Kalau orang tanya apa mercu tanda pantai timur, ada yang cakap ikan. Sebab dekat pantai timur senang dapat stok ikan segar.
Tapi kalau orang tanya apa mercu tanda negeri Pahang, tak lain tak bukan IKAN PATIN TEMPOYAK lah jawapannya.
Memang tak disangkal lagi, lauk ikan patin tempoyak yang paling sedap hanya ada di Pahang. Kalau bukan di negeri Darul Makmur itu, katanya hanya orang Pahang asli saja yang mampu buat masakan ini cukup rasa.
Sudahlah, tak perlu bersangka-sangka lagi. Kita cuba saja resepi ikan patin tempoyak cara Cik Ain dari Seminit Resepi ini.
Mari lihat bahan-bahan dan cara memasaknya sekali.
Resepi Ikan Patin Tempoyak
Resepi oleh: Seminit Resepi
Bahan-bahan
Bahan Kisar
- Bawang putih
- Kunyit Hidup
- Tempoyak
- Cili Padi
Bahan-Bahan Lain
- Ikan Patin
- Batang Timun
- Daun Kesum
- Bunga Kantan
- Daun Kunyit
- Asam Keping
- Garam
- Gula
- Air
Cara Memasak
1. Masukkan bahan kisar ke dalam pengisar dengan ditambah sedikit air.
2. Tuangkan ke dalam kuali tanpa minyak.
3. Kemudian, tambahkan lagi air mengikut citarasa Mama dan keluarga.
4. Tanpa menunggu lama, terus masukkan timun dan masak sehingga menjadi sedikit lembut.
5. Tambahkan bunga kantan, daun kesum dan daun kunyit. Jangan lupa perasakan dengan garam dan gula.
6. Akhir sekali, masukkan asam keping dan ikan patin.
Tips Resepi Ikan Patin Tempoyak
- Kalau Mama tak tahu nak agak timun sudah lembut atau belum, tunggu sehingga kuah mendidih dan masukkan bahan seterusnya.
- Kuah yang cair boleh dipekatkan dengan menambah tempoyak semasa proses memasak.
“Rasa macam saya boleh buat ni Mama Siti”
Bagus, kita perlukan semangat yang macam ini lah. Yang pasti, Mama kena cuba dulu ya.
Oh ya, selain memerlukan ikan patin segar, sebaiknya Mama gunakan tempoyak yang terbaik juga tau. Maksud Mama Siti di sini, sebaiknya guna tempoyak yang diperbuat dari isi durian asli tanpa tambahan garam atau gula.
Nak tahu tanda tempoyak itu asli tanpa bahan tambahan seperti pisang emas, Mama akan nampak serat durian pada tempoyak.
Baiklah, rasanya resepi kali ini sampai di sini saja. Lain masa Mama Siti kongsikan lagi ya resepi menarik untuk Mama. Sebenarnya Mama Siti pun ada kongsikan resepi lain juga tau seperti resepi sotong paprik ni. Kalau ada masa, Mama boleh cuba ya.
Selamat menjamu selera.