Sedapnya sotong goreng tepung! Selalu makan di gerai di tepian pantai kan? Kalau di sepanjang pantai di Terengganu dan Kelantan, memang popular lah dengan sotong goreng tepung atau sotong celup tepung ni.
Terfikir juga kan, macam mana mereka buat, sotong boleh tersalut dengan elok tepungnya. Tak mudah tanggal. Tak meletup-letup pula nampak mereka goreng.
Kali ini, Mama Siti nak kongsikan cara dan tips untuk buat sotong goreng tepung yang tak mudah meletup dan sedap daripada perkongsian Rafiza Idayu ini.
Jom cuba!
Resepi Sotong Goreng Tepung
Resepi oleh: The Vocket
Bahan-bahan
- Sotong putih yang telah dibersihkan
- Serbuk lada putih
- 1 sudu cuka
- Seulas bawang putih cincang
- Sebiji telur
- Sedikit garam
- 5 sudu besar tepung jagung
- 5 sudu besar tepung serbaguna
- Minyak masak secukupnya
Cara Memasak
1. Tapis sotong yang telah dibersihkan di dalam penapis dan masukkan seulas bawang putih cincang.
2. Tambahkan cuka untuk keluarkan air sotong yang berlebihan, serbuk lada putih dan garam. Gaulkan rata dan biarkan selama beberapa minit.
3. Dalam mangkuk kecil, pukul telur dan campurkan tepung jagung dan tepung serbaguna dalam pinggan lebar.
4. Kemudian, celupkan sotong tadi ke dalam telur yang telah dipukul dan terus salut dengan campuran tepung. Salut pada kesemua bahagian sotong ya.
5. Panaskan minyak masak sehingga betul-betul panas dan gorengkan sotong yang telah dicelup telur dan tepung ini.
6. Bila warna sotong goreng tepung keperangan, balik-balikkan dan angkat, toskan minyaknya.
7. Sedia untuk dihidang!
Tips Sotong Goreng Tepung
- Jika ada cuka buah-buahan seperti cuka epal, bolehlah guna ia berbanding cuka makan biasa. Itu adalah pilihaan yang lebih sihat untuk Mama sekeluarga.
- Pukul telur asalkan sebati je ya antara kuning dan putih telur. Kita tak nak telur jadi ringan dan kurang melekat pada sotong nanti.
- Pastikan sotong dicelup ke dalam telur dan disaluti dengan tepung sepenuhnya. Ini yang akan mengelakkan sotong daripada meletup apabila digoreng nanti.
- Jangan goreng lama-lama ya. Liat nanti!
Buat lauk untuk dimakan bersama nasi ataupun snek untuk minum petang, memang syok mengunyah sotong goreng tepung ni. Dicicah pula dengan sos kegemaran, selamat mencuba Mama!
Jangan lupa juga untuk cuba resipi sambal sotong yang mudah ini.