Selain resepi nasi lemak biasa, terdapat pelbagai lagi variasi nasi lemak yang dikongsi di media sosial serta media cetak yang sedap dan unik rasanya seperti nasi lemak hijau dan nasi lemak kuning yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia terutamanya ketika bersarapan di waktu pagi.
Walaupun begitu, rasa asli dari nasi lemak biasa tetap juga menjadi pilihan kebanyakan orang. Seperti resepi yang Mama Siti kongsikan di bawah ini, aroma mewangi nasi lemak ini pasti menggoda selera sesiapa sahaja yang terhidu harumannya.
Resepi ini sangat sesuai dijadikan sebagai panduan untuk Mama terutamanya yang rajin menyediakan sarapan pagi buat keluarga. Jom lihat!
Resepi Nasi Lemak dan Sambal Ikan Bilis
Resepi Nasi Lemak
Bahan-bahan
- 3 pot beras
- 2 pot santan
- 3 pot air
Cara-cara
#1. Mula-mula bersihkan beras dan masukkan ke dalam periuk elektrik. Tuangkan santan dan masukkan daun pandan yang telah disimpul kemas.
#2. Kemudian campurkan satu sudu kecil garam ke dalam beras tadi dan kacau biar sebati.
#3. Seterusnya tanak nasi seperti biasa sehingga ia masak dengan sempurna. Nasi yang siap dimasak akan berbau harum.
Resepi Sambal Ikan Bilis
Bahan-bahan
- 1/2 kg ikan bilis
- Cili kering (dikisar halus)
- 1 biji bawang besar (dikisar halus)
- 1 biji bawang besar (dihiris membulat)
- 1 sudu kecil belacan
- 1 sudu asam jawa
- 300ml air
- 1 sudu gula melaka
- 1 helai daun pandan
- Minyak masak
Cara-cara
#1. Mula-mula masukkan minyak secukupnya ke dalam kuali dan panaskan.
Kemudian, masukkan bawang besar yang telah dikisar halus. Tumis sehingga bawang garing.
#2. Masukkan cili kisar. Seterusnya masukkan pula satu sudu kecil belacan.
#3. Setelah tumisan tadi garing, masukkan bawang merah yang telah dihiris bersama ikan bilis. Kemudian masukkan 1 sudu asam jawa.
#4. Masukkan daun pandan yang telah disimpul dan tuangkan 300 ml air.
Masukkan pula satu sudu gula merah dan masak sehingga sambal pecah minyak. Sambal ikan bilis siap untuk dihidangkan. Mama juga boleh cuba resepi sambal ikan bilis yang ini untuk pelbagai hidangan.
Tips/Petua Memasak Resepi Nasi Lemak
- Ikan bilis boleh digoreng terlebih dahulu sebelum dimasukkan kedalam sambal yang telah siap dimasak.
- Nasi lemak ini bertambah enak jika dihidangkan bersma telur rebus atau telur mata, timun dan juga kacang tanah goreng.
- Jika ingin mendapatkan nasi yang berbutir atau seroi, biarkan santan mendidih terlebih dahulu sebelum memasukkan beras.
- Boleh campurkan sedikit gula putih ke dalam beras untuk menjadikan nasi lebih berkilat atau bersinar.
Diharapkan perkongsian resepi ini dapat memudahkan Mama memasak untuk keluarga tersayang.
Dapatkan pelbagai resepi menarik di SINI.