Percaya tak kalau Mama Siti kata dalam dunia ni ada jenis orang yang lebih suka makan lauk berkuah berbanding lauk-lauk yang lain?
Contohnya, ada orang yang suka makan menu sup ayam, sup tulang dan tak dilupakan juga sup ikan. Ada pula dalam kalangan mereka lebih gemar makan bersama bihun atau mee berbanding di makan dengan nasi.
Walaupun begitu, kalau kena dengan rasa dan aromanya ada juga yang tambah nasi berpinggan-pinggan. Jadi, hari ni Mama Siti nak cuba masak resepi sup ikan merah yang diambil daripada resepi Nasser’s Kitchen.
Tambahan pula, menu sup ikan merah ini sesuai untuk ibu-ibu yang sedang berpantang. Wah, ini menarik. Alang-alang masak untuk si ibu, boleh lah ayah dan anak-anak yang lain makan bersama-sama juga kan.
Apa lagi, ayuh kita mula memasak.
Resepi Sup Ikan Merah
Resepi oleh: Nasser’s Kitchen
Bahan-Bahan
- Ikan Merah
- Bawang Merah Kecil
- Bawang Putih
- Halia
- Kayu Manis
- Bunga Cengkih
- Buah Pelaga
- Tomato
- Daun Sup
- Air
Cara-Cara
1. Tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia hingga sedikit layu.
2. Masukkan cengkih, buah pelaga dan kayu manis.
3. Bila bawang mula berwarna kuning atau sedikit garing, tambahkan air.
4. Apabila air telah mendidih, masukkan ikan merah yang telah dipotong.
5. Perasakan dengan gula dan garam.
6. Tambah potongan buah tomato dan tutup periuk selama 5 minit.
7. Kemudian tambahkan daun sup.
8. Sup ikan merah kita telah siap untuk dihidangkan bersama nasi putih!
Tips Resepi Sup Ikan Merah
- Elakkan menumis terlalu lama atau hingga bahan terlalu garing kerana ia akan menyebabkan sup mempunyai aroma bawang yang kuat.
- Segera tutup api dan hidangkan masakan kita apabila ikan telah masak kira-kira 85%-90% untuk elakkan kemanisan asli ikan tersebut.
- Ikan akan terus masak dengan sendirinya walaupun telah diangkat dari periuk.
- Kalau Mama suka rasa yang masam-masam sikit, Mama boleh tambahkan jus limau atau lemon. Selain itu, boleh juga lebihkan tomato dalam masakan untuk rasa sup ikan ala thai.
Senang je rupanya nak masak resepi sup ikan merah ni, hanya perlu jaga bawang semasa menumis sahaja. Selain itu, kita masukkan saja tanpa ragu-ragu.
Tidak jauh beza juga cara-caranya dengan resepi sup ayam.
Siap sudah sup ikan merah kita. Paling penting, pastikan masak ikan yang segar untuk dapatkan kemanisan makanan lauk kita.
Selamat mencuba dan selamat menjamu selera.
Dapatkan e-baucar istimewa apabila Mama mengundi jenama barangan bayi dan keperluan ibu hamil kegemaran Mama di Motherhood Choice Awards 2022 hari ini!