Resepi kali ini sesuai buat Mama yang sedang memikirkan pencuci mulut ataupun kuih yang senang untuk dihidang pada tetamu. Jom cuba resepi muffin yang baru dan lain daripada yang lain, iaitu muffin jagung.
Adakah Mama tahu, jagung sebenarnya sayur? Tapi dia manis! Sebab itulah kita boleh menggunakan jagung sebagai bahan utama dalam muffin kita kali ini.
Sebelum kita memula projek kita, mari kita lihat dulu dari mana datangnya jagung berkrim ini? Kenapa ia sungguh lazat sehingga boleh dijadikan sebagai salah satu bahan dalam menu pencuci mulut? Mari kita baca!
Asal Usul Jagung Berkrim
Jagung berkrim yang juga dikenali sebagai jagung manis gaya krim berasal dari Amerika, dan kini ia menjadi makanan biasa di Barat Tengah dan Selatan Amerika Syarikat. Jagung berkrim sering digunakan dalam hidangan Kanada Perancis pâté chinois seperti Shepherd’s pie. Ia adalah versi jagung manis yang berkuah, dan tidak seperti penyediaan jagung manis yang lain, jagung berkrim juga ada sisa pulpa yang dikikis dari tongkol jagung.
Menaikkan Rasa Sedap Muffin
Tambahan jagung yang berkrim ini akan menaikkan tekstur dan rasa muffin jagung. Lebih banyak jagung pada muffin akan meningkatkan dan menguatkan perisa jagung dalam muffin tersebut dan jika Mama ingin rasa lebih berkrim, Mama boleh tambahkan buttermilk ke dalam acuan muffin jagung ini.
Salah satu cara yang paling mudah adalah untuk memberi lebih banyak rasa dan creamy adalah dengan menambah ⅓ cawan krim masam ke dalam adunan, yang akan menjadikan muffin jagung lebih lembap dan rasa yang lebih ‘tajam’.
Satu lagi tips adalah tambah ⅔ cawan mentega untuk membuatkan muffin menjadi lebih lembut.
Jadi, jom kita cuba resepi muffin jagung dengan menggunakan air fryer ini! Seperti biasa, jika Mama akan masak untuk lebih banyak orang, Mama boleh gandakan sukatan bahan-bahan tersebut. Selamat maju jaya dan selamat mencuba!
Resepi Muffin Jagung Menggunakan Air Fryer
- Masa Penyediaan: 15 minit
- Masa Memasak: 3+30 minit
- Hidangan: 3 orang
Bahan Memasak
Bahan-bahan ini dibahagikan kepada dua bahagian supaya ia menjadi lebih mudah untuk diikut. Bahan-bahannya juga senang untuk dicari di kedai berdekatan Mama!
Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat muffin jagung:
Bahan-Bahan A
- ½ cawan jagung krim
- ½ cawan gula kastor
- ½ cawan minyak jagung
- 1 biji telur
- ½ sudu teh esen vanilla
Bahan-Bahan B (Diayak 2 Kali)
- 1 cawan tepung gandum
- 1 sudu teh baking powder
- ½ sudu teh soda bikarbonat
- ½ sudu teh garam halus
- Acuan muffin secukupnya
Cara Memasak
- Pertama sekali, masukkan bahan A ke dalam mangkuk dan gaul sebati.
- Seterusnya, masukkan bahan B yang sudah diayak. Kemudian, kacau sebati dengan senduk kayu.
- Masukkan adunan ke dalam acuan muffin.
- Panaskan air fryer pada suhu 150°C sehingga lampu heater padam. Anggaran 3 minit.
- Seterusnya, masukkan acuan muffin ke dalam air fryer dan bakar selama 30 minit.
- Langkah terakhir adalah keluarkan dan sedia untuk dihidangkan.