Antara resepi yang paling ringkas untuk dimasak tetapi sangat sedap ialah resepi nasi goreng telur dan ia telah menjadi kesukaan kanak-kanak.
Malah, sejak dari kita kecil lagi menu ini juga sering disajikan sebagai sarapan pagi. Sehinggalah sekarang, rasanya seperti agak janggal dan tidak lengkap jika memasak nasi goreng tanpa telur.
Menu yang tidak memerlukan masa yang lama untuk disediakan mampu memberi rasa kenyang yang agak panjang dan membekalkan tenaga yang mencukupi sehingga waktu makan tengah hari ini ternyata memudahkan lagi urusan Mama di dapur.
Terdapat pelbagai cara untuk memasak nasi goreng telur ini. bagi memudahkan lagi kerja Mama, Mama Siti kongsikan dua resepi paling mudah dan cepat untuk memasaknya.
Resepi Nasi Goreng Telur
i) Nasi Goreng Telur Ikan Bilis
Bahan-bahan
- 3 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 3 biji cili padi
- Halia
- 4 biji telur
- Ikan bilis
- 2 sudu besar sos tiram
- Serbuk perasa
Cara-cara
#1. Tumbuk bawang merah, bawang putih, cili padi, dan halia sehingga lumat. Panaskan minyak, tumis kesemua bahan yang telah ditumbuk tadi sehingga kekuningan dan berbau wangi. Kemudian masukkan ikan bilis dan masak sehingga ia garing.
#2. Selepas itu masukkan telur ke dalam tumisan tadi dan kacau sehingga telur garing. Masukkan sos tiram dan gaul biar ia sebati.
3. Akhir sekali masukkan nasi, kacau sehingga sekata dan masukkan serbuk perasa secukupnya.
Tips/Petua Berguna
- Ikan bilis boleh digoreng terlebih dahulu dan ditabur di akhir masakan.
- Boleh masukkan sayur sawi, lobak merah dan sebarang jenis sayur yang Mama suka.
ii) Resepi Nasi Goreng Telur Hancur
Bahan-bahan
- 2 biji bawang kecil
- 4 biji bawang putih
- 3 biji cili api
- 1 mangkuk nasi sejuk
- 1 sudu sudu kecil garam
- 1/2 sudu kecil lada hitam hancur
- 1/2 sudu serbuk ikan bilis
- 2 biji telur
Cara-cara
#1. Bawang kecil,bawang putih dan cili dihiris. Pecahkan telur dan pukul sekata.
#2. Panaskan minyak didalam kuali, goreng telur yang telah dipukul tadi.
Kacau telur dengan cepat sehingga hancur dan apabila ia sedikit garing masukkan cili api, bawang putih dan bawang kecil.
#3. Setelah bawang kelihatan sedikit layu dan garing, tuangkan nasi dan kacau biar ia sebati. Kemudian, masukkan serbuk ikan bilis, lada hitam dan garam secukup rasa.
Tips/Petua Menyediakan Resepi Nasi Goreng Telur Hancur
- Boleh masukkan sayur sawi, lobak merah dan sebarang jenis sayur yang Mama suka.
Diharap dengan perkongsian resepi ini Mama dapat menikmati nasi goreng telur yang ringkas tetapi sangat sedap dan mudah untuk disediakan.
Jom cuba pelbagai resepi menarik yang lain di SINI!