Sebagai tuan rumah, memang pening sikitlah kan fikir menu apa nak dihidangkan kepada tetamu yang datang ke rumah? Asyik menu sama ja yang dihidang mesti dah bosan kan?
Kali ini, Mama tak perlu pening-pening lagi sebabnya menu yang Mama Siti nak kongsikan kali ini iaitu resepi nasi beriani siam atau nama lainnya adalah Khao Mok Ghai yang merupakan hidangan yang sangat lazat dan pasti akan membuka selera sesiapa sahaja.
Jadi, tanpa membuang masa jom lihat bagaimana cara hidangan ini disediakan dan menariknya Mama, bukan sahaja resepi beriani siam tetapi Mama Siti juga turut kongsikan kepada Mama resepi asli nasi beriani yang menjimatkan untuk dijadikan pilihan.
Selamat mencuba!
Resepi Nasi Beriani Siam @ Khao Mok Ghai & Resepi Nasi Beriani Jimat
Resepi Nasi Beriani Siam @ Khao Mok Ghai
Bahan-bahan
Rempah:
- Untuk 6 pot beras
- 1 sudu serbuk ketumbar
- 1 sudu serbuk kari daging
- 1/2 sudu serbuk jintan putih
- 1/2 sudu serbuk kunyit
- Seekor ayam (nak lagi menarik Mama potong 4)
Bahan tumis:
- Kulit kayu manis
- Buah pelaga
- Bunga lawang
- 5 biji bawang merah dan putih dimayang
- Serai
- Daun pandan
- Akar daun ketumbar yang telah dicuci bersih
- Minyak sapi untuk menumis
- 200ml susu cair
Cara-cara
#1. Mula-mula Mama campurkan semua bahan dengan sedikit air untuk dijadikan pes.
#2. Sediakan bahan untuk ditumis. Setelah itu, tumis bahan dengan minyak sapi sampai ia naik bau, kemudian tambah bawang, serai dann daun pandan. Tumis lagi sehingga layu.
#3. Seterusnya, masukkan rempah Khao Mok Ghai, kacau sampai garing. Masukkan pula 8 cawan air, akar ketumbar dan 2 kiub pati ayam. Tunggu sampai mendidih.
Bila air sudah mendidih masukkan ayam dan tunggu sampai ayam masak dan toskan ayam. Kemudian, Mama keluarkan lebih kurang satu cawan air rebusan ayam untuk buat sos.
#4. Masuk 6 cawan beras dan susu cair. Tambah sedikit garam kalau kurang rasa. Masak nasi macam biasa.
#5. Ayam yang sudah ditoskan sebentar tadi, Mama gaul dengan garam kunyit lalu goreng. Nak lebih sedap, Mama boleh campur rempah goreng ayam.
#6. Manakala untuk sos, Mama blend 5 biji lada merah besar dengan air rebusan ayam yang disimpan tadi. Masukkan sedikit garam, gula dan cuka. Masak atas api sama macam buat sos nasi ayam.
Resepi Nasi Beriani (Versi Jimat)
Bahan-bahan
- Sepaket 4 sekawan*
- 2 biji bawang besar*
- 2 biji tomato*
- 10 biji cili padi*
- Satu tin kecil minyak sapi
- 3 sudu rempah beriani
- 5 pot beras Basmathi
- 5 pot air
- 1/2 pot susu cair
- Pewarna kuning
- Sedikit kismis
Cara-cara
#1. Mula-mula, Mama basuh beras sehingga bersih dan rendam lebih kurang 20 minit. Kemudian, potong bahan-bahan yang bertanda *.
Panaskan kuali dan tumis semua bahan-bahan yang telah dipotong sehingga berwarna kekuningan dan naik bau.
#2. Setelah itu, Mama bancuh rempah untuk dijadikan sebagai pes dengan menggunakan sedikit air lalu tuangkannya bersama dengan bahan yang ditumis tadi. Masak sehingga rempah pecah minyak.
#3. Seterusnya, Mama tapis beras yang telah direndam sebentar tadi dan masukkan ke dalam kuali bersama bahan tumisan.
Masukkan susu cair dan air. Kacau sebati semua bahan.
#4. Tabur pula sedikit kismis, kacau semua bahan dan biarkan nasi masak sepenuhnya. Titis sedikit pewarna kuning dan kacau nasi sehingga ia menjadi sekata.
Semoga dengan perkongsian dua versi resepi ini, Mama semua menyukainya. Jom Mama cuba resepi sotong bakar Thai pula!
Selain resepi ini, terdapat banyak lagi pelbagai resepi menarik yang lain boleh Mama cuba di SINI!