Menu set lengkap kegemaran orang utara ini memang sesuai kalau dijadikan menu sajian menyambut tetamu. Bila ada tetamu datang rumah, mulalah kelam-kabut fikir nak masak apa.
Mama Siti cadangkan untuk buatkan set lengkap nasi daging. Tak perlu fikir lagi nak masak lauk dan pencicah berbeza. Kenyang pun kenyang, sedap pun sedap. Orang Pulau Pinang cakap “ho liao” lah.
Oleh itu, bagi membantu Mama menyediakan nasi daging yang lazat, di bawah ini Mama Siti telah kongsikan resepi sebagai panduan untuk memasaknya.
Resepi Nasi Daging Utara dan Asam Kerisik
Resepi oleh: Umi Watie
Bahan-Bahan Nasi Daging
- Beras basmathi
- Susu segar
- Daging
- Bawang besar
- Bawang putih
- Halia
- Serai
- Lada hitam
- Empat sekawan (kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga)
- Daun pandan
- Rempah kurma
- Kiub daging
- Minyak sapi
- Garam
- Daun ketumbar
Bahan-Bahan Asam Kerisik
- Tomato
- Bawang besar
- Cili padi
- Daun ketumbar
- Kerisik
- Air asam jawa
- Gula perang
- Garam
Cara-Cara Masak Nasi Daging
#1 Tumis ½ biji bawang besar, seulas bawang putih yang ditumbuk, ½ inci halia dan serai dengan dua sudu minyak sapi naik bau.
#2 Selepas itu, masukkan empat sekawan bersama-sama dengan satu sudu rempah kurma, akar ketumbar dan satu sudu lada hitam.
#3 Cara-cara memasak nasi daging adalah dengan memasukkan daging yang telah direbus empuk, bahan rempah yang telah ditumis, daun pandan dan 1/2 kiub daging.
#4 Tuangkan satu cawan susu segar, tiga cawan air dan garam. Gaulkan merata supaya rasanya sebati dan boleh mula pasang suis atau api dapur.
#5 Apabila nasi sudah masak, gemburkan dengan garfu dan akhir sekali taburkan dengan daun ketumbar.
Cara-Cara Sediakan Asam Kerisik
#1 Pertama sekali, sangai kelapa parut dengan api kecil. Kacau-kacaukan sehingga semuanya garing.
#2 Alihkan ke dalam lesung batu dan tumbuk hingga kelapa sangai keluar minyak. Sekarang barulah namanya kerisik.
#3 Seterusnya, potong satu biji bawang besar, cili dan dua biji tomato. Letakkan satu sudu kerisik, gula perang, daun ketumbar, air asam jawa dan garam.
#4 Air asam kerisik sudah pun siap untuk dihidangkan bersama-sama nasi daging.
Tips Memasak Resepi Nasi Daging dan Asam Kerisik
- Mama boleh abaikan serbuk lada hitam kalau ada ahli keluarga atau anak-anak yang tidak gemarkan rasanya.
Mama juga boleh cuba pelbagai resepi menarik yang lain di SINI!