“Tapi resepi mak aku lain, dia tak bubuh benda ni.”
Bercakap pasal resepi ni, kadang-kadang boleh bawa bergaduh. Ya lah, orang sana kata masukkan bahan ni, kita pula dari dahulu diajar letak bahan lain.
Sebenarnya resepi masakan ni salah satu cabang seni. Maksudnya ia boleh diubah mengikut siapa yang masak dan siapa yang makan.
Jadi resepi kali ini Mama Siti dapatkan dari laman Facebook Hamizah Hassanudin. Menurut Mama Siti, resepi ini adalah yang paling mudah nak buat.
Resepi Sup Ketam
Resepi Oleh: Hamizah Hassanudin
Bahan-bahan
- Ketam (4 ekor)
- Kentang (3 biji)
- Halia (Dihiris)
- Lada hitam (Ditumbuk)
- Lobak merah
- Sup bunjut
- Kiub ayam (Pilihan)
- Daun sup
- Daun bawang
- Bawang goreng
Bahan-bahan Tumbuk
- Bawang merah
- Bawang putih
Cara-cara
#1 Sediakan kuali atau periuk dan masukkan minyak. Pasang api dan tunggu sehingga panas kemudian masukkan bahan-bahan tumbuk. Tumis bahan tumbuk sehingga naik bau dan agak garing.
#2 Selepas itu, masukkan pula halia yang telah dihiris ke dalam tumisan. Kacau semua bahan tumisan supaya rasanya merata.
#3 Seterusnya, kita masukkan ketam yang telah disiang bersih-bersih. Pastikan insang, dan kotoran dalam ketam tu dan dibuang ya.
#4 Apabila ketam sudah bertukar warna oren kemerahan, masukkan pula air secukupnya. Kalau suka lebih kuah, boleh masukkan air banyak.
#5 Langkah seterusnya, kita akan masukkan sup bunjut dalam sup ketam supaya rasanya lebih enak.
#6 Kemudian masukkan pula kentang dan lobak merah yang telah dipotong ke dalam masakan. Kacau dan tunggu hingga kentang dan lobak merah menjadi empuk.
#7 Boleh masukkan kiub ayam atau serbuk perasa ayam sedikit. Tapi kalau tak suka, tak perlu masukkan pun tak apa.
#8 Lada hitam yang telah ditumbuk pula dimasukkan dalam sup ketam untuk mendapatkan rasa pedas.
#9 Bagi menaikkan lagi rasa, potong daun sup dan daun bawang dan taburkan ke dalam sup ketam. Tak dilupakan untuk masukkan juga bawang goreng untuk bau wangi sup ketam.
Tips Resepi Sup Ketam
- Sup bunjut boleh digantikan dengan tiga sekawan iaitu bunga lawang, bunga cengkih, dan kayu manis.
- Guna api sederhana ketika mereneh sup supaya sup dimasak lebih lama dan agar rasanya menyatu.
Dah siap resepi sup ketam kita kali ini. Ingat ya, kalau orang buat cara berbeza dengan kaedah kita selalu masak, biarkan saja.
Mungkin itu teknik memasak yang mak-mak dia ajar dulu. Oh ya, resepi sup ikan merah pun Mama boleh cuba, lagi-lagi buat ibu berpantang.
Jangan lupa cuba resepi sup ketam yang Mama Siti kongsikan ya.
Jom cuba pelbagai resepi menarik yang lain di SINI.