KelabMama

Realiti Kehidupan Mak Buyung Yang Orang Sekeliling Harus Cuba Untuk Fahami

Ala, biasalah mual loya masa hamil dulu. I pun macam tu jugak, tapi elok je boleh pergi kerja setiap hari. Tak pernah mintak MC tau!

Mungkin ini antara kata-kata tak enak dilemparkan orang sekeliling kepada ibu-ibu hamil lantaran melihatkan wanita berbadan dua seperti ‘tak cergas’.

Meksipun pregnant itu diumpamakan fasa normal untuk semua isteri, namun hakikatnya, ujian dan liku yang bagi setiap kehamilan adalah berbeza-beza.

Kerana itulah kita biasa dengar ayat “mengandung kali ketiga ni teruknya rasa. Semua makanan pun tak boleh telan. Dulu dua kali pernah mengandung OK jek.”

Justeru, jangan kita pernah memperlekehkan ibu-ibu hamil apabila mereka mengadu tak larat, sakit badan dan sebagainya.

#Gejala Popular Menyerang Ibu Hamil

Tatkala mereka mengadu morning sickness, mungkin kita anggap ia adalah perkara biasa. Namun, jangan merasakan ia masalah ringan.

Sekiranya mereka mengadu tak boleh jamah makanan langsung, sebagai orang sekeliling yang concern, sebaiknya kita mendengar dan tunjukkan rasa perasaan bertimbang rasa.

Walaupun tak boleh membantu, namun mempamerkan perasaan simpati dan memahami sedikit sebanyak mententeramkan emosi mereka.

Berikut adalah gejala popular menyerang ibu hamil:

1. Cepat penat

Ini keadaan paling biasa berlaku kepada hampir semua ibu hamil. Menurut laman web Hello Doktor, diawal kehamilan, tubuh wanita itu akan mengalami beberapa perubahan besar melibatkan hormon bagi tujuan persediaan untuk membesarkan satu kehidupan baharu.

Perubahan tersebut menyebabkan pelbagai simptom seperti mual, keletihan, payudara sensitif dan kerap kencing. 

Ia adalah gejala kehamilan biasa, namun setiap wanita hamil akan mengalami pengalaman berbeza. 

Ada wanita mungkin berasa lebih bertenaga dalam fasa ini dan sesetengah yang lain mengalami keletihan dan sangat beremosi.

2. Sentiasa lapar

Setelah menghadapi fasa mual dan loya terik sehingga tak mampu nak telan apa pun makanan, memasuki trimester berikutnya membuatkan seorang wanita hamil itu mempunyai selera berganda untuk makan.

Ini berikutan tubuhnya menyalurkan nutrisi kepada bayi dalam rahim mengakibatkan Mama itu mudah lapar aibat kekurangan nutrisi.

Malah, faktor keletihan disebabkan terpaksa ‘bekerja keras’ apabila perlu membawa bayi itu dalam setiap pergerakannya turut menyumbang kepada kelaparan.

3. Mengidam

Tak pernah suka makan durian tapi bila hamil asyik nak minta durian je? Mengikut kepercayaan masyarakat Melayu, senario berkenaan dipanggil sebagai mengidam yang mana wanita hamil tadi tak suka dengan makanan yang satu itu, tapi tatkala mengandung, itu pula yang dicari.

Atau keinginan meluap-luap untuk sesuatu makanan tersebut turut dipanggil sebagai mengidam.

Bagaimanapun, secara saintifiknya, pelbagai faktor yang dikaitkan sebagai punca berlakunya mengidam. Menurut portal My Health, perkara seperti peningkatan keperluan kalori serta zat makanan (nutrien) semasa kehamilan dan keperluan untuk pertumbuhan atau pembentukan janin merupakan alasan mengapa keadaan ini berlaku.

Walau bagaimanapun, ada sesetengah saintis atau penyelidik menyatakan perubahan hormon semasa mengandung turut memberi kesan kepada deria bau.

Ini secara tidak langsung memberi kesan dalam pemilihan dan pengambilan makanan.

Mengidam sesuatu jenis makanan semasa mengandung turut dikaitkan sebagai petanda berlakunya kekurangan zat makanan atau nutrien.

Sebagai contoh, seseorang wanita hamil yang mengidam susu atau produk tenusu seperti keju menunjukkan kekurangan kalsium.

Manakala mengidam makanan manis seperti coklat menandakan peningkatan keperluan kalori atau kekurangan vitamin B.

Jadi, jangan anggap mengidam tu sebab mengada-ngada tau. Situasi mengidam itu memang wujud, cuma sebaiknya kawal minda daripada keinginan terhadap makanan yang tidak sihat atau bahaya kepada kandungan.

4. Sakit belakang

Sakit belakang dikalangan ibu hamil bukan sakit biasa-biasa macam lenguh pinggang tu. Tapi ia adalah sakit yang menyeksakan.

Pusing sana tak kena, pusing sini tak selesa. Tidur menjadi cabaran yang paling utama.

Ada mak-mak yang tak boleh tidur hanya disebabkan sakit belakang tau.

Tak sama macam sakit pinggang orang letih buat kerja berat tu. Kalau untuk kes berkenaan, sememangnya baring adalah penawarnya.

Namun sakit belakang kerana berbadan dua tak mampu nak hilang dengan baring atau berehat.

Menurut laporan Harian Metro, Pakar Orthopedik Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr Kamalnizat Ibrahim berkata, antara punca sakit belakang dalam kalangan wanita hamil adalah disebabkan perubahan hormon.

Ini kerana seawal trimester pertama, perubahan hormon akan mengendurkan ligamen yang menyokong tulang belakang dan pelvis. 

Kata beliau, walaupun di awal kehamilan dan perut masih tak kelihatan seperti sedang hamil, ligamen mereka sudah mula mengembang dan semakin janin membesar, terdapat peralihan pada pusat graviti meningkatkan tekanan pada bahagian bawah tulang belakang ibu yang hamil.

Fuh, mencabar kan! Kalau situasi biasa yang angkat barang berat pun boleh lenguh pinggang, apatah lagi membawa seorang lagi manusia dalam rahim yang mana keadaan itu turut mengubah posisi organ dalaman, lagi laa sakit dan tak selesa kan?

5. Sakit tulang rusuk

Saat memasuki trimester ketiga, ini juga dikira menyeksakan. Namun, tak semua wanita hamil berpengalaman dengan sakit tulang rusuk ini.

Tulang di bahagian atas perut terasa digesel-gesel dan ditekan menyebabkan bahagian di tulang rusuk itu sangat menyakitkan.

Duduk pun sakit kerana kedudukan tubuh bayi yang seperti memberikan lebih tekanan di tulang berkenaan.

Dalam keadaan ini, pernafasan juga adakalanya terganggu apabila berasa sakit ketika mahu menarik nafas.

Menurut portal Sihat.Net, perkembangan rahim bagi menampung janin yang sedang membesar kemungkinan menyebabkan tekanan kepada tulang rusuk.

Selain itu, faktor kepala bayi berpusing ke bawah saat di hujung kehamilan turut menyumbang kepada sakit tulang rusuk lantaran kaki mereka yang mulai menendang lembut dalam rahim Mama.

Jika nak disenaraikan kesakitan sepanjang kehamilan dalam entry ini, semestinya tak mampu untuk dihuraikan.

Bukan takat sakit pinggang je tau, sakit kaki, sakit tulang punggung, sakit di payudara dan macam-macam lagi semuanya berlaku dalam tempoh ini.

See, bukan senang mengandung kan? Apatah lagi ketika contraction bermula hingga saat melahirkan yang dikira antara lebih dahsyat daripada semua kesakitan.

Justeru, jangan anggap ringan dengan setiap kesukaran wanita hamil. Keletihan dialami juga tak sama dengan ibu-ibu lain.

Ada yang enjoy dengan pregnancy journey mereka, namun tak kurang pula menganggap cabaran mengandung mereka sangat sukar.

Malah, ada ibu-ibu yang berpotensi mengalami kehamilan pramatang sehingga disarankan untuk banyak berehat, ada ibu hamil yang mengalami masalah jantung, tapi bila bukan tempoh kehamilan, jantung beliau sihat je.

Justeru, disebabkan keadaan inilah jangan pernah bandingkan kemampuan semua wanita berbadan dua kerana proses kehamilan masing-masing adalah berbeza. Semoga dipermudahkan urusan Mama yang bakal bersalin.


Untuk ketahui pelbagai lagi info dan tips tentang kehamilan, Mama dan Papa boleh klik di SINI!