Minum petang bersama family ialah salah satu aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan family Mama. Selain itu, dapat berkumpul bersama-sama sambil menikmati juadah petang.
Selalunya juadah minum petang ni Papa akan beli dekat luar atau Mama masak yang frozen je kan. Tapi sebaiknya Mama kena kurangkan makanan frozen sebab tak elok untuk kesihatan anak tau.
Kalau beli pula asyik makanan yang sama je kan, anak-anak pun jemu dah asyik makanan yang sama.
Mama jangan risau, Mama Siti ada beberapa resepi minum petang yang simple je untuk Mama.
#1 Roti Sardin Goreng
Bahan-bahan
Bahan-bahan untuk roti sardin
- 1 tin besar sardin (adabi atau apa-apa brand sardin)
- Hirisan bawang merah besar
- 2 ulas bawang putih
- Cili padi merah x 1 hiris serong
- Cili padi hijau x 2 hiris serong
- ¼ biji limau nipis
- Gula merah ½ sudu kecil
- Cili kisar 1 sudu besar
- Asam keping ¼ keping
Bahan-bahan untuk adunan tepung
- 1 cawan tepung gandum
- ½ cawan air sejuk
- ½ cawan air panas
- ¼ sudu serbuk kunyit
- Garam
- Mushroom seasoning
- ½ biji limau nipis
Cara Penyediaan
- Tumis bawang, bawang putih dan cili padi sehingga garing kemudian, masukkan cili kisar dan sardin (sos jangan dibuang), biarkan sampai pecah minyak.
- Perahkan limau nipis, perasakan dengan gula, garam dan mushroom seasoning.
- Satukan kesemua bahan adunan tepung tadi, pastikan adunan tidak terlalu cair atau pekat.
- Masukkan sardin ke dalam roti, lipat dua, celupkan dalam adunan tepung, panaskan minyak dan goreng sehingga garing, biarkan roti goreng sekata.
- Agak-agak roti Mama dah kekuningan, toskan pada kitchen towel.
Nota: Kalau tak nak roti serap minyak, kena buat campuran air panas dan air sejuk untuk adunan tepung dan perahan limau nipis.
#2 Popia Goreng Bersira Pedas
Bahan-bahan
- Kulit popia secukupnya
Bahan-bahan untuk inti popia
- 2 ulas bawang puti, cincang halus
- 1 biji sengkuang, potong memanjang
- 1 batang carrot, parut kasar
- Sedikit biji kobis, cincang kasar
- Sedikit taugeh
- 1 biji bawang besar, hiris halus
- 1 sudu besar sos tiram
- 2 sudu besar udang kering, tumbuk halus
- Gula dan garam secukup rasa
Bahan-bahan untuk sos sira pedas
- 2-3 sudu besar minyak masak
- 1 ulas bawang putih, tumbuk halus
- 1 ulas bawang merah, tumbuk halus
- 2 sudu besar cili kisar
- 3 sudu besar sos cili
- 2 sudu besar gula
- 1 sudu besar cuka makan
- Sedikit garam
- Bijan, disangai atau goreng tanpa minyak
Bahan-bahan untuk lekatkan kulit popia
- 2 sudu besar tepung gandum
- Sedikit air
Cara Penyediaan
Untuk tepung gam
- Bancuh tepung bersama air sedikit demi sedikit sehingga menjadi pes yang pekat.
Untuk popia
- Ambil sekeping kulit popia. Sudukan inti popia dan balut dengan kemas.
- Gamkan bahagian hujung lipatan dengan bancuhan tepung/gam.
- Goreng sehingga kekuningan dan rangup. Angkat dan ketepikan.
Untuk popia sos sira pedas
- Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah yang ditumbuk halus sehingga kekuningan.
- Masukkan cili kisar dan masak seketika sehingga pecah minyak.
- Masukkan sos cili, gula dan cuka makan. Masak sehingga kuah pekat dan perasakan dengan garam secukupnya.
- Apabila sos sudah masak, tuang popia goreng di dalam kuali dan kacau sos sehingga menyaluti semua permukaan popia. Pastikan popia digaul dengan cepat.
- Angkat dan susun di atas pinggan. Taburkan dengan bijan untuk hiasan.
#3 Kuih Ketayap
Bahan-bahan
Bahan untuk kulit ketayap
- 2 cawan tepung gandum
- 2 cawan santan sederhana cair, anggaran dari ⅓ biji kelapa
- 1 biji telur
- 4-5 helai daun pandan
- 1 sudu kecil garam
- 2-3 titik pewarna hijau (optional ye)
Bahan-bahan untuk inti kelapa
- ½ biji kelapa parut
- ¼ cawan gula melaka
- ¼ cawan gula pasir
- 2-3 helai dauh pandan
- ½ sudu kecil garam
Cara Penyediaan
Untuk membuat inti
- Masukkan kelapa parut, air, gula merah. gula pasir, garam dan daun pandan di dalam kuali.
- Masak di atas api yang perlahan, kacau sehingga sebati dan sedikit kering. Sejukkan.
Untuk membuat kulit ketayap
- Kisar ⅓ biji kelapa parut bersama daun pandan, dengan anggaran air supaya menghasilkan dua cawan santan. perah dan tapis.
- Bancuh santan bersama tepung gandum, garam, telur dan beberapa titik pewarna jika mahu, supaya kulit menjadi lebih hijau. Kacau sebati menggunakan whisk dan kemudian tapis supaya tiada ketulan.
- Panaskan kuali yang di griskan dengan sedikit minyak. Tuang satu senduk bancuhan tepung dan ratakan dengan memusingkan kuali ke kiri dan ke kanaan supaya mendapat bentuk bulat. Ratakan bahagian atas menggunakan sudip jika perlu. Anggaran 3-4 minit di atas katil.
- Angkat dan gulung bersama inti yang sudah disejukkan.
#4 Burger Malaysia/Pau Sambal
Bahan-bahan
Bahan untuk membuat roti
Bahan A
- ½ kilo tepung gandum (tak kira cap apa pun)
- 3 sudu besar marjerin (cap pelangi lebih wangi)
Bahan B
- 1 cawan air suam (½ cawan air panas campur dengan ½ cawan air kosong biasa)
- 2 sudu besar yis mauripan
- 1 sudu besar susu pekat
- ¼ sudu kecil garam
Bahan untuk sambal bilis
- 5 ulas bawang putih (ditumbuk)
- 2 labu bawang besar (tumbuk)
- 1 genggam ikan bilis (dah siap suci bersih)
- 3 sudu besar cili kering kisar (dikisar kasar)
- Sikit air asam jawa
- Garam dan gula secukup rasa
Cara bancuh adunan tepung
- Mula-mula sedikan air dan campurkan dengan yis mauripan, susu pekat serta garam. Kacau sebati.
- Pastikan bancuh yis mauripan ni dalam cawan yang besar sebab yis akan mengembang.
- Biarkan ia mengembang dalam 15 minit ke 20 minit.
- Bila yis dah berbuih, masukkan dalam bekas/besen bahan A tadi. Gaulkan sampai sebati dan terus uli.
- Kalau air yis ni tak cukup, boleh masukkan air biasa sikit demi sikit sambil uli. Buat sampai adunan lembut (bukan lembik ye).
- Uli sampai jadi doh yang cantik dan tak melekat di tangan.
- Selepas dah uli, biarkan doh dalam 20-30 minit. Doh akan mengembang dua kali ganda.
- Bentukkan bulat-bulat dan susun dulu atas dulang. Biarkan naik lagi kembang sekali ganda.
- Panaskan minyak dalam kuali. Dah betul-betul panas, boleh terus menggoreng.
- Pastikan goreng dengan api yang perlahan sebab tepung boleh terkejut dan nanti hasil kulit tak cantik.
- Masa goreng, balik-balikkan pau supaya masak sekata.
- Warna dan coklat keperangan, bolehlah angkat dan toskan. Ketepikan.
Cara masak sambal ikan bilis
- Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang yang ditumbuk sampai naik bau wangi.
- Kemudian masukkan ikan bilis dan cili kisar. Tumiskan sehingga masak cantik.
- Masukkan sedikit air asam jawa. Kacau sebati.
- Bila sambal dah agak kering, boleh padamkan api.
Cara Penyediaan
- Ambik pau goreng tadi, belahkan dua tapi jangan sampai putus. Boleh pakai gunting lebih mudah.
- Masukkan sambal ikut banyak mana anda suka.
- Dan akhir sekali letak timun hiris.
- Dah siap, sedia untuk dihidangkan.
Mama Siti harap resepi yang simple ini dapat membantu dan memudahkan Mama untuk membuat juadah minum petang nanti. Selamat mencuba Mama!
Mama boleh dapatkan resepi makanan yang lain di SINI.