“Anak kedua saya lebih manja dan pandai memujuk. Berbanding dengan adik-beradiknya yang lain, hati dia lebih lembut.
“Kalau tengok saya seorang diri buat kerja di dapur, mesti dia datang nak tolong. Kalau anak-anak yang lain lebih suka tengok TV, main dekat depan lepas tu bergaduh. Sebab tu nombor dua ni jarang kena marah.”
Tanpa sengaja, Mama dan Papa telah membandingkan sikap anak-anak. Dan lebih buruk lagi apabila ia disedari oleh anak-anak lain yang mulai berasa cemburu.
Parental favouritism atau sikap memilih anak sememangnya tak dapat dielakkan oleh ramai ibu bapa.
Adakalanya bukan si ibu atau ayah tu yang sengaja memilih siapa anak paling digemari, namun kerana sikap dan kelebihan yang mungkin ada pada anak tersebut membuatkan Mama dan Papa sering berasa lembut hati dengannya.
Rasa tak sampai hati kalau nak menidakkan apa sahaja kemahuan anak tu. Berbeza dengan anak-anak yang lain, mungkin lebih nakal, sukar dengar kata-kata parents membuatkan ibu bapa tadi mudah nak tinggi suara.
Ya, ini antara cabaran parents yang mempunyai anak ramai. Rumah memang memang meriah dan sentiasa riuh, tapi konflik dalam kekeluargaan itu pula sebaliknya apabila anak-anak lain berasa cemburu dan makan hati.
Mungkin pada pandangan Mama dan Papa, apalah sangat jika mereka berasa kecil hati. Nanti dah besar elok lah tu.
No Mama Papa! Satu perkara yang anda perlu tahu adalah layanan kepada mereka ketika kecil sentiasa diingati sama ada baik atau buruk.
Walaupun apabila meningkat dewasa, anak-anak semua gembira dan kelihatan mesra, tapi sikap pilih kasih oleh Mama Papa ketika mereka kecil tadi tidak akan dilupakan kerana itu antara childhood memory anak-anak.
Justeru, bagaimana cara untuk mengelak sikap pilih kasih antara anak-anak meskipun salah seorang daripada mereka mempunyai perangai yang lebih baik?
#Tips Mengelakkan Sikap ‘Memilih’ Anak
1. Jangan biarkan anak-anak tahu mereka dibandingkan
Membandingkan anak memang suatu yang tak dapat dielakkan. Lebih-lebih lagi bagi situasi anak yang mempunyai ‘anugerah’ terbaik di mata ibu bapanya.
Namun awas Mama Papa! Meskipun anak kedua anda dirasakan lebih terbaik daripada adik-beradik yang lain, jangan biarkan mereka tahu bahawa Mama dan Papa mempunyai pandangan tersendiri daripada setiap mereka.
Elakkan anak-anak tahu bahawa Mama dan Papa lebih lembut hati dengan anak kedua tadi. Jadi, bila berbual dengan suami ke, jangan keluar perkataan seperti “Angah ni kan pandai ambil hati, tolong saya macam-macam hari ini. Yang lain tu tahu bergaduh jerr.”
Walaupun ini hakikatnya, Mama dan Papa perlu berjaga-jaga supaya tak ucap perkataan ini di depan anak-anak. Mungkin tak ada masalah jika anda berdua jerr dengan suami, tapi a big no jika ada anak yang lain.
Ini akan buatkan anak-anak rasa kecil hati dan fikir anda tak sayang mereka. Kesannya, mereka akan lebih agresif dan protes kerana rasa tak disayangi.
Dan untuk anda sebagai parents, walaupun kasih sayang mungkin tak dapat dibahagikan secara adil, tapi jangan terlalu dilayan yerr Mama dan Papa.
Setiap anak ada kelebihan masing-masing. Jangan terlalu melihat kekurangan mereka, tapi carilah kelebihan yang ada pada setiap anak-anak itu.
2. Beri pujian anak tatkala mereka beralah
Bila jadi suatu pertengkaran, elakkan minta salah seorang daripada mereka beralah tanpa memujuknya.
Mungkin ia suatu yang normal sebab kalau tak disuruh salah seorang beralah, akan lebih buruk. Justeru, di sinilah pentingnya peranan Mama dan Papa untuk handle situasi begini.
Mungkin minta anak yang sulung beralah, kemudian Mama pancing anak tadi dengan benda menarik contoh ajak bantu Mama di luar sambil cipta permainan.
Contohnya Mama berkebun dan ajak anak tanam pokoknya sendiri. Atau berikan kata -kata pujian seperti “Alahai, bijaknya anak Mama ni. Tak apa kalau terpaksa beralah, tu bermaksud abang anak yang baik kan? Nanti kita pergi pasar malam nak?”
Tapi make sure jangan puji si abang di depan adik yang tadi sebab nanti si adik rasa tersisih. Pujian atau layanan istimewa itu sebagai memujuk dan mengelakkan si anak rasa Mama dan Papa lebihkan si adik sebab abang tadi terpaksa beralah.
3. Jangan memihak
Mama: “Kenapa kakak cubit adik?”
Anak: “Adik tu koyakkan lukisan kakak dulu.”
Mama: “Lah, adik kan tak sengaja lagipun dia kecik lagi. Sini Mama cubit kakak balik.”
Anak: “Tapi adik yang mula dulu.”
Awas Mama dan Papa, dalam meleraikan pergaduhan, sebaiknya elakkan daripada berpihak kepada salah seorang.
Meskipun kesilapan dilakukan oleh si kakak, sebaiknya explain dengan baik situasi berkenaan dan katakan padanya mengapa dia tak boleh berkasar dengan adik.
Elakkan menggunakan perkataan seperti adik tak boleh dimarahi sebab dia kecil lagi, sebab adik seorang perempuan dan seumpamanya.
Si anak akan menyalahkan takdir kerana merasakan dia tidak tergolong dalam ‘keistimewaan’ itu.
Sepatutnya, mainkan emosi seperti “Kakak sayang adik tak? Kalau sayang, kakak tak boleh kasar-kasar dengan adik. Nanti adik takut dengan kakak, dia tak nak main dengan kakak lagi.
“Kalau adik kacau kakak lagi, beritahu Mama dan Papa dulu ye. Mama dan Papa akan ajar adik supaya tak kacau barang kakak.”
4. Tunjukkan kasih sayang secara sama rata
Bagi mengelak anak-anak berasa tersinggung, adalah penting untuk Mama dan Papa tunjukkan kasih sayang secara sama rata.
Maksudnya kalau hari tu kerap marahkan anak sulung, anda juga kena pandai tackle emosi beliau. Contohnya ambil hati dia dengan bawa berjalan-jalan.
Pendek kata, jangan biarkan ada anak yang makan hati dengan layanan berbeza ibu bapa tu sendiri. Mungkin Mama rasa banyak beri perhatian kepada anak kedua lantaran sikap manjanya, apa kata sebelah malam sebelum masuk tidur, bersembang pula dengan anak sulung.
Tanyakan tentang persekolahan beliau esok. Kemudian ajak anak nombor tiga teman minum di dapur sambil bancuhkan air coklat panas. Ikut kreativiti Papa dan Mama untuk memikat hati anak-anak dengan benda kegemaran mereka.
Yang penting jangan abaikan emosi anak-anak terutama bila mereka rasa Papa dan Mama tak sayangkan mereka. Mungkin anda rasa perkara kecil, tapi kesannya sangat besar untuk emosi dan perkembangan anak.
#Kesan Apabila Anak Berasa Kurang Kasih Sayang
1. Tekanan
Menurut laman web Hello Doktor, Adik-beradik yang terpaksa bersaing antara satu sama lain mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk menghidap depresi. Malah, mood mereka juga tidak stabil.
Lebih serius lagi, depresi boleh berlarutan dari kanak-kanak sehinggalah dewasa. Keyakinan diri anak juga akan tercalar jika sering bergaduh dengan adik-beradik yang lain.
Akibatnya, mereka akan mula rasa tidak disayangi, lebih gemar mendiamkan diri dan enggan bergaul dengan ahli keluarga yang lain.
2. Anak berasa cemburu
Anak akan membenci kejayaan adik-beradik. Malah boleh jadi mereka tidak suka meraikan kejayaan kerana hanya yang terbaik saja akan diraikan dan dipuji-puji.
3. Anak bersaing dalam suasana tidak sihat
Anak akan lebih bersaing dalam suasana yang tidak sihat kerana ingin memenangi hati ibu ayah kerana jika tidak mereka akan terasa seolah-oleh disishkan.
4. Anak akan memberontak
Memberontak kerana ia adalah salah satu cara untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan apa yang berlaku.
Elok-elok anak anda baik, tiba-tiba kerana sikap suka membandingkan mereka boleh menjadi anak-anak yang suka memberontak.
#Hukum Parental Favouritism Daripada Sudut Islam
Memetik kata-kata daripada pendakwah Ustaz Azhar Idrus, satu kisah telah diceritakan pada zaman Rasulullah SAW tentang perbualan Baginda dengan bapa kepada Nu’man:
Aku (Nu’man) berangkat bersama bapaku kepada Rasulullah SAW maka kata bapaku: Wahai Rasulullah. Sungguhnya aku telah memberikan pemberian akan Nu’man suatu dari hartaku.
Lalu sabdanya: Adakah semua anak-anakmu kamu beri sebagaimana kamu beri kepada Nu’man?
Kata bapaku: Tidak.
Jawab Rasulullah: Bersaksilah atas ini oleh selainku. Adakah kamu suka sekiranya semua anak-anakmu sama-sama berbuat baik kepadamu?
Jawab bapaku: Ya.
Kata Rasulullah: Kalau begitu jangan buat begini.”
(Hadith Imam Muslim)
Dan pada riwayat yang lain Rasulullah saw berabda kepada bapa Nu’man :
“Maka hendaklah kamu takut akan Allah dan hendaklah kamu berlaku adil antara anak-anakmu.”
Untuk pelbagai tips dan info mengenai keibubapaan, Mama dan Papa boleh klik di SINI tau!