Buat Mama dan Papa yang gemar memasak di rumah, apa kata kali ini anda cuba resepi daripada ‘Superdad’ Khairul Abdullah! Sangat aktif kongsikan masakan harian di Instagram untuk anak-anaknya, bapa tunggal ini memang tidak jemu memasak. Ditambah pula dengan gambar makanan yang cantik molek belaka, buatkan kita semua pasti rasa terliur!
Dibawah adalah koleksi resepi yang Mama Siti tahu yang Mama dan Papa pasti akan suka.
5 Resepi Perlu Cuba Daripada Superdad!
Resepi Spaghetti Salmon Alfredo Lemak Berkrim
Bahan-bahan
- 300gm spaghetti/vermicelli/fettucini.
- 1 ketul salmon.
- 1 cawan heavy cream atau whipping cream.
- 1 cawan keju parmesan (diparut).
- 2 ulas bawang putih (dicincang).
- 1 ulas bawang merah (dicincang).
- 2 sudu minyak zaitun.
- 1 sudu butter/marjerin.
- Garam dan lada hitam secukup rasa.
Cara Memasak
- Rebus pasta sehingga masak atau al-dente (sedikit kenyal). Ikut citarasa masing-masing. Kemudian, simpan ½ cawan air rebusan pasta.
- Panaskan minyak zaitun dan masukkan salmon. Goreng sampai masak dan keluarkan. Biarkan kuali tu, jangan padam api.
- Masukkan butter dan cairkan, terus masukkan bawang putih dan bawang merah dan tumis sampai harum. Kemudian masukkan krim. Biar hingga krim mendidih dan kecilkan api sekecil-kecilnya.
- Masukkan keju tadi dan kacau hingga sebati dan campurkan air pasta tadi. Kemudian, kacau lagi dan masukkan pasta dan kacau sebati.
- Carik-carikan isi salmon tadi dan masukkan ke dalam masakan dan besarkan api dan kacau sebati. Selepas itu, perasakan dengan garam dan lada hitam.
Resepi Sambal Sotong Pedas Manis Ala Korea
Bahan-bahan
- 4-5 ekor sotong dibersihkan dan dipotong 4. Keringkan atas tisu tuala hingga kering.
- 3-4 sudu besar cili kisar.
- 3 ulas bawang putih (diracik halus).
- 1 ulas bawang kecil (diracik halus).
- 3 sudu sos tomato.
- ½ ketul gula melaka atau 2 sudu gula perang.
- Garam secukup rasa.
Cara Memasak
- Panaskan dalam 4 sudu minyak masak dan tumiskan bawang sampai naik bau. Masukkan cili kisar dan kacau hingga pecah minyak.
- Masukkan sos tomato dan gula melaka. Kacau sebentar dan masukkan sotong. Kacau dalam 3 minit dan tutup api.
- Angkat dan hidangkan dengan taburan bijan dan potongan daun bawang.
Resepi Singgang Daging
Bahan-bahan
- 250gm daging (dipotong nipis)*.
- 2 batang serai (dipotong atau diketuk)*.
- 1 biji bawang besar (dihiris)*.
- 2 ulas bawang putih (dihiris)*.
- 1/2 inci halia (dihiris)*.
- 1/2 inci lengkuas (dihiris)*.
- 1/2 sudu kecil ketumbar (tumbuk kasar)*.
- 3-5 biji cili padi (diketuk).
- 2 keping asam gelugor.
- 1 biji tomato belah 4.
- Garam dan gula.
- Air secukupnya.
Cara Memasak
- Rebus semua bahan bertanda * sampai daging empuk.
- Selepas itu, masukkan asam keping, garam dan gula secukup rasa.
- Selepas itu, masukkan tomato dan cili padi.
Resepi Makaroni Sup Deli Ayam
Bahan-bahan
- 300gm makaroni direbus dan ketepikan.
- 1 ketul dada ayam.
- 3-4 keping deli ayam (kepingan ayam).
- 2 inci lobak merah.
- 1 biji kentang dipotong kiub.
- 3-4 ketul brokoli.
- 1 ketul kiub pati ayam.
- 1 ulas bawang putih.
- 1 biji bawang besar belah 4.
Cara Memasak
- Masukkan 1.5 liter air ke dalam periuk dan masukkan ayam, bawang putih, bawang besar dan didihkan.
- Selepas didih masukkan kentang dan biar sampai kentang empuk.
- Masukkan kiub pati ayam dan deli ayam dan brokoli dan kacau sebati.
Resepi Udang Telur Masin Nestum
Bahan-bahan
- 5-7 ekor udang saiz sederhana atau besar dibersihkan dan toskan.
- 3 ulas bawang putih (dipotong).
- 2 tangkai daun kari.
- 3-5 biji cili padi (dipotong).
- 2 sudu besar butter/marjerin.
- 3 sudu pes telur masin.
- 1 cawan serbuk nestum original.
Cara Memasak
- Goreng udang dengan api yang kuat. Ia bertukar merah sahaja balikkan dan goreng sekejap sahaja lagi dalam 20 saat. Angkat dan toskan.
- Panaskan butter/marjerin kemudian tumiskan bawang putih, daun kari dan cili padi sehingga naik bau dan masukkan pes telur masin. Kalau tidak ada pes, boleh guna telur masin dalam 2 biji yang dah rebus dan boleh hancurkan.
- Kacau sebati telur masin tu sampai nampak dia dah berbuih maka masukkanlah nestum dan kacau sebati.
- Masukkan udang tadi dan kacau sebati.
Selamat mencuba!