Mama Siti pernah buat resepi ayam kam heong sebelum ini, jadi apa kata kali ini kita cuba resepi ketam masak kam heong pula.
Bagi yang tak tahu, resepi kam heong berasal dari China dan punca ianya menjadi kesukaan orang Malaysia ialah perpaduan rasa kari, kicap, dan udang kering yang menaikkan selera.
Kalau nak kena dengan tekak Melayu Mama yang sukakan rasa pedas, boleh tambah beberapa cili padi untuk lebih rasa kick! Ayuh, kita lihat cara menyediakan resepi ketam kam heong ini.
Resepi Ketam Kam Heong
Resepi oleh: Anna Anggat
Bahan-bahan
- Ketam
- Kunyit
- Cili kering (Dipotong)
- Rempah kari
- Daun kari
- Kicap pekat
- Gula merah
Bahan-bahan Yang Ditumbuk
- Bawang merah
- Bawang putih
- Udang kering
Cara-cara
#1 Langkah pertama kita perlu belah ketam dan goreng dalam minyak panas hingga separuh masak.
#2 Seterusnya, guna sedikit minyak goreng ketam tadi dan tumis bahan yang ditumbuk sehingga naik bau wangi.
#3 Tak perlu tunggu lama, terus sahaja masukkan daun kari dan cili kering serta rempah kari yang telah dibancuh.
#4 Jangan lupa untuk gaul semua bahan masakan dalam multicooker, jangan sampai hangit! Kemudian, masukkan kicap pekat serta sedikit air masak mengikut citarasa dan biarkan kuah masak hingga agak pekat.
#5 Untuk lebih variasi rasa, Mama perlu tuangkan beberapa sudu gula merah ke dalam bahan masakan.
#6 Akhir sekali, kita akan masukkan ketam yang telah digoreng separuh masak pada awal tadi. Gaul hingga rasanya merata dan sebati dengan bahan-bahan masakan.
Tips Menyediakan Resepi Ketam Kam Heong
- Rahsia rempah tidak berketul ialah ia perlu dibancuh dahulu sebelum dimasukkan ke dalam masakan.
- Resepi ini lebih enak jika menggunakan ketam nipah berbanding ketam bunga.
Mama jangan lupa cuba ya dan boleh juga kalau nak cuba resepi makanan laut yang lain contohnya resepi sotong phat phet dari Thailand.
Dapatkan lebih banyak resipi menarik dan tips masakan di SINI!