KelabMama

Rasa Macam Sakit Contraction! Ini Cara Atasi Rengat Selepas Bersalin Untuk Mama

Pernahkah Mama dengar tentang rengat selepas bersalin? Atau mungkin ada dalam kalangan Mama yang berpengalaman dengan masalah ini?

Rengat digambarkan sebagai salah satu kesakitan sangat dahsyat hingga kebanyakkan mereka berpengalaman menyamakan sakitnya seperti contraction bersalin. Aduh, sakit sangat tu!

Dengan Mama yang dalam fasa berpantang, pastinya rengat ini sangat menganggu emosi. Bak kata orang, sakit bersalin pun masih terasa, kini nak hadap rengat yang sakitnya sama seperti kelahiran semalam.

Meskipun ia dikatakan normal untuk sesetengah ibu dan terjadi bukan disebabkan Mama mempunyai masalah kesihatan atau sebagainya, namun tak sanggup nak hadap situasi begini kan.

Menurut anggapan masyarakat terdahulu, rengat adalah proses pengecutan rahim apabila ada darah yang terkumpul pada awal kelahiran.

Maksudnya, sebaik selamat bersalin, darah tidak begitu lancar keluar, namun dalam masa sama, rahim pula dalam proses pengecutan menyebabkan darah tadi seolah-olah dipaksa untuk keluar.

Mungkin ada yang mengaggap seperti proses senggugut, namun Mama yang berpengalaman mengatakan ia lebih sakit daripada tu.

Berdasarkan laporan oleh Harian Metro, Pakar Perunding Obstetrik dan Sakit Puan Sunway Medical Centre Dr Sharmina Kamal Shamsul Kamal menjelaskan, kesakitan dialami wanita seperti kontraksi atau rengat adalah disebabkan proses pengecutan rahim untuk kembali ke bentuk asal. 

“Sejurus selepas bersalin rahim perlu mengecut untuk mengelak daripada pendarahan yang terlalu banyak atau berterusan. Ini adalah proses normal yang dialami setiap wanita. 

“Pada hari-hari seterusnya, rahim mengalami proses pengecutan untuk kembali ke bentuk asal dan ia kebiasaannya mengambil masa untuk tempoh 10 hingga 14 hari. Sebaik rahim kembali kepada saiz biasa, rengat juga akan hilang,” katanya. 

Beliau berkata, tahap kesakitan rengat adalah berbeza bagi setiap wanita ekoran perbezaan daya ketahanan individu itu. Ada wanita yang berasakan ia amat menyakitkan dan ada pula yang boleh menahannya.

Dan kebiasaannya, sakit rengat akan juga bertambah ketika menyusukan bayi dan ini adalah normal kerana hormon oksitosin yang menggalakkan pengeluaran susu juga menggalakkan kontraksi.

Oleh itu, Mama dinasihatkan meneruskan penyusuan badan walaupun terpaksa menahan kesakitan kerana semakin kerap bayi menyusu, lebih cepat rahim mengecut.

6 Cara Menghadapi Rengat Selepas Bersalin

Apa cara yang boleh bantu Mama untuk kurangkan rasa sakit rengat selepas bersalin ini? Ada sebarang tips atau petua yang boleh Mama lakukan?

Jawapannya Ya. Mama boleh cuba beberapa tips atau cara hilangkan sakit rengat selepas bersalin seperti di bawah untuk menghadapi sakit rengat selepas bersalin iaitu:

#1. Bertungku

Antara tips yang boleh Mama buat jika mengalami rengat lepas bersalin ialah bertungku. Cara tradisional ini adalah antara cara paling famous diamalkan oleh kebanyakan mereka yang berhadapan dengan sakit ini. Bertungku ini banyak kebaikannya terutamanya kepada mereka yang baru melahirkan anak.

Bertungku ini dapat membantu untuk mengurangkan rasa sakit yang dialami dan membantu untuk mengeluarkan darah kotor yang terkumpul di dalam rahim. Jika dahulu Mama perlu mencari batu sungai untuk dijadikan tungku tetapi tidak lagi sekarang. Ini kerana, tungku moden yang banyak dijual dipasaran sekarang.

#2. Urutan

Berurut antara kaedah paling menenangkan untuk ibu-ibu berpantang. Mama boleh cuba berurut untuk membantu mengurangkan rasa sakit rengat lepas bersalin. Pastikan Mama cari tukang urut yang memang mahir mengurut wanita lepas bersalin.

Awas jika Mama bersalin secara pembedahan. Kaedah mengurangkan sakit rengat melalui urutan adalah lebih sesuai bagi Mama yang bersalin secara normal.

#3. Guna Minyak Urut Panas

Antara tips lain ialah menyapu minyak panas. Bukan minyak masak panas tau Mama, tapi minyak angin panas! Minyak angin panas ini akan membantu mengurangkan rasa sakit rengat. Caranya adalah sapukan pada perut atau tempat yang Mama rasa sakit.

#4. Teknik Pernafasan Hypnosis

Selain itu, Mama boleh lakukan teknik pernafasan hypnosis untuk menenangkan diri. Teknik pernafasan ini bukan sahaja membantu untuk tenangkan Mama, tetapi juga bantu untuk kurangkan rasa sakit. Sama seperti semasa sakit bersalin, Mama boleh lakukan teknik pernafasan ini.

#5. Berbaring

Berbaring antara kaedah melegakan setiap kesakitan. Jika diserang rengat, Mama boleh cuba untuk berbaring. Malah, ketika perlu feeding baby pun, Mama disarankan menyusu sambil berbaring bagi mengurangan sakit berkenaan.

Cuma jangan berbaring sepanjang hari sehingga berjalan pun kurang. Boleh memperlahankan perjalanan darah sekaligus membahayakan kesihatan Mama yang sedang berpantang. Ya, sesungguhnya cabaran bergelar ibu ni sangatlah hebat yerr Mama.

#6. Ubat Tahan Sakit

Ubat tahan sakit adalah option terakhir sekiranya sakit yang Mama rasa sangat teruk. Ini kerana, ubat tahan sakit tidak disyorkan namun boleh diambil atas nasihat doktor.

Mengurangkan sakit turut membantu mengurangkan stress Mama, bukan? Sebaiknya, consult dengan doktor dan tanya pandangan mereka sekiranya Mama berhasrat menggunakan pain killer.

#Kesimpulan

Jika pendarahan terlalu banyak, Mama perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan pemantauan lanjut. Ini sangat penting kerana pendarahan selepas bersalin tidak boleh dibiarkan kerana ia merbahaya. Apatah lagi bagi mereka yang melalui tempoh sakit rengat yang lama.

Malah, bagi Mama yang merasai kesakitan terlampau kuat atau terdapat banyak pendarahan, mereka perlu segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan kerana mungkin berlaku jangkitan kuman atau komplikasi yang lain. Ia mungkin juga bukan rengat dan boleh mengancam nyawa.

Dalam masa sama, Papa juga harus prihatin dan mengambil tahu mengenai kesakitan yang ditanggung Mama serta membuat persediaan bagi membantu isteri agar tidak menderita kesakitan seorang diri. Wanita selepas bersalin ni sangat memerlukan sokongan moral dan fizikal daripada pasangan tau!


Khas untuk Mama yang pertama kali bakal menjadi ibu, jom sertai program Motherhood New Mom untuk mendapatkan New Mom Program seperti ‘welcome gift’ percuma dan cabutan bertuah untuk 31 pemenang pada setiap bulan (1x Chicco KidFit 2-in-1 Belt Positioning Booster Car Seat, 30x Exclusive Baby Set)!

Apa tunggu lagi jom serang website Motherhood atau download aplikasi Motherhood sekarang!


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Untuk pelbagai info mengenai kesihatan Mama dan seisi keluarga, boleh klik di SINI!