil disyorkan untuk mengelak daripada menggunakan produk yang mengandungi retinol atau bentuk vitamin A lain.

Sebaiknya Mama mencegah daripada merawat bukan? Dengan menghindari penggunaan bahan kimia berkenaan, ia mengurangkan sebarang potensi risiko kepada janin yang sedang berkembang.
Jika Mama hamil dan mengambil berat tentang keselamatan mana-mana produk penjagaan kulit, sebaiknya berunding dengan pakar kesihatan sebelum menggunakan.
Mama juga boleh rujuk artikel ini untuk mengetahui beberapa bahan lain yang harus dielakkan semasa mengandung.
Untuk lebih banyak perkongsian kesihatan Mama ketika hamil, klik SINI.