Kebiasaannya, jika ingin membuat resepi gulai daging ramai dikalangan kita yang gemar memasukkan santan ke dalam masakan. Walaupun rasanya sedap, tetapi bagi anda yang lebih menitikberatkan soal kesihatan, santan adalah tidak digalakkan.
Tetapi sedap ke kalau tak masukkan santan?
Menariknya untuk perkongsian resepi gulai daging yang Mama Siti kongsikan ini, ia sangat istimewa kerana tidak menggunakan santan dan walaupun tidak menggunakan santan rasanya tetap sedap dan memikat rasa. Malah, kuah karinya yang sedikit pekat dan berpalit dengan daging sangat sedap kalau dinikmati dengan nasi yang masih panas.
Di bawah ini Mama Siti kongsikan langkah-langkah memasak gulai daging kambing istimewa sebagai panduan.
Resepi Gulai Daging Kambing Tanpa Santan
Bahan-bahan
- 1 kg daging kambing
- 2 biji bawang merah
- 2 tangkai daun kari
- 1 biji tomato
- 2 biji kentang
- 1 lobak merah
- 3 tangkai lada kering
- 4 tangkai cili hijau
- 3 ulas bawang putih (ditumbuk)
- 2 hiris halia (ditumbuk)
- 1 paket serbuk kari daging baba’s
- 3 sudu kecil serbuk cili baba’s
- 1 sudu kecil serbuk kunyit
- 1 sudu besar jintan dan biji ketumbar (ditumbuk)
- Asam jawa (dibancuh dengan sedikit air)
- Minyak untuk menumis
Cara-cara
#1. Mula-mula panaskan minyak masak di dalam periuk secukupnya, tumis bawang putih, halia, bawang merah, lada kering, cili hijau, dan daun kari. Tumis sehingga sedikit keperangan dan berbau harum.
#2. Selepas itu, masukkan tomato yang telah dipotong dadu dan masak sehingga tomato menjadi sedikit layu.
#3. Kemudian, masukkan air asam jawa.
#4. Seterusnya masukkan semua serbuk rempah ke dalam tumisan. Kacau supaya semua bahan menjadi sekata.
#5. Masukkan daging kambing yang telah dipotong dan dibersihkan, lobak merah dan kentang. Kacau biar semua bahan sebati dengan rempah.
#6. Gunakan api sederhana, masak sehingga air daging keluar.
#7. Tutup periuk untuk mempercepatkan proses memasak dan biarkan ia selama sepuluh minit.
#8. Apabila air daging sudah keluar, masukkan satu mangkuk kecil air. Biarkan ia mereneh menggunakan api kecil.
#9. Akhir sekali, masukkan garam secukup rasa. Kacau sebati dan biar seketika. Tutup api.
Tips/Petua Menyediakan Resepi Gulai Daging Kambing
- Gulai daging lebih sedap jika dicampur dengan bahagian tulang.
- Untuk menjimatkan masa Mama di dapur, rebus terlebih dahulu daging sehingga lembut, simpan didalam peti sejuk. Keluarkan apabila ingin memasak.
- Sekiranya tidak suka gulai yang terlalu berlemak, buang lemak sejuk yang telah beku dipermukaan.
Semoga Mama lebih bersemangat untuk mencuba resepi gulai daging yang sangat istimewa ini.
Jom cuba pelbagai resepi menarik yang lain seperti yang dikongsikan di SINI.