Golongan M40 atau nama sebenarnya Middle 40 merupakan golongan isi rumah berpendapatan diantara RM5,250 hingga RM11,819. Tahukah Mama dan Papa berdasarkan laporan Harian Metro, kumpulan M40 bagi tahun ini merangkumi 37.6 peratus berbanding seluruh isi keluarga di Malaysia.
B40 dan M40 antara golongan yang mendominasi kelas ekonomi di negara ini. Walaupun kedengaran seperti golongan yang agak berkemampuan, namun kumpulan ini tetap punya tekanan sendiri daripada sudut kewangan.
Jangan terkejut jika Mama Siti katakan golongan M40 juga struggle tatkala berbelanja selain turut berasa terbeban dengan masalah inflasi.
Walaupun pendapatan mereka dilihat lumayan, hakikatnya, kumpulan ini banyak memendam rasa tatkala pelbagai bantuan dan kebajikan ditawarkan pihak atasan kebiasaannya hanya membuka ruang kepada golongan B40 dan ke bawah.
Walhal , ada situasi keluarga daripada golongan B40 yang lebih mewah kerana mempunyai pelbagai kecukupan termasuk tempat tinggal misalnya apabila mempunyai kediaman pusaka orang tua mereka selain tanggungan cahaya mata yang masih seorang sahaja.
Berbanding kumpulan M40 yang kedengaran mewah dengan pendapatan bulanan, namun bayaran sewa rumah, pinjaman kereta selain beberapa orang anak yang mula memasuki alam persekolahan pastinya sedikit sebanyak menggoyahkan kewangan bulanan mereka.
Maka, bagi mengelakkan masalah kewangan oleh golongan M40 di kemudian hari, wajiblah untuk Mama dan Papa tahu bagaimana kaedah perbelanjaan sesuai untuk anda seisi keluarga.
Entri kali ini akan menyenaraikan tips untuk golongan M40 merancang perbelanjaan bulanan mengikut kesesuaian pendapatan Mama dan Papa. Namun sebelum tu, jom kita lihat pengkelasan gaji bagi golongan M40 di negara ini.
- M1 : RM4,851 – RM5,880.
- M2 : RM5,881 – RM7100.
- M3 : RM7,101 – RM8,700.
- M4 : RM 8,701 – RM10,970.
1. Kenal Pasti Jumlah Pendapatan Keseluruhan Seisi Keluarga
Langkah pertama sekali adalah kenal pasti jumlah pendapatan keluarga. Melalui kaedah ini, Papa dan Mama boleh membuat kira-kira kos sara hidup dan menyusun strategi bagi memastikan pengurusan kewangan keluarga tersusun lebih kemas pada setiap bulan.
Dalam masa sama, Papa cuba melihat kelayakan untuk memohon jenis bantuan dan subsidi yang diberikan oleh kerajaan bagi meringankan beban.
2. Matlamat Jangka Pendek & Panjang
Sekiranya Papa dan Mama tak tahu bagaimana untuk mulakan pengurusan kewangan keluarga, boleh lakukan dengan menetapkan matlamat jangka pendek dan panjang dahulu.
Matlamat kewangan jangka pendek adalah lebih kecil dan memerlukan sumber kewangan yang lebih rendah. Ianya lebih mudah dicapai seperti membeli kelengkapan sekolah anak-anak, tabung perkahwinan dan kecemasan.
Matlamat jangka panjang pula sebagai suatu latihan yang bertujuan merumuskan pelan jangka panjang untuk memenuhi keperluan masa depan. Sebagai contoh pembelian rumah, menunaikan haji dan tabung pendidikan untuk anak-anak.
3. Pelan Perbelanjaan
Ada sesetengah daripada kita yang belum masuk setengah bulan, duit sudah tinggal ‘ciput’ sehinggakan perlu meminjam dengan rakan-rakan dan sekali gus menambahkan beban hutang.
Sebenarnya semua itu dapat diatasi dengan mempunyai perancangan dan menggunakan formula yang betul dengan mengetahui jumlah sebenar duit masuk dan duit keluar.
Perancangan perbelanjaan yang terperinci akan membantu Papa dan Mama memahami tabiat kewangan supaya tidak boros dan membeli barang yang tidak diperlukan. Oleh itu, cuba gunakan rangka pelan untuk bahagikan pendapatan anda.
Jika Mama juga bekerja, cuba berbincang dulu perancangan perbelanjaan bersama.
4. Keperluan vs Kehendak
Mama Siti faham adakalanya Papa dan Mama rasa nak makan enak, nak beli sesuatu yang special. Tapi pastikan anda tahu kewangan anda ketika itu berada dalam keadaan baik atau sebaliknya. Contohnya teringin nak makan fast food, pergilah jika anda dapati kewangan tadi masih OK.
Anda perlu menilai semula perbelanjaan keluarga dan menyelaraskan belanjawan dengan memberi keutamaan kepada perbelanjaan penting. Keperluan harus mendahului kehendak. Antara pengajaran daripada pandemik ini ialah perkara yang tidak diduga boleh berlaku pada bila-bila masa. Kita harus bersedia.
Keperluan seperti pendidikan anak-anak, penjagaan insurans, pinjaman rumah dan kereta perlulah diutamakan. Manakala, gaya hidup berlebihan, hiburan atau melancong boleh dinanti-nantikan buat masa ini.
5. Tabung Kecemasan & Pelaburan
Langit tak selalunya cerah. Ada hari kita senang, ada hari susah. Ada yang juga sehingga perlu menjual harta benda untuk menyelesaikan masalah.
Wujudkan segera tabung kecemasan anda sendiri kerana kita tidak tahu apa akan terjadi kemudian hari. Papa dan Mama boleh mula dengan simpan dengan kadar minima sebulan dan jika ada rezeki lebih mungkin boleh naikkan jumlah simpanan tersebu.
Pastikan dana kecemasan ini dikeluarkan hanya bila jika perlu, sebagai contoh bila kereta breakdown dan memerlukan dana yang besar untuk servis kereta.
Kena beringat, pastinya pada hari tua nanti, kita memerlukan duit untuk menampung kehidupan seharian selepas bersara.
Justeru, sebagai ketua keluarga, kami galakkan anda belajar simpanan dan pelaburan buat keluarga anda. Sebagai contoh, mulakan simpanan di tabung ASB dan tabung haji.
Ketahui tips kewangan yang lain di SINI.