Masakan ala Thai seperti telur bistik ini memang pembangkit selera di awal pagi dengan cukup pelbagai rasa masam pedas manis. Selain itu bagi Mama Siti, menu ini lengkap dengan serat, lemak baik, protein dan variasi sayuran – sesuai sebagai kategori menu seimbang.
Untuk bersahur, memang seeloknya kita utamakan makanan tinggi lemak baik dan protein kerana kita mahu menjalani seharian berpuasa dengan tenaga yang efektif. Biasanya, pengambilan karbohidrat yang banyak, mudah membuatkan kita rasa lemau dan moody. Menu sebegini juga membantu pembakaran lemak yang telah lama tersimpan dalam badan kita dengan lebih baik.
Bukan semua lemak adalah tidak baik ya. Malah lemak baik seperti telur dan minyak kelapa akan membantu metabolisma badan supaya bekerja dengan lebih mantap. Ha, jangan tak tahu ya mama. Inilah peluang nak bakar lemak.
Resepi Telur Bistik
Bahan-bahan
- 2 batang serai, dititik
- 3 ulas bawang putih, dicincang
- 3 biji bawang besar, dipotong
- 200g daging atau ayam, dipotong dadu
- Sayur campuran lobak merah dan sebagainya
- Lada benggala (tak ada pun tak apa)
- 3 sudu besar sos cili
- 3 sudu besar sos tomato
- 1 sudu besar sos tiram
- 4 biji telur ayam
Cara Memasak
- Tumis serai, bawang putih, bawang merah, sampai naik aroma.
2. Masukkan ayam. Boleh letak cili kisar beberapa sudu ikut suka kepedasan. Masukkan air sikit. Apabila nampak ayam separa masak, boleh letak sos tiram, sos cili dan sos tomato.
3. Apabila ayam sudah masak, masukkan sayur campuran. Masukkan garam dan gula secukupnya. Boleh tambah hirisan daun bawang dan cili api jika suka.
4. Alihkan lauk telur bistik ini dan boleh mula menggoreng telur dadar sebanyak 4 biji, dan kemudian letakkan lauknya ke atas telur dadar tersebut.
Resepi oleh: Norlela Baharudin
Tips Tambahan Untuk Resepi Telur Bistik
Mama boleh pilih untuk mengambil sumber protein daripada makanan laut untuk menu telur bistik ini seperti udang dan sotong yang juga tinggi DHA, yang bagus untuk ketajaman minda.
Selain itu, Mama boleh tambahkan pelbagai sayur pilihan lain seperti cauliflower yang sangat sesuai dengan hampir kesemua masakan ala Thai. Taburan daun ketumbar yang kaya dengan khasiat juga akan membangkit selera di awal pagi supaya lebih bersemangat untuk bersahur dan meneruskan aktiviti harian.
Selamat bersahur!