Nak buat resepi nasi hujan panas ni sebenarnya Mama tak perlukan banyak bahan pun malah bahan-bahan yang digunakan juga sangat mudah diperoleh. Kalau lihat menu ni, nampak macam susah kan? Tapi taklah Mama! Menu ini sangat senang dan tidaklah begitu renyah untuk memasaknya.
Nasi yang sering dijadikan menu utama di kebanyakan majlis keraian dan perayaan bukan sahaja mudah tapi sangat sedap kalau dinikmati bersama daging masak hitam atau ayam masak merah dan juga jelatah.
Malah, warna nasinya yang berwarna-warni dan begitu cantik pastinya membuka selera anak-anak Mama.
Jadi, bagi membantu Mama semua memikat selera keluarga, di bawah ini Mama Siti telah kongsikan bahan-bahan serta langkah-langkah memasak untuk dijadikan sebagai panduan. Jom lihat!
Resepi Nasi Hujan Panas dan Resepi Daging Masak Hitam
Resepi Nasi Hujan Panas
Bahan-bahan
- 4 1/2 pot beras basmathi
Bahan tumisan
- 1 biji bawang besar
- 2 ulas bawang putih
- 2 inci halia
- 4 sekawan
- 3 helai daun pandan
- 3 sudu besar minyak sapi
- 1 ketul kiub ayam
- 2 pot susu penuh krim
- 2 1/2 pot air
- Pewarna merah, kuning dan hijau
- Garam
- Serbuk perasa
Cara-cara
#1. Rendam beras selama 30 minit, kemudian basuh dan toskan.
#2. Panaskan minyak sapi dan tumis bahan empat sekawan.
Kemudian masukkan bawang besar, bawang putih dan halia. Tumis sehingga naik bau.
#3. Masukkan daun pandan, kiub ayam, dan beras. Tuangkan susu penuh krim dan air. Kemudian masukkan garam dan perasa.
#4. Masak nasi sehingga hampir kering, tutup periuk dan tanak nasi sehingga masak. Setelah nasi kering, titiskan pewarna.
Kacau nasi sehingga warna sekata dan sedia untuk dihidangkan!
Nak lagi sedap, hidangkan resepi nasi hujan panas ini dengan daging masak hitam di bawah:
Resepi Daging Masak Hitam
Bahan-bahan
- 500gm daging
- Kicap manis
- 3 sudu besar cili boh
- 1/2 serbuk lada hitam
- Minyak masak
- 1 biji ubi kentang
- 2 biji bawang besar (dikisar)
- 5 ulas bawang putih (dikisar)
- 1 batang kulit kayu manis
- 2 kuntum bunga lawang
Cara-cara
- Perap daging dengan dua sudu cili boh dan kicap secukupnya selama 30 minit.
- Tumiskan kesemua bahan yang telah dikisar sehingga ia keperangan dan berbau harum.
- Kemudian masukkan perapan daging tadi. Masukkan ubi kentang.
- Apabila agak kering, masukkan garam dan gula secukupnya dan setengah sudu serbuk lada hitam.
- Kacau sebati, tutup periuk dan masak seketika.
Tips/Petua Menyediakan Resepi Nasi Hujan Panas
- Pastikan nasi benar-benar kering sebelum meletakkan pewarna.
- Guna sudu yang berasingan untuk setiap jenis warna.
- Jarakkan setiap titisan warna berlainan supaya tidak bercampur.
- Biarkan warna menyerap ke dalam nasi seketika. Jangan kacau nasi tersebut.
- Setelah ia kelihatan kering barulah dikacau untuk menggabungkan warna-warna tadi supaya kelihatan menarik dan cantik.
Di harap dengan perkongsian resepi ini dapat menambah semangat Mama di dapur. Selamat mencuba! Jom cuba resepi nasi ayam hainan pula!
Jom cuba pelbagai aneka resepi yang lain beserta tips memasak yang berguna di SINI!