Sekilas pandang macam lauk ayam masak kicap, dan bau pula macam ayam masak kari. Tapi sebenarnya tidak ya. Nama resepi kita kali ini ialah resepi ayam kam heong yang semakin menjadi kegemaran tekak Melayu. Mama Siti pun suka resepi ni!
Resepi ayam kam heong selalu dihidangkan di restoran cina-muslim. Meskipun terdapat banyak resepi ayam masak kam heong di luar sana, kali ini Mama Siti nak kongsikan cara paling ringkas sekali iaitu dari Puan Hamizah Hassanudin.
Walaupun menggunakan bahan yang simple dan cara memasak yang mudah, namun resepi kali ini dijamin enak. Tambah-tambah kalau dapat ayam segar dan makan dengan nasi panas.
Resepi Ayam Kam Heong
Resepi oleh: Hamizah Hassanudin
Bahan-Bahan
- Ayam (Dipotong)
- Serbuk Kunyit
- Garam
- Minyak
- Bawang Besar (Dihiris)
- Bawang Putih (Dihiris)
- Daun Kari
- Rempah Kari Ayam
- Cili Padi
- Sos Cili
- Sos Tiram
- Kicap Manis
Cara-Cara
#1 Cuci bersih ayam yang telah dipotong-potong. Kemudian, perasakan dan gaulkan sebati ayam dengan serbuk kari dan sedikit garam.
#2 Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan ayam. Goreng ayam hingga masak dan toskan minyak berlebihan daripada ayam tadi.
#3 Dengan menggunakan minyak gorengan ayam sebelum ini, tumiskan bawang besar, bawang putih dan daun kari.
#4 Apabila tumisan mulai garing dan naik bau, masukkan dua sudu rempah kari ayam. Teruskan menumis sambil menggaul kesemua bahan tumisan itu. Pastikan Mama masak hingga pecah minyak.
#5 Kemudian, barulah kita masukkan cili padi yang telah dibelah dua ke dalam kuali masakan.
#6 Selepas itu, terus masukkan dua sudu sos cili, dua sudu sos tiram dan dua sudu kicap manis. Kacau rata hingga kesemua rasanya sebati.
#7 Akhir sekali, masukkan ayam yang telah digoreng pada peringkat awal sebelum ini. Pastikan semua bahagian ayam digaul rata dengan kuah masakan di dalam kuali.
#8 Setelah Mama berpuas hati dengan rasa dan tekstur ayam masak kam heong, boleh terus angkat dalam mangkuk hidangan dan makan dengan nasi panas.
Tips Resepi Ayam Kam Heong
- Mama boleh lebihkan cili padi jika gemar lauk pedas. Pastikan cili padi telah dibelah tengah supaya pedasnya dapat dirasai.
- Pada langkah terakhir, Mama boleh tambahkan air jika inginkan lebih berkuah. Jika Mama dan Papa lebih suka kuah pekat, tidak perlu lagi tambah air.
- Rahsia ayam kam heong yang enak ialah ketika menumis, selepas tambahkan serbuk kari, teruskan menumis hingga pecah minyak. Barulah resepi ayam kam heong menjadi.
Kalau Mama teringin nak cuba resepi lain, apa kata cuba pula resepi ayam ungkep. Resepi ini ialah menu tradisi orang Jawa. Dari segi rasa pula, menu ini ada persamaan dengan masakan nusantara seperti rendang dan lauk nasi padang.
Mama Siti memang tak sabar nak cuba resepi ayam kam heong. Mama pula bagaimana? Harap-harap Mama suka lah ya dengan rasanya nanti.
Jom lihat pelbagai resepi menarik yang lain di SINI!